Sesungguhnya peranan kaum dalam menegakkan kuasa politik yang menjadi penaung yang wajib kepada dakwah Islam dan menjadi syarat agar Islam dapat dilaksanakan dengan sempurna.
Presiden PAS, Tan Sri Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan agar tidak membiarkan kuasa politik yang masih ada ini terlucut kerana jahil dan leka kerana kuasa politik memanyungi segala perkara yang lain.
"Selamatkan keadaan hari ini dengan perpaduan bangsa Melayu Islam, sepertimana Rasulullah memulakan dengan perpaduan bangsa Arab," tegasnya ketika membentangkan Kertas Kerja Liqa Fikri bertajuk Peranan Kaum Dalam Menegakkan Islam sempena Liqa’ Fikri PAS di Ehsan Convention Center, Port Dickson, semalam.
Tambah Abdul Hadi, setiap rasul memulakan dakwah masing-masing kepada keluarga dan kaumnya, termasuk nabi akhir zaman, Nabi Muhammad SAW yang diutus kepada seluruh manusia. Baginda SAW mengumpulkan anggota keluarga terdekat, lalu diajak untuk memeluk Islam.
"Allah SWT menegaskan janji-Nya terhadap kemenangan Islam yang dapat berkuasa memerintah negara masyarakat majmuk dengan melaksanakan prinsip serta konsep yang teguh dan sempurna.
"Rasulullah SAW berdakwah kepada para pemimpin kabilah Arab yang datang pada musim haji dalam himpunan tahunan yang menjadi ibadat dan adat. Setelah itu, seruan Islam diterima oleh suku kabilah Aus dan Khazraj yang tinggal di Madinah, kerana merasakan bahawa Islam boleh mendamaikan mereka yang telah berperang dalam tempoh masa yang sangat panjang.
"Setelah berjaya mewujudkan perpaduan bangsa Arab yang beriman, maka diajak pula kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem untuk bersama. Hal ini dinyatakan dengan tegas dalam Piagam Madinah yang disertai oleh kaum Yahudi dan Kristian," ujarnya.
Ulasan