Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ditubuhkan oleh generasi awal selepas kehilangan negara Islam pada awal abad yang lalu. Penubuhan ini bagi menunaikan perintah Allah SWT yang mewajibkan adanya kumpulan Islam yang berjuang dan memenuhi ciri-ciri yang telah dinyatakan oleh perintah-Nya:
﴿وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُوْلَٰئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ١٠٤﴾
“Dan hendaklah ada antara kamu (orang-orang yang beriman) segolongan umat (kumpulan) yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (menyebarkan Islam yang sempurna), menyuruh melakukan segala perkara yang ma‘ruf (berkebajikan) dan mencegah daripada segala perkara yang mungkar (berkuasa memerintah). Dan mereka itulah orang yang berjaya.” (Surah Ali ‘Imran: 104)
Tiga ciri yang menjadi rukun kepada kumpulan yang diwajibkan itu ialah:
1. Berdakwah kepada Islam yang sempurna.
2. Berkebajikan.
3. Berkuasa melaksanakan kebajikan dan mencegah kemungkaran.
Kumpulan yang memiliki ciri-ciri ini melangsungkan perjalanan sirah nabawiah yang menjadi teladan dalam menunaikan perintah Allah dan mengikuti petunjuk-Nya, merangkumi marhalah Makkiyyah dan Madaniyyah.
Ketegasan PAS bersama Islam ialah aqidah perjuangan yang tidak terikat dengan individu atau sesiapa sahaja yang memimpin. PAS istiqamah berpegang teguh dengan kenyataan dalam undang-undang tubuhnya; bahawa hukum tertinggi ialah al-Quran, Sunnah, Ijmak, dan Qiyas yang dikendalikan oleh Majlis Syura Ulamak secara kolektif. Pelaksanaannya pula diterjemahkan oleh pimpinan PAS Pusat mengikut kebijaksanaan dakwah dan politik semasa yang tidak berpisah serta tidak menghanyutkannya daripada prinsip dan hala tuju perjuangan.
PAS tidak terpengaruh dan tidak berubah dengan kematian atau kehilangan pemimpinnya. Bahteranya tidak boleh ditebuk dan dibocorkan. Pada masa yang sama, PAS bersikap anjal (fleksibel) dalam menangani strategi politik dan situasi yang berubah.
Namun, PAS tidak boleh diselewengkan oleh semua pihak yang cuba mengheret PAS keluar daripada landasannya. Malah, PAS tidak menggesa pihak lain meninggalkan ideologi perjuangan mereka secara paksaan, walaupun ideologi itu dianggap sesat dan menyesatkan.
Kerjasama PAS dengan pihak lain boleh berlaku dalam titik persamaan yang bukan dasar seperti masalah kemanusiaan dan keadilan sejagat. Perbincangan dilakukan dengan pimpinan utama pihak lain, bukan dengan Gurkhanya. Dalam pada itu, PAS tetap mengutamakan pendekatan damai dengan semua pihak dan tidak menyerah kalah terhadap sesiapa.
PAS pernah bekerjasama dengan UMNO, PKR, dan DAP yang paling ekstrem dalam titik persamaan, walaupun berbeza dasar dan pendekatan. Misalnya, perjuangan menentang penjajahan, menentang pencabulan terhadap demokrasi berparlimen, menentang konsep federalisme yang tidak dihormati, dan lain-lain.
Namun begitu, apabila pihak lain menyentuh perkara dasar, aqidah perjuangan, dan hala tuju PAS seperti menegakkan negara Islam dan hukum syariat yang menjadi hak penganut Islam, mahu memaksa PAS kepada konsep perjuangannya yang salah, dan membatalkan mana-mana hukum Islam, maka PAS tidak berganjak sekali-kali. Sikap ini tidak pernah berbeza, walau sesiapa sahaja yang memimpin PAS sejak ia ditubuhkan sehingga kini.
