‘Beri Kerusi’ Bukan Ukuran Keupayaan Muslimat

 


KUALA NERUS - Hakikatnya pemberian kerusi di dalam pilihan raya kepada calon muslimat bukanlah menjadi ukuran sebenar kejayaan perjuangan golongan tersebut. 

Mengulas lanjut Naib Ketua Muslimat PAS Terengganu, Zuraida Md Noor, namun ia merupakan batu loncatan kepada perjuangan sayap muslimat agar konsisten membela pelbagai isu wanita dalam arena politik.

"Usia Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu sejak ditubuhkan telah menjangkau 50 tahun merupakan manifestasi hasil usaha yang istiqamah daripada perjuangan muslimat terdahulu dengan kepimpinan yang silih berganti.

"Tidak dapat kita bayangkan betapa gigih muslimat memasuki kampung-kampung dari satu lorong ke satu lorong bertujuan menyebar risalah dakwah dengan menanam nilai-nilai Islam ke dalam kehidupan masyarakat", ujarnya. 

Beliau yang juga Ketua Muslimat PAS Kuala Terengganu berkata demikian sebagai panelis di Pentas Mujahidah sempena Jelajah PNBest dan Himpunan Teguh Pertahan di Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu semalam. 

Bersama beliau turut menjadi ahli panel ialah Naib Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Salamiah Mohd Noor, Ketua Muslimat PAS Terengganu, To Puan Zarani Othman dan Pengarah Ameerah Terengganu, Ustazah Asma Abdullah. 

Menurutnya lagi, muslimat kini kian mendapat perhatian apabila membawa suara sebagai ahli majlis di peringkat Kerajaan Tempatan, ahli Lembaga pengarah di dalam GLC, penggerak NGO dan juga pemimpin di peringkat cawangan.

"Sektor-sektor ini memerlukan bakat kepimpinan dari muslimat agar pembawakan muslimat membela rakyat lebih berkesan," katanya lagi.

Ulasan