DAP Parti Terbesar Pakatan Harapan


DAP ialah parti terbesar dalam Pakatan Harapan (PH), bukanlah sebuah parti yang buta politik, ekonomi, masyarakat, dan media. Dominasinya dalam kalangan kaum Cina ternyata bersifat ekstrem, cauvinis, sekular, dan membawa agenda ‘Malaysian Malaysia’ sebagaimana yang dimaktubkan dalam perlembagaannya yang tetap tidak berubah.


Kemudian, diikuti oleh para pemimpinnya yang membuat kenyataan yang berkobar-kobar menandakan perjuangan mereka. Walaupun tidak bercakap banyak, akhirnya meletup juga kenyataan yang menunjukkan perasaan dan semangat perjuangan dalam jiwa mereka.


Parti-parti lain yang bersama DAP sebenarnya hanya menumpang pengaruhnya sahaja, walaupun bercakap besar dan mendabik dada. Perkara ini dapat dibaca dengan nyata melalui statistik keputusan PRU-15 secara terperinci, termasuk secara khusus kemenangan presiden dan pemimpin utama parti-parti tumpangan yang kuat.


Bahkan, termasuklah Presiden UMNO kini yang dikatakan menjadi murid setia. Menangnya dengan undi DAP dan UMNO tua, saluran satu yang sudah tersesat lebih 40 tahun, atau mabuk politik wang. Jelas dan nyata, DAP mempunyai tujuan politik bagi perkauman Cina dengan usaha mendapat undi tambahan Melayu dan kaum lain bagi mencapai cita-citanya itu.


DAP tidak perlu bersuara kuat lagi, hanya sekali-sekala sudah cukup. Hal ini demikian kerana, mereka berjaya melantik jurubicara daripada kalangan Melayu yang lupa akan kemelayuannya dan lalai akan keislamannya, malah menganggap Melayu sangat rasis apabila bersuara membela Melayunya atau Islamnya fanatik jika bercakap mengenai Islam. Seterusnya, disambung pula oleh media seperti Malaysiakini dan rangkaiannya bagi promosi yang makro dan mikro.


PAS berprinsipkan Islam dan tidak pernah berganjak. Melayunya adalah dalam kalangan yang tidak lupa dan tetap mengingati sejarah negara sejak sebelum, semasa, dan selepas zaman kedatangan penjajah. Bermula daripada peristiwa jus soli kepada Suruhanjaya Reid yang menggubal Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang tidak diwakili oleh seorang pun rakyat Malaysia, sehinggalah terakhirnya ialah PRU-15.


PAS ialah sebuah parti yang paling lama dan hanya bermula dengan satu kerusi pembangkang sahaja dalam PRU Pra Kemerdekaan 1955. PAS menentang konsep jus soli, malah PAS bersama NGO Islam dan kalangan UMNO.  MCA dan MIC pula bersama UMNO dalam Parti Perikatan. Memorandum yang dikemukakan itu berjaya meletakkan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan dan memberikan hak kepada bukan Islam untuk menganut agama lain.


Sepatutnya, perkataan ‘Islam’ dalam Perlembagaan Persekutuan itu hendaklah diterjemahkan daripada bahasa al-Quran yang menolak konsep sekularisme yang menjadi amalan penjajah. Namun, DAP mahu mengekalkan maksud Islam menurut acuan penjajah dalam perjuangannya mengikut Perlembagaan DAP.


Kepada umat Islam, perkara ini ialah perkara syariat yang tidak berpisah dengan aqidah yang ditegaskan oleh al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW yang mutawatir lagi tidak boleh dipertikaikan. Kita tidak menerima tafsiran Barat daripada Kitab Injil yang telah dipesongkan. Namun, parti-parti Melayu yang bersekongkol dengan DAP dalam PH mendiamkan diri secara tulisan dan lisan, kini kalangan UMNO pula ikut menjadi makmum.


Kita menerima pandangan dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa undang-undang syariat mengikut istilahnya adalah tidak melibatkan orang bukan Islam. Inilah pendapat tokoh undang-undang seperti Prof. Ahmad Ibrahim, Tun Salleh Abas, Tun Ahmad Fairuz, dan lain-lain mengikut Perlembagaan Persekutuan yang ada.


