HTP Besut PRA PRN : Mempertahankan PAS Sebagai Kerajaan Negeri


 Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor.


Daerah ini kepongahan warganya memang menjadi bualan masyarakat luar, terpisah sub budaya daripada arus perdana Terengganu dan dalam kelasnya yang tersendiri. Daerah agrarian yang dahulunya mempunyai kerajaan dan istana yang terletak di Kampong Raja Besut, kadang mengundang canda masyarakat luar dengan menggelarkan daerah ini sebagai "Republik Besut". Tiada dokumen sejarah yang mengesahkan daerah ini asalnya milik Kelantan yang terlepas kepada Terengganu akibat kekalahan judi laga  ayam. Ianya menjadi labunan pembual kedai kopi dalam kepulan aroma asap kopi dengan deraian ketawa!.


Besut dengan pusat bandarnya, Jerteh yang mula dibangunkan dalam dekad 1930an dan 40an, berhampiran Sungai Besut yang menyimpan sejuta rahsia pahit manis warga daerah ini. Besut dalam sejarahnya juga mempunyai pondok-pondok pengajian Islam pada zaman dahulu di Kampong Alor Keladi, Padang Luas, Bukit Puteri, Kampong Mat Sara, Kampong Raja, Kampong Nangka dan lain-lain. Pondok dan madrasah inilah yang membentuk kekuatan PAS dalam dekad 1950an, melahirkan alumninya yang hebat termasuk almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.


Kontradik juga apabila daerah ini terkenal dengan tempat perjudian pada awal abad 20, juga ada tempat persundalan di Kuala Besut. Daerah gelap ini juga meriah  dengan jajaran bangsal tomoi dan persilatan, bahkan pertandingan tomoi mampu menarik ribuan manusia di Astaka Jerteh. Pesta puja pantai yang diadakan pada zaman dahulu di Besut adalah lambang ketegaran paganisme daerah ini dengan ritual khurafaat bulan Safar, juga pesta pora hiburan seperti mak yong, Menora, rambong, wayang kulit, ronggeng, rodat, judi laga lembu, judi laga ayam dan pelbagai kemaksiatan yang lain. 


Dalam dekad 70an, pekan Jerteh masih hanyut dengan budaya hiburan seperti funfair, konsert, sarkas dan sering dikunjungi oleh artis-artis tersohor negara. Pemuda tahan lasak Umno juga sangat ganas dalam dekad 60an sebagaimana perbualan penulis dengan almarhum Ustaz Jais Anuar ( Calon Parlimen Besut PRU 1969 ), perbalahan bab politik sangat mudah dipicu lantaran kegedeberan orang Besut. Sejujurnya, sosio budaya daerah ini lebih menepati karektor "orang Kelantan" ketimbang orang Terengganu. Suatu masa dahulu warga Besut lebih gemar menggunakan plat kenderaan huruf D berbanding T sehinggalah keadaan berubah pasca 2004.


Dalam denai sejarahnya , PAS Besut telah ditubuhkan pada tahun 1957 dan lebih awal daripada itu, dua orang ulama Besut telah menghadiri penubuhan Hizbul Muslimin pada Mac 1948 di Maahad Ihya' asSharif Gunung Semanggol. Ulama Besut seperti TG Haji Abbas juga terkenal dengan membuka sekolah-sekolah agama di daerah lain , seperti Pondok Tok Jiring  ( kini dikenali SMA Dato Haji Abbas). Perjuangan Islam subur di daerah ini, paralel dengan meriahnya pusat pendidikan Islam, kolerasi antara padi, pondok dan PAS tetap ada kerelevannya di daerah ini.


Besut pada Pilihanraya Umum tahun 1959 telah ditandingi kerusi Parlimennya oleh Dr Burhanuddin Al Helmi dan Presiden PAS ini berjaya mewakili konstitusi ini menewaskan parti PERIKATAN/ UMNO. Saat itu semua DUN di daerah Besut berjaya dikuasai oleh PAS, yang mengesahkan Pantai Timur mula mengambil posisi sebagai kubu PAS walaupun harakatul ummah ini ditubuhkan di Pulau Pinang pada tahun 1951. 


Besut dengan jajaran sekolah pondok, sekolah agama rakyat juga dengan ramai ilmuan Islam memberikan kelebihan kepada PAS. Masjid surau atau balaisah meriah dengan pengajaran kitab oleh lebai-lebai pondok maka tidak pelik jika warganya menyintai perjuangan Islam. Menteri Besar Terengganu pasca Pilihanraya 1959 juga dilantik daripada anak Besut, iaitu Haji Daud Samad.


