Memahami keputusan mahkamah P036 Parlimen Kuala Terengganu

 


Semalam para penyokong PAS telah dikejutkan dengan satu keputusan yang menggegarkan semua iaitu pembatalan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu. Penyandangnya Datuk Haji Amzad Hashim telah dibatalkan kemenangannya oleh Yang Arif Hakim Datuk Seri Firuz Jaffril.


Tulisan saya ini hanya untuk memberikan kefahaman kepada penyokong PAS sahaja atau kepada golongan yang mahu menerima maklumat. Ia bukan bacaan kepada penyokong Umno-PH, kerana ia tiada keperluan untuk memahamkan mereka. Bagi musuh PAS keputusan ini adalah muktamad, tiada rayuan. Malah sebelum berlangsung perbicaraan lagi, Datuk Haji Amzad sudah mereka letakkan di dalam penjara.


Saya antara orang yang banyak menghabiskan masa mengikuti rapat perbicaraan bagi kedua-dua petisyen ini. Bukan juga untuk mempertikaikan keputusan hakim, kerana PAS bergerak atas dasar muajahah silmiyyah iaitu berhadapan secara damai. Buktinya ada kes yang PAS hadapi di mahkamah, walau ada yang dilihat tidak berpihak kepada PAS, PAS tetap menerimanya.


Juga sebelum ini, beberapa kes melibatkan keputusan pilihanraya seperti kerusi Kelaboran dan Sungai Pinang di Kelantan. Dun Tanggul dan Bukit Payong di Terengganu serta banyak lagi kes seumpamanya telah PAS hadapi. Semua kerusi ini PAS kalah beralasankan penghakiman yang memutuskan berlakunya pelanggaran peraturan dan pilihanraya.


Bermakna, bukan kali pertama PAS kalah di mahkamah dalam kes petisyen PRU. Berkebetulan pada hari yang sama, hakim di dalam satu keputusan berasingan, mengekalkan kemenangan Presiden PAS di kerusi Parlimen Marang, alhamdulillah. Ada juga kes Umno-PH kalah dalam tuntutan mereka, samada sewaktu mereka bersama mahupun sebelum itu. Rakyat Malaysia diberikan peluang untuk merayu sehingga ke Mahkamah Persekutuan jika kalah di Mahkamah Tinggi. Sehingga kini, PAS tidak menolak badan kehakiman, walau tidak sempurna dan adakalanya diselubungi kontroversi.


Apa kesalahan Datuk Haji Amzad?


Tumpuan kita ialah berkenaan apa kesalahan Datuk Haji Amzad sehingga dibatalkan kemenangan beliau. Ada suara sumbang yang menuduh beliau telah melakukan perbuatan sogokan kepada pengundi. Kerana tidak faham maka mereka membayangkan kelakuan Datuk Haji Amzad sebagaimana perbuatan memberikan rasuah oleh Umno dan PH yang telah dijatuhkan hukuman sebanyak 92 kes sehingga 2018 itu. Atau bagaikan seseorang memberi rasuah kerana ingin mendapatkan kelulusan kontrak. Tidak, ia bukan begitu. Amat salah sekali fahaman itu.


Begini, Datuk Amzad diakui oleh hakim, tidak pernah memberikan apa-apa kepada pengundi. Ini yang disebutkan dalam keputusan penghakiman. Tetapi hakim menganggap Adun-Adun dalam Parlimen Kuala Terengganu, YBM Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar, YB Ustaz Muhammad Khalil, YB Ustaz Ahmad Shah, YB Ustaz Wan Sukairi sebagai ejen-ejen pilihanraya bagi Datuk Haji Amzad. Jadi hakim telah mengandaikan telah berlaku sogokan apabila ejen-ejen yang hakim katakan itu telah mengadakan majlis pembayaran i-Belia, i-Siswa dan seumpamanya yang kebetulannya terjadi dalam masa berkempen.


PAS pula tidak berfahaman begitu. Ejen pilihanraya sepatutnya yang dilantik oleh PAS seperti wakil calon dan sebagainya. Dana itu pula ialah bantuan kerajaan kepada rakyat yang sudah lama dipraktikkan manakala Adun-Adun adalah wakil kerajaan kerana Kerajaan Negeri belum dibubar. Oleh itu, alasan peguam PAS yang mengatakan pemberian dana-dana itu adalah berkebetulan bertindih dengan jadual PRU, yang telah dibuat oleh Kerajaan Negeri lama sebelum PRU diisytiharkan lagi, tidak diterima hakim.


