Bekas Pengerusi vs Pengerusi KETENGAH Di DUN Kijal.


Oleh : Pyang Mamat 

KEMAMAN - Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N30 Kijal, menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara bekas Pengerusi Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) Senator Datuk Razali Idris mewakili PAS dan Datuk Seri Ahmad Said mewakili Barisan Nasional (BN) merupakan pengerusi KETENGAH sekarang. 

Datuk Razali Idris sebagai Ketua BERSATU Terengganu menyerahkan borang penamaan pada jam 9.10 pagi dan Ahmad selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri merangkap penyandang DUN Kijal menyerahkan borang penamaan jam 9.04 pagi di pusat penamaan calon di Dewan Sivik Kijal.

Pegawai Pengurus Pilihanraya N30 Kijal, Hanum Isa@Ghazali secara rasmi mengumumkan dua calon yang bertanding itu tepat jam 10.20 pagi tadi.

"Saya telah menyemak kertas - kertas penamaan dan setelah selesai disemak saya berpuas hati, memutuskan tiada yang ditolak. Dengan ini saya mengumumkan calon-calon disahkan bertanding dalam pilihan raya negeri N30 Kijal adalah seperti berikut, yang pertama Datuk Razali Idris dari parti PAS. Kedua, Datuk Seri Dr Ahmad Said dari BN," katanya.


Proses penamaan calon bagi N30 Kijal berjalan lancar hasil kawalan ketat oleh pihak polis, RELA dan Jabatan Amal manakala penyokong kedua-dua parti bertanding berada pada jarak 25 meter daripada pagar pusat penamaan calon.

Kerusi DUN Kijal yang terletak di bawah Parlimen Kemaman mempunyai populasi 98 peratus pengundi Melayu manakala baki, dua peratus lagi adalah kaum Cina dimana pengundinya seramai 29,419 orang. 

Razali yang berkelulusan Diploma Pengurusan Perniagaan dari Stamford College Kuala Lumpur mengenakan nama 'Tok Li' pada kertas undi di petak pertama adalah nama mesra beliau dalam mengeratkan hubungannya dengan pengundi di Kijal. 

Turut hadir di penamaan tersebut adalah bekas calon N30 Kijal yang lepas iaitu Ustaz Hj Hazri Jusoh sebagai wakil calon bagi membantu kemenangan PAS di Kijal yang dijangka menjadi tumpuan penganalisa politik tanahair.

Ulasan