Jerteh Bandar ‘Sejahtera, Peduli Dan Lestari’

 


BESUT - Dewan Undangan Negeri N03 Terengganu yang termasuk di dalamnya bandar Jerteh akan dibangunkan secara ‘Sejahtera, Peduli dan Lestari’.

Calon PAS/ Perikatan Nasional Dr Riduan Mohamad Nor berkata, bandar tersebut bukan sahaja akan menjadi bersih dari segi fizikal tetapi juga dari sosial.

“bersih dari segi kekotoran, kemudiannya bersih dari segi penyalahgunaan  dadah dan kita akan menyiapkan projek-projek yang terbengkalai dan tergedala sebelum ini dan kita akan meneruskan perancangan kerajaan negeri untuk menjadikan Jerteh sebagai satu bandar perniagaan,

“bandar ilmu dan intelektual supaya dapat diperluaskan medan ilmu yang telah dilaksanakan di tengah-tengah Jerteh sebelum ini, kita menjemput para penceramah untuk menyampaikan ilmu kepada masyarakat,” jelasnya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghantar borang pencalonan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Jerteh untuk pilihan raya umum Negeri Terengganu yang ke-15 di Dewan Gong Kemuntung di sini hari ini.

Menurutnya beliau akan mengimarahkan budaya positif dalam kalangan anak-anak muda dan meningkatkan penyebaran syiar Islam serta menghalang pengembangan budaya hedonism.

“kalau nak buat hiburan boleh tapi mestilah yang patuh syariah, konsert-konsert untuk anak-anak tidak melanggar batas agama,

“Kita tahu bahawa PAS ini adalah parti semua kaum, semua bangsa dan semua ugama dan kita harap semua penduduk dapat memberikan sokongan kepada PAS dalam pilihan raya umum negeri Terengganu yang ke-15 pada kali ini,” ujar beliau.


Beliau berharap para pengundi dapat memilih calon berdasarkan ‘kompetensi’ dan pakej kepimpinan untuk memimpin rakyat negeri ini.

“saya hanya mewakili parti dan jamaah, saya masih memegang jawatan Pengerusi Tetap Dewan Pemuda PAS Malaysia dalam hiraki pemuda dan beriltizam untuk memajukan anak bangsa,

“nak jaga anak-anak muda kita supaya mereka tidak terlibat dengan budaya yang seronok-seronok sahaja, gejala sosial, dadah dan sebagainya,”

Justeru sebagai Timbalan Pengerusi Persatuan Pencegahan Dadah (PEMADAM) daerah Besut katanya, beliau berazam untuk meneruskan usaha kempen anti dadah.


Oleh itu, beliau yakin semangat kebangkitan orang muda memenangkan PAS pada pilihan raya umum ke-15 akan berterusan dan optimis PAS akan menang 32 DUN sebagaimana sasaran parti itu pada PRU Negeri kali ini.

“pilihan raya umum, PAS menang 8 – 0, kbangkita anak muda di negeri-negeri Islam Melayu, saya yakin unjuran kali ini tetap ke arah itu,

“32 – 0 bagi seluruh negeri dan PAS menang keempat-empat DUN di Besut dengan anak-anak muda menjadi pendokong kepada Perikatan Nasional dan PAS,” tambah beliau.


 

Ulasan