Guru PASTI, DAR, Pondok Terima Duit Raya.

 


Oleh : Pyang Mamat

Foto : WA Hadi

KEMAMAN - Seramai lebih 500 guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), Sekolah DAR dan guru Pengajian Pondok di Kemaman menerima sumbangan tunai sempena Aidilfitri. 

Yang Dipertua Parti Islam SeMalaysia (PAS) Kawasan Kemaman, Yang Berhormat Ustaz Che Alias Hamid menyatakan terima kasihnya kepada semua guru-guru yang hadir. 

"Tahniah kepada tuan puan semua yang terus bersama mengorbankan masa, tenaga dan kepentingan diri dalam menyebarluaskan risalah Islam dan memberi ilmu agama kepada anak-anak kita di Parlimen Kemaman.

"Walaupun gaji yang diperolehi tidak setimpalnya namun kalian tetap meneruskan kerjaya ini demi melihat Islam ini terus dijulang dan diamalkan pada masa akan datang," ucapnya. 

Ahli Parlimen Kemaman itu berucap di Majlis Agihan Sumbangan Dana Infaq Ramadhan, PAS Kawasan Kemaman di Dewan Seri Amar, Cukai kelmarin. 


"Adapun sumbangan ini tidak seberapa, namun inilah bukti kebersamaan dan kecaknaan kita, PAS Kawasan Kemaman dalam menyantuni dan membantu guru-guru dalam apapun keadaan mengikut kemampuan yang ada. 

"Samada kita sebagai kerajaan ataupun sebaliknya, ianya bukan menjadi kayu ukur untuk kita membuat kebaikan," ucapnya. 

Sumbangan ini merupakan rutin tahunan PAS Kawasan Kemaman kepada sektor pendidikan parti untuk persediaan mereka bagi merayakan satu Syawal yang bakal menjelang tidak lama lag

Turut hadir di majlis tersebut adalah Ahli Jawatankuasa Harian PAS Kawasan dan diselaraskan oleh lajnah Sekretariat PAS Kawasan Kemaman.

Ulasan