Tidak Benar Program Politik Di masjid, “Ulangi Arahan Lama”


KUALA TERENGGANU - Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan arahan melarang penyampaian kuliah agama, ceramah dan penganjuran aktiviti berunsur politik di semua surau dan masjid di negeri ini sebagai “mengulangi arahan yang lama sejak tahun 60-an lagi”.

Beliau menegaskan, semua  umat Islam perlu sedar, politik tidak boleh dipisahkan dengan agama.

“nabi (Muhammad SAW) juga bercakap politik dalam khutbah (baginda di dalam masjid), (larangan itu) biasa, biasa sahaja dan akan dihadapi (oleh PAS),

“kita bercakap Islam dan dalam Islam itu ada politik, politik Islam tidak menjadi salah,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam siding media pada Himpunan Hari As-Sabiqun 2.0 di Dewan Tok Guru, Rusila, Marang pada Sabtu, 4 Mac.

Bahkan, kata beliau, menjadi satu kewajipan untuk umat Islam bercakap dan menegur perkara yang tidak betul dalam semua perkara termasuk politik.

“samada ekonomi ke, politik ke, apa ke… yang salah mesti wajib orang Islam kena tegur, ia termasuk dalam (prinsip) ‘amar makruf nahi mungkar’,

“(kita akan teruskan) kuliah-kuliah dan ceramah di dalam masjid dan surau macam biasa, ” tambah beliau.

Dalam perkembangan politik tanah air, beliau berkata, keputusan berkait permohonan parti Pejuang untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) akan dibuat secara kolektif.

“saya ada dapat surat daripada Pejuang permohonan untuk menyertai PN, kita akan bincang bersama dalam mesyuarat,

“ia menandakan PN mendapat sambutan daripada semua pihak, kita terima semua dan akan bincang apa syarat, apa permohonannya, kita akan lihat,” ujar beliau.

 

Ulasan