Sedangkan dalam penghakiman Parlimen Marang, hakim, Dato’ Hassan, malah memuji Kerajaan Negeri Terengganu kerana memberikan bantuan sebegitu. Langsung tidak timbul isu pemberian dana itu bertindih dengan tarikh PRU atau sebagai sogokan kepada pengundi oleh wakil rakyat Dun-Dun di Parlimen Marang atau sebagai ejen kepada Presiden PAS, calon PAS di Marang. Sekarang anda nampak bezanya?


Sama juga dalam Majlis Deepavali bersama kaum India beragama Hindu, Datuk Haji Amzad hadir, tetapi tidak menyerahkan apa-apa wang kepada tetamu yang hadir, orang lain yang melakukannya yang bukan ejen dilantik calon. Akan tetapi hakim tidak menganggap begitu. Oleh itu, hakim menjelaskan telah berlaku sogokan atas dasar mahu mempengaruhi pengundi untuk mengundi Datuk Haji Amzad.


Manakala kenyataan penyokong Umno sekeluarga yang mendakwa PAS merasuah pengundi bagi mempengaruhi mereka mengundi PAS berdekatan dengan pusat mengundi, ditolak hakim kerana terlalu rapuh. Jadi kita menerima keputusan YA Datuk Seri Firuz Jaffril itu dan akan PAS membuat rayuan.


Keputusan belum muktamad


Hakim mempunyai kuasa penuh dalam mahkamah yang beliau hakimi. Sebarang bantahan, tidak akan dilayan. Akan tetapi hakim juga adalah manusia, bisa terjadi khilaf dalam membuat keputusan. Kerana itu, selalu dikatakan hakim telah terkhilaf dalam memutuskan hukuman dan mereka tidak akan menghukum hakim yang terkhilaf itu, kerana keputusannya itu menurut ilmu yang dia ada.


Kalau kita mudahkan, ia bagai ulamak yang tersalah ijtihad, tiada salahnya. Dan jika benar tersalah tafsir, ia akan diperbetulkan oleh sekumpulan ulamak yang lain. Oleh itu Mahkamah Persekutuan yang bakal mengadili sekali lagi kes ini, akan dibuat di hadapan lima orang hakim yang akan menterjemahkan semula undang-undang menurut kebijaksanaan mereka.


Ia bagaikan waktu menentukan bila jatuhnya 1 Syawal atau 1 Ramadan. Banyak caranya. Akan tetapi apabila keputusan sudah disahkan, ia akan mengakibatkan perbuatan harus, iaitu makan disiang hari menjadi haram dan sebaliknya. Begitulah dalam hal ini. Tidak salah memberikan bantuan wang melalui dana-dana itu oleh orang yang berautoriti dari kerajaan seperti Adun-Adun dalam masa berkempen untuk Parlimen kerana Kerajaan Negeri belum terbubar.


Tetapi tafsiran ejen itu oleh hakim menentukan salah atau tidak bantuan itu dibuat oleh Adun-Adun dalam masa berkempen. Ini yang kita masih menanti tafsiran kedua oleh Mahkamah Persekutuan, samada benar Adun-Adun itu ejen calon atau bukan.


Sehingga keputusan rayuan dibuat, ahli dan penyokong PAS mohon bertenang. Jika keputusan kekal bersalah, mungkin diadakan semula pengundian. Tetapi Datuk Haji Amzad tidak akan ke penjara sebagaimana kes DS Najib atau Zahid. Ini bezanya. Datuk Haji Amzad juga tidak mahu semua ini berlaku.


Tiada gunanya menyalahkan beliau atas apa yang berlaku. Malah, ngauman kemarahan kita itu, sebenarnya ditujukan kepada orang yang salah. Nanti hanya akan ditertawakan musuh kita yang sudah teramat gembira bagaikan histeria dengan keputusan mahkamah ini dan sekarang pula menyaksikan kita bergaduh sesama kita.


Mohd Nasir Abdullah

28 Jun 2023i

Ulasan