Kita menerima pandangan mazhab yang berdalilkan firman Allah SWT:


﴿سَمَّـٰعُونَ لِلۡكَذِبِ أَكَّـٰلُونَ لِلسُّحۡتِۚ فَإِن جَآءُوكَ فَٱحۡكُم بَيۡنَهُمۡ أَوۡ أَعۡرِضۡ عَنۡهُمۡۖ وَإِن تُعۡرِضۡ عَنۡهُمۡ فَلَن يَضُرُّوكَ شَيْـًٔا ۖوَإِنۡ حَكَمۡتَ فَٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِٱلۡقِسۡطِۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ٤٢﴾


“Mereka itu ialah orang-orang yang suka mendengar berita bohong, (dan) banyak memakan yang haram. Oleh itu, jika mereka (orang Yahudi) datang kepadamu (untuk meminta keputusan), maka putuskanlah (perkara itu) antara mereka, atau berpalinglah daripada mereka; jika kamu berpaling daripada mereka, maka mereka tidak akan memberikan mudarat kepadamu sedikit pun. Dan jika kamu memutuskan perkara mereka, maka putuskanlah (perkara itu) antara mereka dengan adil. Sesungguhnya, Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.” (Surah al-Ma’idah: 42)


Pandangan para ulama’ yang tidak menasakhkan ayat di atas dan menjadi konsep umum seperti yang disebutkan dalam kitab Tafsir al-Razi (Mafatih al-Ghaib), Tafsir al-Manar, dan Fath al-Bari adalah lebih kuat bagi mencapai Maqasid al-Shari‘ah, yakni tujuan Islam yang adil kepada seluruh manusia. Kemudian, Majlis Syura Ulamak (MSU) PAS memutuskan secara ijmak yang melihat dari segi Siyasah Syar‘iyyah.


Kita mengambil pendekatan menangguhkan masalah Perlembagaan Persekutuan yang menganggu pelaksanaan syariat Islam yang sempurna dengan berkonsepkan tadarruj (pelaksanaan secara berperingkat dan bertahap).


Malangnya, apabila kita mengambil tindakan mengikut bidang kuasa agama Islam di bawah negeri, Kerajaan di Kelantan, Terengganu, kemudian di Kedah dan kini di Perlis, tiba-tiba mendapat tentangan daripada DAP dan rakan-rakannya.


DAP membuat kenyataan tidak senang berkenaan larangan minuman arak kepada penganut Islam sahaja yang bermula di Kelantan, walaupun larangan ini tidak termasuk penganut bukan Islam. Sehinggakan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz dengan nada marah pernah membuat kenyataan, “Kamu boleh minum arak di Kelantan sampai pecah perut!”


Terkini, Senarai II Jadual Kesembilan (Senarai Negeri) yang menyatakan bahawa Mahkamah Syariah, yang menjadi subjek Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU 355, mempunyai bidang kuasa hanya untuk orang Islam dan tidak melibatkan orang bukan Islam. Ia hanya menyentuh aspek undang-undang jenayah takzir yang bersifat mendidik, bukan mendera dan menyeksa. Dalam hal ini, DAP juga bangkit untuk berusaha menghalang.


Pandangan pimpinan PKR bahawa orang bukan Islam mempunyai hak untuk terlibat dalam perdebatan mengenai undang-undang itu, yang dianggap termasuk memberikan kesan kepada mereka secara tidak langsung seperti RUU 355 adalah salah. Malangnya, kalangan Ahli Parlimen Parti Amanah Negara (PAN) turut ikut serta bersama DAP dalam perbahasan.


Apabila Kerajaan Negeri di bawah PAS mengambil langkah menguatkuasakan kewajipan menutup aurat kepada penganut Islam dan berpakaian sopan kepada rakyat bukan Islam, dengan melarang pakaian tidak sopan pengaruh Barat yang bukan berasal dari China dan India, tiba-tiba DAP dan media bersamanya campur tangan dalam urusan negeri. Sikap mereka mempertahankan budaya Barat, bukannya budaya asal kaum Cina dan India.


Isu hiburan bebas yang bukanlah menjadi budaya kita, tiba-tiba DAP dan rakan-rakannya turut membuat kenyataan yang melonjak-lonjak dan mempertahankan konsep liberalisme atas nama kebebasan Barat yang telah terbabas daripada fitrah kemanusiaan. Terakhir ialah pindaan Kanun Keseksaan sangat longgar bagi membebaskan percubaan bunuh diri yang diharamkan oleh Islam terhadap semua rakyat tanpa mengira agama. 


Tidakkah ini pengaruh DAP? Mereka meletakkan hak asasi binatang lebih penting daripada hak asasi manusia dan akan muncul lebih banyak lagi isu sedemikian selepas ini.


