PAS Kutuk Keras Perbuatan Jenayah Rejim Israel Terhadap Umat Islam Di Masjid Al-Aqsa


PAS memandang serius dan mengutuk keras perbuatan jenayah rejim Zionis Israel yang menceroboh Masjid Al-Aqsa dan menyerang umat Islam yang sedang beribadah di dalamnya pada Rabu yang lalu.

Tindakan ganas dan tidak berkemanusiaan itu dilaporkan telah mencederakan sekurang-kurangnya 12 rakyat Palestin, sementara lebih 350 yang lain ditahan oleh pihak polis rejim, membabitkan umat Islam yang berada dan beribadat di masjid berkenaan sempena Ramadan.

Berselindung di sebalik dakwaan kehadiran kumpulan pengacau bertopeng yang berlindung di dalam masjid, pihak keselamatan rejim Israel pada hakikatnya hanya mengulangi kejadian pada April tahun lepas dan pada tahun 2021, yang telah mencetuskan perang 10 hari dengan rakyat Palestin berikutan pencerobohan ganasnya terhadap masjid ketiga paling suci bagi umat Islam itu.

Laporan media yang memetik kenyataan Bulan Sabit Merah Palestin menyebut bahawa anggota polis rejim menggunakan peluru getah, bom asap dan bom tangan, selain memukul jemaah yang berada di dalam kawasan masjid menggambarkan niat jahat yang bermuslihat rejim Zionis.

Keadaan tambah meruncing bila pasukan perubatan Bulan Sabit Merah Palestin juga dilaporkan dihalang dari memasuki lokasi berkenaan untuk memberikan rawatan kecemasan kepada individu yang cedera.

PAS berpandangan provokasi ganas dan perbuatan jenayah ini hanya akan mengundang respons balas serta ketegangan lanjutan yang berpotensi memburukkan keadaan keselamatan di rantau tersebut.

Justeru itu PAS menggesa semua pihak yang mencintai keamanan serta hak orang Islam untuk beribadah agar sama-sama bersolidariti dengan rakyat Palestin dan mengutuk keras perbuatan jenayah rejim Israel untuk kesekian kalinya ini. 

Ini kerana pencerobohan tempat ibadah, terutamanya pada bulan suci umat Islam ini bukan sahaja berlawanan dengan undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia, malah bercanggah dengan semua nilai mulia kemanusiaan yang menjadi tonggak penting kepada kehidupan bersama yang aman, adil dan sejahtera. 

Oleh itu ia hendaklah dihentikan dengan serta-merta dan dalam hal ini juga campur tangan serta ketegasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terutamanya amatlah perlu.

Takiyuddin Hassan
Setiausaha Agung PAS.
Bertarikh: 15 Ramadan 1444H/ 6 April 2023.

Ulasan