Terima Teguran Dan 'Berlapang Dada'


 Oleh : Aqilah Jafri 

Gambar : Hafiz Sahidi 

MARANG - Pemimpin harus bersedia menerima kritikan daripada ahli secara berlapang dada sebagai langkah memperkukuhkan sesebuah organisasi. 

Bandahari PAS Terengganu merangkap Pengarah Majlis Tindakan DUN(MTD) Bukit Payong, Ustaz Mohd Nor Hamzah  mengingatkan bahawa sesebuah pertubuhan  boleh hancur dan rosak bermula dengan sekecil perkara seperti kritikan terhadap pimpinan.

“Yang jadi ketua kena terima komen manakala yang jadi ahli kena terima dan sentiasa bertolak ansur dalam membuat satu keputusan,” tambahnya lagi ketika merasmikan program Hari Keluarga Muslimat DUN Bukit Payong di Setiu.


“Jadikan kerja untuk agama sebagai bekalan untuk bertemu Allah SWT kelak, masa hidup boleh kita buat amal tapi esok-esok bila kita dah tiada kerja ini lah yang menjadi bekalan kita kelak,” pesan beliau kepada peserta program.

Program yang diadakan di Bari Indah Beach Resort itu menerima lebih kurang 1,000 orang peserta melibatkan penggunaan 22 buah bas untuk membawa peserta daripada Bukit Payong ke Setiu.

“Dekat tempat kita tiada pantai jadi sambil mengeratkan ukhuwah antara kita semua sambil berjalan ambil angin pantai,” selorohnya lagi.

Dalam pada itu, beliau menyeru kepada semua peserta supaya sentiasa ikhlas dalam berjuang pada jalan agama sebagaimana ganjarannya lebih besar daripada orang yang bangun setiap malam untuk beribadah kepada-Nya.

Ulasan