Bersama konsep ‘Malaysian Malaysia’, bermakna hak Melayu dan bumiputera cuba dirungkaikan ikatannya dalam Perlembagaan Persekutuan oleh DAP melalui banyak kenyataan dan tindakan yang tidak boleh dinafikan.


Konsep mahu menghapuskan ketuanan Melayu dan bumiputera yang dirancang oleh penjajah British terhadap umat Islam, kini disambung oleh DAP dengan menarik sokongan Melayu yang bersikap kacang lupakan kulit dan jahil akan sejarah bangsanya sendiri. Tugas mereka ialah melabelkan rasis terhadap pemimpin Melayu Islam yang bersuara dan mempertahankan DAP yang terang sikap cauvinisnya.


Allah menunjukkan dalam al-Quran contoh binatang semut yang kecil berjuang menyelamatkan kaumnya. Firman Allah SWT:


﴿وَحُشِرَ لِسُلَيۡمَٰنَ جُنُودُهُۥ مِنَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِ وَٱلطَّيۡرِ فَهُمۡ يُوزَعُونَ١٧ حَتَّىٰٓ إِذَآ أَتَوۡاْ عَلَىٰ وَادِ ٱلنَّمۡلِ قَالَتۡ نَمۡلَةٞ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّمۡلُ ٱدۡخُلُواْ مَسَٰكِنَكُمۡ لَا يَحۡطِمَنَّكُمۡ سُلَيۡمَٰنُ وَجُنُودُهُۥ وَهُمۡ لَا يَشۡعُرُونَ١٨﴾


“Dan dihimpunkan untuk Sulaiman tenteranya daripada jin, manusia, dan burung, lalu mereka itu diatur dengan tertib (dalam barisan). (17) Hingga apabila mereka sampai di lembah semut, berkatalah seekor semut, ‘Wahai semut-semut! Masuklah ke dalam sarangmu, agar kamu tidak diinjak oleh Sulaiman dan tenteranya, sedangkan mereka tidak menyedari.’ (18)” (Surah al-Naml: 17–18)


Semua rasul berjuang dan mendoakan keselamatan kaum mereka, tanpa menjadikan nasionalisme atau kecintaan kepada kaum sebagai suatu aqidah yang mengatasi Islam.


Langkah mahu mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) adalah lebih bersifat agenda politik perkauman untuk menguasai bandar-bandar besar, bukannya hendak mengatasi masalah pentadbiran. Sepatutnya, perkara ini diuruskan secara pentadbiran yang terkawal.


Melayu yang berada dalam PH lebih kepada matlamat hendak menguasai politik; sikap yang sama dengan DAP bagi memegang jawatan tanpa memandang jauh ke hadapan dan berwawasan akhirat. Sehingga mereka sanggup berwala’ kepada orang bukan Islam yang diharamkan oleh Allah, bukan lagi mengadakan tahaluf yang diharuskan oleh Allah. Firman Allah SWT:


﴿لَّا يَتَّخِذِ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلۡكَٰفِرِينَ أَوۡلِيَآءَ مِن دُونِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَۖ وَمَن يَفۡعَلۡ ذَٰلِكَ فَلَيۡسَ مِنَ ٱللَّهِ فِي شَيۡءٍ إِلَّآ أَن تَتَّقُواْ مِنۡهُمۡ تُقَىٰةٗۗ وَيُحَذِّرُكُمُ ٱللَّهُ نَفۡسَهُۥۗ وَإِلَى ٱللَّهِ ٱلۡمَصِيرُ٢٨﴾


“Janganlah orang-orang Mukmin mengambil orang-orang kafir menjadi wali dengan meninggalkan orang-orang Mukmin. Sesiapa yang berbuat demikian, nescaya dia terlepas daripada pertolongan Allah, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti daripada pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diri-Nya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali.” (Surah Ali ‘Imran: 28)


Mereka mengadakan hubungan sehingga menjual prinsip dan konsep asasi Islam atau mengizinkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan direndah-rendahkan dan dihina kedudukannya. Sehinggakan, mereka melanggar sempadan yang telah ditetapkan kepada orang bukan Islam bagi mengawal keharmonian hubungan antara kaum dan agama.


Konsep yang salah ini dimasukkan ke dalam manifesto Pakatan Rakyat tanpa peduli kepada pendirian PAS yang menentang secara berterangan. Maka, perkara ini menjadi satu sebab PAS keluar dari Pakatan Rakyat.


