Mewakili PAS Terengganu, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri atas pencapaian yang membanggakan sepanjang mentadbir Kerajaan Negeri sejak 2018 sehingga kini. Pelbagai rancangan dan usaha yang dilaksanakan sudah menatijahkan hasil dan impak yang dapat dilihat dan dirasai oleh seluruh rakyat dan penduduk negeri ini.
PAS Terengganu memberikan jaminan bahawa barisan kepimpinan yang akan menerajui Kerajaan Negeri yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Negeri ke-15 nanti.
Mereka adalah dalam kalangan yang terbaik untuk terus memacu prestasi negeri ini dengan lebih cemerlang bagi merealisasikan visi “Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera” menjelang 2030.
Justeru, saya berharap dan menyeru kepada seluruh ahli parti dan para pengundi untuk sama-sama menggerakkan kesedaran kepada semua bermula dengan diri sendiri seterusnya ahli keluarga dan komuniti supaya memilih pemimpin yang beramanah, berakhlak dan berprestasi tinggi untuk memimpin negeri ini menjadi negeri yang disegani orang dan diredhai Tuhan.
PAS Terengganu juga optimis bahawa menerusi gelombang yang besar di peringkat negeri ini dan beberapa negeri lain akan turut mempengaruhi pembaharuan kepimpinan di peringkat nasional sekali gus dapat melindungi dan mempertahankan kepentingan rakyat dan negeri yang dicintai ini.
وَأُفَوِّضُ أَمري إِلَى اللَّهِ
"...dan aku sentiasa menyerahkan urusanku bulat-bulat kepada Allah..." (Ghaafir, 40:44)
Sekian.
YB Senator Dato' Haji Husain Awang
Pesuruhjaya PAS Terengganu
Ahli Dewan Negara
Ulasan