Para pemimpin PAS diberikan kepercayaan oleh semua kumpulan yang bergabung menentang penjajah dahulu sama ada kanan ataupun kiri, apabila Dr. Burhanuddin al-Hilmi mengetuai Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) sehingga diharamkan oleh penjajah. Namun, kumpulan Islam tidak terikut-ikut dengan kumpulan pelampau kiri dan kanan.
Pada masa Almarhum Tan Sri Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat masih berada bersama kami, beliau sengaja dijadikan modal politik murahan DAP yang keluar dari Barisan Alternatif (BA), kemudian mengeluarkan PAS dari Pakatan Rakyat (PR) kerana gagal memesongkan PAS daripada prinsip dan hala tujunya.
Sejak ditubuhkan sehingga kini, PAS tidak rebah tersungkur walaupun pernah kalah dalam beberapa kali pilihan raya dan jatuh kerajaan negerinya. Malah, bukan sekadar hilang kerusi yang pernah dimenanginya, bahkan pernah dikeluarkan daripada kerajaan pusat.
PAS tidak tenggelam dalam arena gelombang dan gelora politik tanah air. Ahlinya tetap bertambah, cawangannya makin banyak, dan kepimpinannya makin bertenaga. Perkara ini berlaku kerana PAS menghayati firman Allah SWT:
﴿أَلَمۡ تَرَ كَيۡفَ ضَرَبَ ٱللَّهُ مَثَلٗا كَلِمَةٗ طَيِّبَةٗ كَشَجَرَةٖ طَيِّبَةٍ أَصۡلُهَا ثَابِتٞ وَفَرۡعُهَا فِي ٱلسَّمَآءِ٢٤ تُؤۡتِيٓ أُكُلَهَا كُلَّ حِينِۢ بِإِذۡنِ رَبِّهَاۗ وَيَضۡرِبُ ٱللَّهُ ٱلۡأَمۡثَالَ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمۡ يَتَذَكَّرُونَ٢٥﴾
“Tidakkah kamu (wahai Muhammad) memerhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan tentang kalimah yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh, dan cabangnya (menjulang) ke langit. (24) Pohon itu mengeluarkan buahnya pada setiap musim dengan izin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu agar manusia selalu beringat (mendapat pelajaran). (25)” (Surah Ibrahim: 24–25)
Kalau dicantas dahan atau rantingnya, tunas yang tumbuh selepas itu akan lebih banyak dan lebih subur. Ahli-ahli baharu tetap bertambah, di samping muncul pemimpin-pemimpin baharu secara tidak dijangka dan tanpa diduga yang datang daripada semua pihak. Mereka tetap menyambung perjuangan yang bertali arus.
PAS berjuang dalam masyarakat majmuk yang memimpin dengan keyakinan kepada janji Allah SWT yang berfirman:
﴿ٱلَّذِينَ أُخۡرِجُواْ مِن دِيَٰرِهِم بِغَيۡرِ حَقٍّ إِلَّآ أَن يَقُولُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُۗ وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٞ وَصَلَوَٰتٞ وَمَسَٰجِدُ يُذۡكَرُ فِيهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِيرٗاۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ٤٠ ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ٤١﴾
“Iaitu orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar, (mereka diusir semata-mata) kerana mereka berkata, ‘Tuhan kami hanya Allah.’ Dan sekiranya Allah tidak mendorong sebahagian manusia menentang keganasan sebahagian yang lain, nescaya runtuhlah tempat pertapaan dan gereja-gereja (orang Nasrani), rumah-rumah ibadat (orang Yahudi), dan masjid-masjid (orang Islam) yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Dan sesungguhnya, Allah pasti menolong orang yang menolong agama-Nya (agama Islam). Sesungguhnya, Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa. (40) Iaitu orang (Islam) yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat makruf, dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar. Dan ingatlah kepada Allah jua kembali segala urusan. (41)” (Surah al-Hajj: 40–41)
Perjuangan menegakkan negara masyarakat majmuk yang dijanjikan kemenangan oleh Allah SWT mesti bercirikan:
1. Rabbani (mendirikan solat).
2. Ekonomi yang adil (menunaikan zakat).
3. Berkebajikan (amar ma‘ruf).
4. Berkuasa (nahi munkar).
5. Berwawasan akhirat (percaya adanya balasan Allah).
Sejarah juga telah membuktikan bahawa semua pihak yang berkuasa pasti akan melakukan paksaan terhadap pihak yang tidak sealiran dengan mereka. Namun, sebaliknya Islam membawa konsep tidak ada paksaan dalam beragama, berbangsa, dan berbahasa. Islam tegas membawa prinsip adil kepada semua dalam keadaan Islam wajib memimpin.
PAS memilih pendekatan demokrasi yang damai kerana Islam mendahulukan pendekatan damai dengan membawa mesej yang mulia, berasaskan petunjuk Allah SWT yang berfirman:
﴿وَمَنۡ أَحۡسَنُ قَوۡلٗا مِّمَّن دَعَآ إِلَى ٱللَّهِ وَعَمِلَ صَٰلِحٗا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ ٱلۡمُسۡلِمِينَ٣٣ وَلَا تَسۡتَوِي ٱلۡحَسَنَةُ وَلَا ٱلسَّيِّئَةُۚ ٱدۡفَعۡ بِٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُ فَإِذَا ٱلَّذِي بَيۡنَكَ وَبَيۡنَهُۥ عَدَٰوَةٞ كَأَنَّهُۥ وَلِيٌّ حَمِيمٞ٣٤ وَمَا يُلَقَّىٰهَآ إِلَّا ٱلَّذِينَ صَبَرُواْ وَمَا يُلَقَّىٰهَآ إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٖ٣٥ وَإِمَّا يَنزَغَنَّكَ مِنَ ٱلشَّيۡطَٰنِ نَزۡغٞ فَٱسۡتَعِذۡ بِٱللَّهِۖ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ٣٦﴾
“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah (mengesakan dan mematuhi perintah-Nya) dan dia sendiri mengerjakan amalan soleh sambil berkata, ‘Sesungguhnya, aku adalah daripada orang Islam (yang berserah sepenuhnya kepada Allah).’ (33) Dan tidak sama (kesan dan hukumnya) perbuatan yang baik dengan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik, dan apabila kamu berlaku demikian, maka orang yang bermusuh dengan kamu akan menjadi seolah-olah seperti sahabat karib yang setia. (34) Dan sifat-sifat yang terpuji ini tidak akan diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang bersabar serta tidak juga akan diterima dan diamalkan melainkan bagi orang yang mempunyai bahagian yang besar daripada kebahagiaan di dunia dan akhirat. (35) Dan sekiranya syaitan menghasutmu (dengan sebarang godaan), maka mohonlah perlindungan daripada Allah. Sesungguhnya, Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (36)” (Surah Fussilat: 33–36)
Rasulullah SAW ialah teladan yang wajib diikuti. Baginda telah berjaya menyatukan umat Arab yang paling ganas dan hidup berpecah belah, sehingga musuh bertukar menjadi kawan yang setia kerana keikhlasan dan keadilannya. Maka, PAS menolak parti yang sempit dan singkat hala tujunya.
Rasulullah SAW juga menunjukkan teladan yang berjiwa besar dengan meletakkan keutamaan terhadap penyatuan bangsa Arab yang paling keras dalam berpecah belah, apabila Baginda mengisytiharkan pengampunan beramai-ramai ketika Fathu Makkah, khususnya terhadap orang yang pernah membunuh keluarganya dan sahabatnya yang tersayang.
Akan dikenang dalam sejarah bahawa UMNO tidak mahu bekerjasama dengan PAS kerana PAS berpegang teguh dengan Islam yang sempurna. Sebaliknya, UMNO memilih DAP kerana jawatan Timbalan Perdana Menteri, Menteri Besar, Exco, dan lain-lain, serta mahu perpaduan Melayu yang kecil antara UMNO dengan PAS sahaja. Keadaan ini menjadikan UMNO tercicir kerana pendekatannya yang salah dan melakukan tindakan bagi menyelamatkan segelintir pihak dengan cara yang terpesong daripada perjuangan asalnya.
