Besut : Wilayah Asingan Dengan Jati Diri Tersendiri

 


Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

"Demo tak apolah,tak rasa makan gas ( gas pemedih mata) di Kluang dulu..kito ore -ore lamo PAS Besut raso belako doh..loni sedak set demo duk dale ekon" warga emas itu mencurah rasa sambil menatap pandangan kosong dihadapan. Asap berkepul , mengawan ke langit daripada cangkir teh susunya. Aku tak merespon dan tak perlu memanaskan sesi bina ukhuwwah itu.

" set demo biar comellah jaga Besut ni, jange buat tak kaba...tengok hok tuo- tuo etek, tanya khabar sepatah. Dia masih melepaskan yang terbuku dihati. Aku diam tak berkutik.Biar dia menumpahkan rasa sambil mengimbau sejarah silam perjuangan Islam di daerah pongah ini. Dia bercerita tentang pemuda tahan lasak Umno dekad 60an dan aku menjadi pendengar setia, mendesis dengan secangkir kopi hangat tanpa gula. Bangga sang tua itu dengan PAS dikawasan ini suatu masa dahulu , ini mengingatkan aku akan latar cerita daerah ini puluhan tahun dahulu oleh almarhum Ustaz Hasan Shukri. Bangganya almarhum tentang sikap pengorbanan ahli-ahli PaS besut dalam menyiapkan bangunan Markaz Tarbiah PAS Pusat Taman Melewar. Saat Kawasan lain belum ada bangunan markas , Besut telah mempunyai bangunan empat tingkat ditengah bandar Jerteh.

Sikap " tolol " orang Besut membuka " tanah perjuangan" menyebabkan ramai anak-anak Besut dimerata tempat berjaya membuka pusat-pusat pendidikan termasuk di Sabah. Parokialisme dengan semangat kebesutan mereka agak menyamai sikap masyarakat Kelantan yang unik.

Daerah ini kepongahan warganya memang menjadi bualan masyarakat luar, terpisah sub budaya daripada arus perdana Terengganu dan dalam kelasnya yang tersendiri. Daerah agrarian yang dahulunya mempunyai kerajaan dan istana yang terletak di Kampong Raja Besut, kadang mengundang canda masyarakat luar dengan menggelarkan daerah ini sebagai "Republik Besut".

Besut dengan pusat bandarnya, Jerteh yang mula dibangunkan dalam dekad 1930an dan 40an, berhampiran Sungai Besut yang menyimpan sejuta rahsia pahit manis warga daerah ini. Jerteh dalam dekad 70an tempat segar aktiviti budaya dan budaya pop dengan panggung wayang, sarkas bergerak , funfair dan sebagainya. Besut dalam sejarahnya juga mempunyai pondok-pondok pengajian Islam pada zaman dahulu di Kampong Alor Keladi, Padang Luas, Bukit Puteri, Kampong Mat Sara, Kampong Raja, Kampong Nangka dan lain-lain.

Kontradik juga apabila daerah ini terkenal dengan tempat perjudian pada awal abad 20, juga ada tempat persundalan di Kuala Besut. Daerah gelap ini juga meriah dengan jajaran bangsal tomoi dan persilatan, bahkan pertandingan tomoi mampu menarik ribuan manusia di Astaka Jerteh. Sejujurnya, sosio budaya daerah ini lebih menepati karektor "orang Kelantan" ketimbang orang Terengganu. Suatu masa dahulu warga Besut lebih gemar menggunakan plat kenderaan huruf D berbanding T sehinggalah keadaan berubah pasca 2004.



PAS Besut telah ditubuhkan pada tahun 1957 dan lebih awal daripada itu, dua orang ulama Besut telah menghadiri penubuhan Hizbul Muslimin pada Mac 1948. Perjuangan Islam subur di daerah ini, paralel dengan meriahnya pusat pendidikan Islam. Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga mendapat pendidikan pondok di Besut, sosok utama sang pencerah seperti almarhum Tuan guru Haji Abbas, juga berjaya menubuhkan banyak pusat pengajian Islam di negeri Terengganu.

Besut pada Pilihanraya tahun 1959 ditandingi kerusi Parlimennya oleh Dr Burhanuddin Al Helmi dan Presiden PAS ini berjaya mewakili konstitusi ini menewaskan parti PERIKATAN/ UMNO. Saat itu semua DUN di daerah Besut berjaya dikuasai oleh PAS, yang mengesahkan Pantai Timur mula mengambil posisi sebagai kubu PAS walaupun harakatul ummah ini ditubuhkan di Pulau Pinang pada tahun 1951. Logikanya, jika Besut tidak subur sebagai tapak perjuangan,maka tonggak utama PAS tak diturunkan bertanding disini.

Besut dengan jajaran sekolah pondok, sekolah agama rakyat juga dengan ramai ilmuan Islam memberikan kelebihan kepada PAS. Masjid surau atau balaisah meriah dengan pengajaran kitab oleh lebai-lebai pondok maka tidak pelik jika warganya menyintai perjuangan Islam. Menteri Besar Terengganu pasca Pilihanraya 1959 juga dilantik daripada anak Besut, iaitu Haji Daud Samad. Antara tokoh Besut yang pernah menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu ialah almarhum Ustaz Abdul Latif Mohamad.

