Kerajaan PAS Tidak Bazirkan Duit Rakyat

 


PASIR GUDANG - Kerajaan hari ini sangat teliti dalam menguruskan kewangan negeri secara berhemah dan memastikan setiap wang yang dibelanjakan tidak dibazirkan begitu sahaja kerana sedar ia adalah milik rakyat.

Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu, Ariffin Deraman berkata, Kerajaan hari ini tidak mewarisi sikap pemerintahan Kerajaan terdahulu yang suka membazirkan Wang rakyat.

Ini kerana katanya, mengambil contoh melalui sektor pelancongan dapat dilihat banyak perkara yang ditinggalkan menjadi projek gajah putih sebelum ini seperti pulau bebas cukai di Pulau Bayas dan juga projek-projek di Pulau Poh yang berskala mega melibatkan perbelanjaan begitu besar

"Sebenarnya Kerajaan hari ini banyak menyiapkan projek-projek (sakit) yang kerajaan dahulu kita teruskan kerana ini merupakan duit rakyat yang dibazirkan dahulu dengan perbelanjaan begitu besar.

"Pulau Bayas kita usaha untuk bangunkan dan ada proses yang baru sahaja selesai dan ada yang sedang 'terminate'.

"Di Pulau Poh pula pada 23 Jun nanti akan dirasmikan Jambatan Ikonik Pulau Poh yang perasmiannya akan disempurnakan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan," ujarnya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Negeri,berkata demikian ketika berucap di program Dialog dan Jamuan Bersama Kerajaan Negeri Terengganu dalam Siri Jelajah Anak Terengganu di Perantauan 2023, di Dewan Serbaguna Taman Nusa Damai, di sini semalam.

Mengulas lanjut katanya, sepanjang penggal lalu Kerajaan diterajui PAS telah membuktikan mampu menguruskan agenda pembangunan Kerajaan dengan baik dan ia dapat dilihat oleh semua rakyat yang sangat berpuas hati dengan pentadbiran kini.

Dalam pada itu menjawab mengenai sekiranya tarikh mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan diadakan pada hari bekerja katanya, perantau perlu membuat keputusan terbaik untuk pulang bagi menjalankan kewajipan untuk mempertahankan Kerajaan Terengganu hari ini.

"Ini kerana mengundi adalah peluang untuk buat perubahan, sesuatu yang ditunggu semua orang kerana pada waktu itu 'rakyat jadi raja'.

"Kita yakin dan percaya semua rakyat Terengganu termasuk perantau dapat membuat keputusan yang bijak kerana dapat menilai segala usaha yang telah dijalankan selama ini bagi mengekalkan Kerajaan hari ini.

"Apabila kembali mentadbir nanti akan ada tawaran baru serta manifesto yang lama akan diteruskan," ujarnya.

Ulasan