Oleh : Muhamad
KUALA TERENGGANU - Gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional yang ada pada hari ini adalah kerajaan berfikiran pembangkang.
Calon PAS Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Hashim berkata, kerajaan madani adalah sebuah koalisi pemalas, tidak fokus dan lebih suka berpolitik sehingga hal ekonomi rakyat diabaikan.
Katanya, kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya sibuk mencari kesalahan-kesalahan pimpinan kerajaan terdahulu berbanding menyelesaikan isu rakyat.
"Ini berbeza dengan kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini, tanggungjawab diberi kepada saya dahulu sebagai Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang mana kementerian ini diberi tanggungjawab besar ketika negara berhadapan wabak pandemik COVID-19 untuk menjayakan kunci pemulihan negara dan nyawa iaitu program vaksinasi," ujarnya.
Beliau berkata demikian di Ceramah Mega Pengenalan Calon PAS bagi kawasan Kuala Terenggan di Kuala Ibai di sini semalam sebagai menjawab tohmahan yang dilemparkan oleh Pengerusi Barisan Nasional Terengganu, Dato Seri Ahmad Said yang mempersoalkan kerja beliau semasa menjadi Ahli Parlimen penggal lalu.
Katanya lagi, kejayaan besar yang dibuat beliau adalah program vaksinasi COVID-19 hingga membolehkan semua orang hidup seperti biasa.
"Saya nak beritahu, dia boleh berkumpul boleh berucap di pentas yang terbuka adalah kerana kejayaan kita dapat memulihkan masalah COVID-19," ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Ahmad Amzad yakin dapat mempertahankan kerusinya itu dengan majoriti yang lebih besar berbanding dengan 40,907 undi sebelum ini.
Beliau turut memberi keyakinan dapat pertahankan dan mengulangi kemenangan 5-0 bersama rakan-rakan pada PRU-14 yang lalu.
Ulasan