PAS Ketengahkan Calon Terbaik


 PAS dan Perikatan Nasional akan meletakkan calon yang terbaik untuk rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti bagi memastikan kemenangan maksima dapat dicapai di enam negeri yang akan ditandingi.

Naib Presiden PAS, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, melihat kepada 'mood rakyat' bukan sahaja Terengganu, Kedah dan Kelantan akan mengekalkan kemenangan, bahkan akan buat kejutan di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

"Saya yakin melihat kepada 'mood' di bawah terutama kalangan rakyat pada waktu ini menunjukkan suasana agak positif kepada PAS dan PN.

"kerana itu saya percaya di Terengganu, Kelantan dan Kedah kita akan mempertahankan serta mencapai kemenangan lebih baik (manakala) untuk tiga negeri lagi kita akan melakukan kejutan, insya-Allah," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Terengganu di Dataran Shahbandar, di sini, pada Khamis 18 Mei.

Mengulas lanjut katanya, pada 23 Mei nanti senarai calon belum dimuktamadkan pada mesyuarat PN nanti.

"Hanya kerusi-kerusi bukan calon lagi, selepas pada itu baru akan dibawa kepada Majlis Presiden mungkin dalam seminggu atau dua minggu selepas pada itu barulah kita sahkan kerusi dan serahkan kepada parti masing-masing untuk menentukan calon yang paling sesuai untuk menang.

"Semua senarai akan yang akan ditentukan nanti semua nama itu kita akan hantar (untuk) mendapat kerjasama daripada pihak berkuasa bagi melakukan tapisan," ujarnya.

Mengenai calon wanita yang akan diketengahkan nanti, Samsuri berkata perkara tersebut sebelum ini telah dibawa oleh Dewan Muslimat ke Muktamar Tahunan PAS agar 50 peratus merupakan calon wanita.

"Walaupun pernah dibawa ia tidak menjadi satu keputusan, yang paling penting kita tengok kesesuaian di tempat-tempat berkenaan.

"Paling penting masing-masing boleh memberikan sumbangan Dan menyumbang sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)," ujarnya.

Dalam pada itu beliau yang juga Menteri Besar Terengganu menyatakan akan menghadapi Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin selepas minggu ketiga bulan Jun bagi mendapat perkenan membubarkan DUN.

Ulasan