Allah menjadikan wala’ yang salah itu sebagai satu sifat munafiq walaupun kerana mencari kemenangan. Firman Allah SWT:


﴿بَشِّرِ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ بِأَنَّ لَهُمۡ عَذَابًا أَلِيمًا١٣٨ ٱلَّذِينَ يَتَّخِذُونَ ٱلۡكَٰفِرِينَ أَوۡلِيَآءَ مِن دُونِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَۚ أَيَبۡتَغُونَ عِندَهُمُ ٱلۡعِزَّةَ فَإِنَّ ٱلۡعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعٗا١٣٩﴾


“Khabarkanlah kepada orang-orang munafiq bahawa mereka akan mendapat seksaan yang pedih, (138) (Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi wali (teman-teman penolong) dengan meninggalkan orang-orang Mukmin. Apakah mereka mencari kekuatan di sisi orang kafir itu? Maka, sesungguhnya, semua kekuatan kepunyaan Allah. (139)” (Surah al-Nisa’: 138–139)


Walau bagaimanapun, Allah tidak melarang untuk mengadakan hubungan dengan bukan Islam yang tidak ekstrem, antaranya ialah firman Allah SWT yang menyatakan sempadan hubungan tersebut:


﴿لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ٨ إِنَّمَا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ وَظَٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمۡ فَأُولَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ٩﴾


“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya, Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. (8) Sesungguhnya, Allah hanya melarang kamu daripada menjadikan orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu) sebagai kawanmu dan mengusir kamu dari negerimu, dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan (ingatlah) sesiapa yang menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (9)” (Surah al-Mumtahanah: 8–9)


Islam mengizinkan penglibatan orang bukan Islam dalam kerajaan yang tidak melibatkan dasar, sehingga orang bukan Islam yang tidak ekstrem dibolehkan berada dalam kabinet dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) kerajaan yang dipimpin oleh orang Islam (wizarah al-tanfiz).


Namun, DAP secara terbuka pula mahu orang bukan Islam menjadi Perdana Menteri secara bertulis dalam Perlembagaan Persekutuan. Firman Allah SWT:


﴿ٱلَّذِينَ يَتَرَبَّصُونَ بِكُمۡ فَإِن كَانَ لَكُمۡ فَتۡحٞ مِّنَ ٱللَّهِ قَالُوٓاْ أَلَمۡ نَكُن مَّعَكُمۡ وَإِن كَانَ لِلۡكَٰفِرِينَ نَصِيبٞ قَالُوٓاْ أَلَمۡ نَسۡتَحۡوِذۡ عَلَيۡكُمۡ وَنَمۡنَعۡكُم مِّنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَۚ فَٱللَّهُ يَحۡكُمُ بَيۡنَكُمۡ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِۗ وَلَن يَجۡعَلَ ٱللَّهُ لِلۡكَٰفِرِينَ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ سَبِيلًا١٤١﴾


“(Iaitu) orang-orang yang menunggu-nunggu (peristiwa) yang akan terjadi pada diri kamu (wahai orang-orang Mukmin). Maka, jika terjadi bagimu kemenangan daripada Allah, mereka berkata, ‘Bukankah kami (turut berperang) berserta kamu?’ Dan jika orang-orang kafir mendapat keberuntungan (kemenangan), mereka berkata, ‘Bukankah kami turut memenangkanmu, dan membela kamu daripada orang-orang Mukmin?’ Maka, Allah akan memberikan keputusan antara kamu pada Hari Kiamat dan Allah sekali-kali tidak akan memberikan jalan kepada orang-orang kafir untuk memusnahkan orang-orang yang beriman.” (Surah al-Nisa’: 141)


Orang bukan Islam diizinkan terlibat dalam kegiatan ekonomi termasuk dalam perkara yang dibenarkan oleh agama mereka, tetapi mengikut sempadan hukum yang ditetapkan oleh Islam seperti penjualan arak dan lain-lain dalam kalangan mereka sahaja.


Namun begitu, hal ini masih tidak memuaskan DAP dengan kenyataan terbuka mereka. Tidakkah ini sudah melampau?