Dekad 1980an, daerah ini mencuat namanya apabila dikaitkan dengan radikalisme dan perpecahan masyarakat. Kerajaan menahan tokoh- tokoh PAS Besut dibawah ISA seperti Ustaz Abdul Latif Mohamad, Ustaz Stimat Yusuf, Ustaz Omar Khalid dan lain- lain. Ada ahli PAS Besut yang terlibat dengan tragedi Lubuk Merbau pada tahun 1985, juga ceramah PAS di Kampong Keluang Besut digempur oleh asap gas pemedih mata pihak keselamatan. Lakaran sejarah menggambarkan tahap komitmen dan keseriusan orang Besut menggalang perjuangan dan dakwah.

PAS Besut dalam dekad 80an gigih dalam membangunkan markas tarbiah disetiap DUN, meluaskan jaringan pendidikan dan dakwah. Pimpinan Pemuda kawasan besut telah menubuhkan sekolah Rendah Islam, Darul Islah. Ramai anak-anak pimpinan dihantar belajar ke MDQ Rusila sebagai persiapan pimpinan pelapis dalam dekad 80an dan 90an. Sisi gelap dalam perjuangan pula, Pentadbiran PAS Besut pernah digantung pada tahun 1998 dan kali keduanya pada tahun 2018. Segala mehnah dan tribulasi ini tidak menghalang PAS Besut memperbanyakkan ahli dan menambah cawangan-cawangan diseluruh daerah.



PAS kali kedua memenangi Terengganu pada PRU tahun 1999 semasa dipimpin oleh Dr Nik Zawawi Salleh, dengan gejolak kebangkitan rakyat menolak kezaliman UMNO/BN. Pemecatan Anwar Ibrahim oleh Dr Mahathir telah menyimbah api kesedaran rakyat, riuh geger dijalanan anak-anak muda memprotes kebobrokan KKN yang diamalkan oleh regim Mahathir. Kawasan "Malay Belt" sangat terkesan dengan kezaliman BN termasuk daerah Besut. Parlimen dan keempat-empat DUN telah dimenangi oleh PAS walaupun setahun sebelum itu berlaku pemecatan kepada beberapa tokoh PAS kawasan ini. Sepenggal memerintah Terengganu, pada 2004 BN telah merampas kembali negeri Tok ku Paloh ini.

PAS Besut dan Terengganu terus bekerja kembali bagi mengakar kekuatan dan membina pengaruh, penerangan dan kerja dakwah terus berjalan . Perlahan-lahan semangat ahli dipulihkan dan diberikan suntikan energi perjuangan.

Presiden PAS memberikan mesej yang serius untuk menawan Terengganu dalam PRU 14 dengan melantik Dato Husein Awang, anak Besut sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu untuk sesi 2017-2019. PRU 14 yang berlangsung pada 9 Mei 2018 telah menyaksikan Terengganu ditawan oleh PAS untuk kali ketiga. Besut paling tercorot dalam penguasaan PAS, hanya menang satu DUN iaitu di Kota Putera. Anak Besut iaitu DS Dr Shamsuri Mokhtar ( Rhu Rendang) telah dipilih menjadi Menteri Besar Terengganu. Mengapa tak bertanding di daerah dikir ini, itulah kehebatan strategi nakhoda PAS.

Lima tahun masa berlari pantas. Pejam celik tak terasa termasuk musim pandemik yang menghadkan pergerakan pimpinan dan ahli. DS Dr Ahmad Shamsuri, anak Besut yang berada di koridor kuasa negeri ini telah melunaskan semua janji dalam manifesto PRU ke 14. Genderang perang mula ditabuh,29 Julai ialah penamaan calon -calon PRN 2023 dan 12 Ogos adalah tarikh mengundi dengan erti kata lain, referendum rakyat pada kotak undi!

PAS kawasan Besut telah menunjukkan keseriusan gerak kerja dengan menumpukan kepada kekuatan akar umbi selama lima tahun ini. Pelbagai program tajnid dan amal tarbawi telah diadakan seperti ijtimak tarbawi, mukhaiyyam aktiviti pembinaan fikrah disebahagian cawangan-cawangan. Kegiatan jihad ta'lim disuburkan dengan menubuhkan institusi pendidikan seperti SRIDAF, PASTI, Kompleks Pendidikan Besut serta pelbagai maahad di bawah jaringan tokoh PAS untuk mencetak kader-kader dakwah bagi memastikan kesinambungan perjuangan Islam. Pelbagai program untuk rakyat digerakkan dibawah Pejabat DUN ,Penyelaras DUN dan Penyelaras Parlimen ( sebelum 1 Januari 2023) . Agihan gran- gran tanah kepada yang layak , santuni rakyat pelbagai lapisan umur, bantuan am serta menjadikan daerah ini cemerlang dan daerah lestari. Semoga rakyat Besut dirahmati Allah dan membuat pilihan yang terbaik pada 12 Ogos ini, " Maju, Berkat, Sejahtera!".

(Penulis ialah AJK PAS Pusat,YDP PAS Besut)

Ulasan