Kerajaan Perpaduan PH-BN Hanya Retorik - Ustaz Khalil


KUALA TERENGGANU- Kerajaan Perpaduan yang digambarkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) hanya retorik semata-mata, ujar Dr Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Calon PAS bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk itu berkata, perkara tersebut terbukti apabila calon PH dan BN dalam Parlimen Kuala Terengganu bertanding menggunakan logo masing-masing.

"Hari ini Perikatan Nasional seramai 245 calon di seluruh negeri yang dipertandingkan bersepakat dalam penggunaan logo. 

"Logo PAS digunakan di Negeri Terengganu dan Kelantan, rakan-rakan dari BERSATU juga menggunakan logo PAS.


"Manakala baki empat negeri lagi menggunakan logo Perikatan Nasional," ujarnya dalam Ceramah Mega Pengenalan Calon yang diadakan di Kuala Ibai, di sini semalam.

Turut hadir dalam ceramah itu Naib Presiden PAS, Dato Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga merupakan calon N19 Rhu Rendang.

Selain itu, Calon P036 Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Amzad Hashim, Calon N13 Wakaf Mempelam, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah, Calon N14 Bandar, Ustaz Ahmad Shah Muhamed dan Calon N15 Ladang, Zuraida Md Noor turut hadir menyampaikan ceramah.

Jelas Ustaz Khalil lagi, perpaduan sebenar ada di dalam gabungan Perikatan Nasional kerana selain menggunakan simbol yang sama, koalisi itu juga tidak bergaduh.

"Ini baru betul-betul berpakat, bukan hanya menggunakan nama perpaduan tetapi berbalah antara satu sama lain," tambahnya lagi.

Ulasan