Apabila PAS menyertai gerakan perpaduan Melayu, terdapat kalangan yang melakukan provokasi dan mendedahkan sifat buta agama mereka yang lebih berbahaya daripada buta huruf, kerana akibat buta agama akan merana selepas meninggal dunia. Mereka mahu mengheret kepada sifat ‘asabiyyah yang sempit dan jahiliah yang berdendam, bukannya berkasih sayang dan bermaafan. Firman Allah SWT:
﴿وَإِنۡ عَاقَبۡتُمۡ فَعَاقِبُواْ بِمِثۡلِ مَا عُوقِبۡتُم بِهِۦۖ وَلَئِن صَبَرۡتُمۡ لَهُوَ خَيۡرٞ لِّلصَّٰبِرِينَ١٢٦ وَٱصۡبِرۡ وَمَا صَبۡرُكَ إِلَّا بِٱللَّهِۚ وَلَا تَحۡزَنۡ عَلَيۡهِمۡ وَلَا تَكُ فِي ضَيۡقٖ مِّمَّا يَمۡكُرُونَ١٢٧ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلَّذِينَ ٱتَّقَواْ وَّٱلَّذِينَ هُم مُّحۡسِنُونَ١٢٨﴾
“Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka balaslah dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepadamu. Akan tetapi, jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang-orang yang sabar. (126) Dan bersabarlah (wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu) dan tidaklah berhasil kesabaran itu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah, dan janganlah kamu bersedih hati terhadap (kekafiran) mereka dan janganlah kamu berasa sempit dada terhadap apa-apa tipu daya yang dilakukan mereka. (127) Sesungguhnya, Allah bersama-sama orang yang bertaqwa dan orang yang berbuat kebaikan. (128)” (Surah al-Nahl: 126–128)
Ada pula kalangan yang cuba membawa isu perkauman dengan mengaitkan PAS, menandakan kejahilan mereka terhadap perbezaan antara kecintaan kepada kaum dengan fanatik perkauman yang tidak ada dalam diri bangsa Melayu yang kuat beragama Islam. Kenyataan yang mendedahkan kejahilan mereka dalam perkara agama Islam.
Hakikatnya, semua rasul menyelamatkan kaum dan bangsa masing-masing. Firman Allah SWT:
﴿وَمَآ أَرۡسَلۡنَا مِن رَّسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوۡمِهِۦ لِيُبَيِّنَ لَهُمۡۖ فَيُضِلُّ ٱللَّهُ مَن يَشَآءُ وَيَهۡدِي مَن يَشَآءُۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ٤ وَلَقَدۡ أَرۡسَلۡنَا مُوسَىٰ بَِٔايَٰتِنَآ أَنۡ أَخۡرِجۡ قَوۡمَكَ مِنَ ٱلظُّلُمَٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ وَذَكِّرۡهُم بِأَيَّىٰمِ ٱللَّهِۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّكُلِّ صَبَّارٖ شَكُورٖ٥﴾
“Dan Kami tidak mengutus seorang Rasul pun melainkan dengan bahasa kaumnya supaya dia dapat memberikan penjelasan (hukum-hakam Allah) dengan terang kepada mereka. Maka, Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya dan memberikan hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dialah Tuhan yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana. (4) Dan sesungguhnya, Kami telah mengutus Musa (pada masa lalu) dengan membawa ayat-ayat Kami, (dan Kami perintahkan kepadanya), ‘Keluarkanlah kaummu daripada kegelapan kepada cahaya dan ingatkanlah mereka dengan hari-hari Allah.’ Sesungguhnya, perkara ini mengandungi tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi setiap orang yang penyabar dan banyak bersyukur. (5)” (Surah Ibrahim: 4–5)
Ini termasuklah Nabi Muhammad SAW yang menjadi rasul kepada seluruh manusia yang memulakan dakwah dengan perintah Allah SWT:
﴿وَأَنذِرۡ عَشِيرَتَكَ ٱلۡأَقۡرَبِينَ٢١٤﴾
“Dan berikanlah peringatan dan amaran kepada kerabatmu yang terdekat.” (Surah al-Shu‘ara’: 214)
Tambahan pula, semua rasul berdoa:
اللَّهُمَّ اهْدِ قَوْمِيْ فَإِنَّهُمْ لَا يَعْلَمُوْنَ.
