Ringgit Mungkin Menyusut Hingga RM5 Berbanding Dolar


Seorang pakar ekonomi Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ringgit mungkin menyusut sehingga RM5 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS). 

Katanya, pengukuhan dan kelemahan mata wang tempatan ditentukan oleh kuasa pasaran yang didorong oleh permintaan.

Tambah ketua ekonomi dan kewangan sosial di Bank Muamalat itu, dengan itu kemungkinan ringgit akan melebihi RM5 berbanding dolar AS jika didorong oleh kuasa pasaran.

 "Jika kuasa pasaran memutuskan perkara ini, ia pasti sesuatu yang boleh berlaku,

 "Kami hanya bimbang tentang kesannya. Jika ringgit lemah, maka inflasi import akan lebih tinggi." katanya

Menurutnya, ringgit berada pada 4.6110/6165 pada 1 Jun selepas penurunan empat hari berturut-turut sebelum melantun semula untuk ditutup kukuh sedikit pada 4.5745/5785 berbanding dolar AS pada hari berikutnya.

" Paras terendah sepanjang masa dicatatkan pada 4 Nov tahun lepas apabila berada pada RM4.7465, di bawah paras RM4.7250 yang dilihat pada 7 Jan 1998, ketika negara terbabit dalam krisis kewangan Asia." ujarnya. 

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli baru-baru ini berkata bahawa kejatuhan nilai ringgit adalah disebabkan ketidaktentuan ekonomi dan kewangan di AS.

Sementara itu, Bank Negara Malaysia berkata bahawa penyusutan nilai ringgit berbanding dolar AS bukanlah sesuatu yang unik kepada Malaysia, dan mata wang itu sepatutnya bertambah baik apabila ketidaktentuan global semakin reda.

Media melaporkan semalam, ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada sesi awal hari ini kerana pelabur kekal berhati-hati terhadap unjuran global walaupun dolar AS lemah sedikit, kata seorang penganalisis.

 Pada 9 pagi, mata wang tempatan jatuh kepada 4.5950/6000 berbanding dolar AS berbanding penutupan Jumaat pada 4.5745/5785.


Ulasan