Dekad 1980an, saat kebangkitan Islam mula membuncah semangat dan menebar pesona, daerah ini mencuat namanya apabila dikaitkan dengan radikalisme dan perpecahan masyarakat. Kerajaan BN  menahan tokoh- tokoh PAS Besut dibawah ISA seperti Ustaz Abdul Latif Mohamad, Ustaz Stimat Yusuf, Ustaz Omar Khalid dan lain- lain. Ada ahli PAS Besut seperti Haji Ayub yang terlibat dengan tragedi Lubuk Merbau Kedah  pada tahun 1985, satu peristiwa yang meruntun perasaan. Memori besar amilin PAS Besut dekad 80an, antara lain juga juga adalah gangguan-gangguan kepada ceramah PAS , antaranya tragedi ceramah di Kampong Keluang Besut digempur oleh asap gas pemedih mata pihak keselamatan.


Dalam hamparan mehnah dan ibtila' dekad 80an, PAS Besut gigih membangunkan markas tarbiah disetiap DUN, meluaskan jaringan pendidikan dan dakwah. Madrasah Darul Islah ditubuhkan di Padang Luas untuk memberi peluang kepada anak-anak orang PAS mendapat ilmu , penghujung dekad 80an juga pendidikan pra sekolah diperhebatkan . Intriq dan polemik dalaman jamaah juga pernah membadai daerah ini sehingga  pentadbiran PAS Besut pernah digantung pada tahun 1998 dan kali keduanya pada tahun 2018. Segala mehnah dan tribulasi ini tidak menghalang PAS Besut memperbanyakkan ahli dan menambah cawangan-cawangan diseluruh daerah.


PAS kali kedua memenangi Terengganu pada PRU tahun 1999, dengan gejolak kebangkitan rakyat menolak kezaliman UMNO/BN. Pemecatan Anwar Ibrahim oleh  Dr Mahathir telah menyimbah api kesedaran rakyat, riuh geger dijalanan anak-anak muda memprotes kebobrokan KKN yang diamalkan oleh regim Mahathir. Kawasan "Malay Belt" sangat terkesan dengan kezaliman BN termasuk daerah Besut. Parlimen dan keempat-empat DUN telah dimenangi oleh PAS walaupun setahun sebelum itu berlaku pemecatan kepada beberapa tokoh PAS kawasan ini.


Presiden PAS memberikan mesej yang serius untuk menawan Terengganu dalam PRU 14 dengan melantik Dato Husein Awang, anak Besut sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu untuk sesi 2017-2019. PRU 14 yang berlangsung pada 9 Mei 2018 telah menyaksikan Terengganu ditawan oleh PAS untuk kali ketiga. Umno sangat berkuku di daerah ini dizaman DS Idris Jusoh menjadi MB Terengganu, tak mudah untuk meroboh kekuatan parti kebangsaan itu di daerah Besut. Dalam PRU 14 , Besut paling tercorot dalam penguasaan PAS, hanya menang satu DUN iaitu di Kota Putera. Cuma yang mengubat hati orang Besut ialah anak Besut yang juga pakar aero angkasa negara iaitu DS Dr Samsuri Mokhtar ( Rhu Rendang) telah dipilih menjadi Menteri Besar Terengganu.


PRU yang berlangsung pada 19 November 2022 telah memberikan senyuman kepada seluruh amilin PAS, Besut bukan lagi menjadi kubu Umno. Calon PAS , telah berjaya memenangi P033 dengan bergaya ,mengalah Ketua Umno Bahagian Besut,  dengan majoriti 18 666 undi . Gelombang penolakan kepada BN Umno terutama anak-anak muda telah memberikan impak besar kepada keputusan PRU 15 termasuk di daerah tani ini. Besut akan kembali menjadi kubu PAS di Terengganu dengan bersemaraknya kegiatan jihad ta'lim, penguasaan harakatul ummah ini dalam sektor dakwah dan kebajikan.


Insyaallah pada 11, 12 dan 13 Mei ini akan diadakan himpunan mega , Himpunan Teguh Pertahan yang akan diadakan di Dataran Jerteh. Pelbagai program akan diadakan melibatkan pelbagai segmen umur seperti kuliah Dhuha, larian gembira, ceramah perdana, sukan elektronik, pertandingan mewarna ibu dan anak , langkah teguh pertahan, derma darah, tutorial masakan, acara pentas kesenian, santai anak muda , sukan rakyat,  kuliah maghrib, pameran serta jualan. Antara pimpinan yang akan memeriahkan acara ini ialah DS Tuan Ibrahim Tuan Man, DS Dr Samsuri Mokhtar, Dato Nik Amar, Dato Ustaz Idris Haji Ahmad, Ustaz Fadli Saari dan lain-lain tokoh . Jom warga Besut , kita meriahkan himpunan dengan bugaran semangat untuk memastikan PAS terus mengekalkan kemenangan di negeri Tok Ku Paloh yang pernah dinaungi dengan undang- undang Syariah.


(Penulis ialah YDP PAS Kawasan Besut)


Ulasan