“Ya Allah! Berikanlah hidayah kepada kaum dan bangsaku, kerana sebenarnya mereka tidak mengetahui hakikat yang sebenar.”
Allah SWT juga berfirman:
﴿لَّا تَجِدُ قَوۡمٗا يُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِ يُوَآدُّونَ مَنۡ حَآدَّ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَلَوۡ كَانُوٓاْ ءَابَآءَهُمۡ أَوۡ أَبۡنَآءَهُمۡ أَوۡ إِخۡوَٰنَهُمۡ أَوۡ عَشِيرَتَهُمۡۚ أُوْلَٰئِكَ كَتَبَ فِي قُلُوبِهِمُ ٱلۡإِيمَٰنَ وَأَيَّدَهُم بِرُوحٖ مِّنۡهُۖ وَيُدۡخِلُهُمۡ جَنَّاتٍ تَجۡرِي مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَٰرُ خَٰلِدِينَ فِيهَاۚ رَضِيَ ٱللَّهُ عَنۡهُمۡ وَرَضُواْ عَنۡهُۚ أُوْلَٰئِكَ حِزۡبُ ٱللَّهِۚ أَلَآ إِنَّ حِزۡبَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ٢٢﴾
“Kamu (wahai Muhammad) tidak akan mendapati suatu kaum yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat saling berkasih sayang dengan orang yang menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang yang menentang itu ialah bapa, anak, saudara, atau keluarga mereka sendiri. Mereka (yang setia) itulah orang yang dalam hati mereka telah ditanamkan Allah keimanan dan Allah telah menguatkan mereka dengan pertolongan yang datang daripada-Nya. Lalu dimasukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya. Allah reda terhadap mereka dan mereka pun berasa puas (serta bersyukur) akan ni‘mat pemberian-Nya. Merekalah golongan (para pendukung agama) Allah. Ingatlah, sesungguhnya, para pendukung (agama) Allah itulah orang yang berjaya.” (Surah al-Mujadalah: 22)
Allah SWT menegaskan sempadan menyelamatkan kaum dan bangsa yang dikasihi bersama Islam serta meletakkan Islam adalah lebih penting dan diutamakan daripada bersama kaum yang menentang Islam. Maka, jangan membuat kenyataan sewenang-wenangnya, nanti akan mendedahkan kejahilan dan kebodohan agama pula. Allah SWT memberikan peringatan:
﴿وَلَا تَقۡفُ مَا لَيۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٌۚ إِنَّ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡبَصَرَ وَٱلۡفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَٰئِكَ كَانَ عَنۡهُ مَسُۡٔولٗا٣٦﴾
“Dan janganlah kamu mengikuti apa-apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya, pendengaran, penglihatan, serta hati, semuanya itu akan dipertanggungjawabkan.” (Surah al-Isra’: 36)
Maka, PAS menolak DAP yang ekstrem sekular dengan ‘Malaysian Malaysia’nya kerana nyata pegangan itu menyanggah Islam, dan menolak UMNO yang meninggalkan perjuangan asalnya, serta menolak semua komponen parti Pakatan Harapan (PH) dan yang sewaktu dengannya.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 25 Zulqa‘dah 1444 / 14 Jun 2023
[Bil: 49 / 2023]
Ulasan