PAS Kecam Tindakan Biadap, bakar, Pijak Al-Quran

 


KUALA TERENGGANU - PAS mengecam sekeras-kerasnya tindakan membakar dan memijak naskah suci al-Quran yang berlaku di luar Stockholm Central Mosque, Sweden.

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata perbutan yang dilkaukan hari pertama sambutan perayaan Aidiadha adalah keterlaluan, ekstrem dan menghina kesucian agama Islam.

"Pelaku biadap tersebut turut meletak sekeping daging di atas naskah suci al-Quran tersebut kemudian memijak-mijaknya yang sememangnya bertujuan untuk menimbulkam kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

"Ia adalah satu tindakan yang amat biadap, keji dan Islamophobia yang amat melampau apatah lagi dilakukan pada hari sambutan perayaan Aidiladha dimana akan mencetuskan lagi kemarahan umat Islam di seluruh dunia, sesudah ahli politik ekstremis berhaluan kanan Sweden-Denmark Rasmus Paludan melakukan tindakan serupa di Stockholm, Sweden hujung Januari lalu, " ujarnya melalui suatu kenyataan rasminya, di sini, hari ini.

Tegasnya, insiden seperti itu sewajarnya dihalang di saat umat Islam sedang menyambut hari kebesaran dengan penuh tawaduk dan kesyukuran serta dunia berada di ambang ketidaktentuan ekoran pelbagai konflik yang timbul.

"Insiden seperti ini perlu dihalang agar tidak berlaku pertembungan antara negara yang mampu membawa kepada kesan dan akibat yang amat buruk kepada keamanan sejagat dan dunia.

"Kebebasan bersuara yang amat diamalkan Barat sewajarnya tidak dijadikan alasan untuk menghina kesucian agama Islam mahupun mana-mana agama yang lain," ujarnya.

Tambahnya lagi adalah tidak wajar mana-mana kumpulan dengan sengaja menghina agama lain.

"Terutamanya dalam bentuk provokasi seperti membakar Al-Quran mahupun melukis karikatur jahat berupa Nabi Muhammad SAW.

"Dunia Islam sewajarnya mengecam tindakan biadap ini yang telah mencemarian kesucian agama Islam tambahan lagi pada Aidiladha yang mulia ini.

"Adalah menjadi tanggungjawab setial individu umat Islam untuk mempertahan dan membela agama Islam yang mulia ini daripada terus dihina dan dicemarkan kesuciannya," tegasnya lagi.

Ulasan