PAS menyertai usaha menyatukan kaum Melayu bukan kerana perkauman, tetapi kerana kewajipan mempertahankan kaum dan bangsa yang menjadi fitrah manusia secara tabii dan tidak menolak ketetapan Allah mengenai wujudnya kaum dan bangsa. Firman Allah SWT:


﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ١٣﴾


“Wahai manusia! Sesungguhnya, Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, serta menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenali. Sesungguhnya, orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Surah al-Hujurat: 13)


Firman Allah SWT lagi:


﴿وَمِنۡ ءَايَٰتِهِۦ خَلۡقُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَٰفُ أَلۡسِنَتِكُمۡ وَأَلۡوَٰنِكُمۡۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّلۡعَٰلِمِينَ٢٢﴾


“Dan antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi dan berlain-lainan bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui.” (Surah al-Rum: 22)


Setiap orang rasul memulakan dakwah dengan tujuan menyelamatkan kaumnya terlebih dahulu. Firman Allah SWT:


﴿وَمَآ أَرۡسَلۡنَا مِن رَّسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوۡمِهِۦ لِيُبَيِّنَ لَهُمۡۖ فَيُضِلُّ ٱللَّهُ مَن يَشَآءُ وَيَهۡدِي مَن يَشَآءُۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ ٤ وَلَقَدۡ أَرۡسَلۡنَا مُوسَىٰ بِأَيَٰتِنَآ أَنۡ أَخۡرِجۡ قَوۡمَكَ مِنَ ٱلظُّلُمَٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ وَذَكِّرۡهُم بِأَيَّىٰمِ ٱللَّهِۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّكُلِّ صَبَّارٖ شَكُورٖ٥﴾


“Kami tidak mengutus seorang rasul pun melainkan dengan bahasa kaumnya, supaya dia dapat memberikan penjelasan dengan terang kepada mereka. Maka, Allah menyesatkan sesiapa yang Dia kehendaki dan memberikan petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Dialah Tuhan yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana. (4) Dan sesungguhnya, Kami telah mengutus Musa dengan membawa ayat-ayat Kami, (dan Kami perintahkan kepadanya), ‘Keluarkanlah kaummu daripada gelap-gelita kepada cahaya terang benderang dan ingatkanlah mereka kepada hari-hari Allah.’ Sesungguhnya, pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi setiap orang penyabar dan banyak bersyukur. (5)” (Surah Ibrahim: 4–5)


Nabi Muhammad SAW yang diutus kepada seluruh manusia, bermula dengan bangsa Arab dan menyatukan mereka apabila berlaku Hijrah dan Fathu Makkah, melalui tindakan mengajak kepada Islam dan memberikan pengampunan secara beramai-ramai. Kemudian, diikuti dengan perpaduan umat manusia.


Apabila kita mengajak kepada perpaduan Melayu, tidak bermakna langsung kita mahu menghapuskan kaum Cina dan India. Apa yang disanggah ialah usaha menghapuskan bangsa Melayu dan ketuanannya atau melumpuhkan mereka sepertimana yang berlaku terhadap Red Indian di Amerika dan sebagainya yang dirancang oleh penjajah.


‘Malaysian Malaysia’ ialah pelaksanaan perancangan penjajah terhadap bangsa Melayu kerana keislamannya. DAP dan rakan-rakannya sekadar menyambung tugas tersebut.


Betapa rapatnya Melayu dengan Islam sehingga menjadi bahasa pasar; setiap orang Islam adalah Melayu dan orang Melayu menganggap semua orang Islam ialah bangsanya. Kalau masuk Islam, bermakna masuk Melayu, dan Melayu murtad adalah bukan Melayu lagi. Hanya Melayu baharu sahaja yang jahil akan perkara ini.


Dalam buku pelayaran Ibn Battutah, beliau menyebut kedatangannya ke Nusantara dengan melihat Islam menerima sambutan yang hebat. Begitu juga kedatangan Laksamana Cheng Ho yang beragama Islam. Begitulah hubungan bangsa dan agama Islam menjadi satu dengan kebangsaan rumpun Melayu.


Penjajah masih menakluki fikiran selepas menakluki tanah air. Walaupun penjajah asing sudah pulang ke Eropah, penjajahan fikiran masih bertapak. Antaranya ialah memutuskan hubungan erat antara Islam dengan bangsanya.


DAP dan pengikutnya ialah warisan bala tentera penjajah yang berusaha mendapat kekuatan politik setelah berjaya menjajah ekonomi. Maka, kefahaman sekularisme ialah senjatanya dan konsep ‘Malaysian Malaysia’ juga rangkaiannya.


ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS


Bertarikh: 19 Zulhijjah 1444 / 8 Julai 2023


[Bil: 55 / 2023]

Ulasan