KUALA TERENGGANU - Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim digesa memberi tumpuan sepenuhnya terhadap keadaan ekonomi negara pada ketika ini dan menghentikan program kempen politik di universiti.
Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Bin Jusoh berkata, rakyat semakin terkesan dengan kenaikan harga barang dan bayaran hutang kepada bank semakin tinggi.
"Program-program pertemuan bersama mahasiswa tidak sepatutnya menjadi prioriti seorang Perdana Menteri pada ketika ini, apatah lagi ia boleh dilihat orang ramai sebagai program kempen politik secara terbuka di universiti,
"yang diadakan bertujuan untuk mempengaruhi undi anak muda menjelang pilihan raya negeri tidak lama lagi," jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di laman sosialnya pada semalam.
Menurutnya, walaupun Kerajaan membuat pelbagai inisiatif untuk menyelesaikan masalah yang berlaku sekarang tetapi hingga hari ini masih tidak ada sebarang perubahan.
Malah, katanya, rakyat tetap tidak yakin bagaimana kerajaan Madani mahu menyantuni isu-isu kesusahan hidup dan keluh-kesah rakyat.
"Genap tujuh bulan pakatan dimeterai antara Pakatan Harapan dan Umno, namun keluarga yang pendapatannya miskin dan sederhana terus terkesan .
"Hari ini, bajet kewangan sesebuah keluarga semakin ketat dan mengecil.
"Jika dahulunya mungkin masih mampu menabung untuk membawa keluarga balik kampung atau pergi melancong, kini mungkin tidak lagi," ujar beliau.
Beliau menambah, kerajaan hari ini seolah-olah tidak menunjukkan empati kepada rakyat yang kemampuan kewangannya semakin menyusut disebabkan oleh ringgit yang jatuh, kadar inflasi dan isu gaji.
"Ahli Parlimen di pihak pembangkang juga masih dinafikan hak mereka untuk mendapat peruntukan yang boleh digunakan untuk membantu meringankan beban rakyat di kawasan masing-masing.
"Dan pengundi muda turut merasai kesusahan yang dilalui oleh keluarga mereka," katanya.
Justeru itu, beliau menyeru kepada
anak muda di luar sana agar menilai sendiri kredibiliti dan prestasi kerajaan hari ini menyelesaikan masalah ekonomi negara.
Ulasan