Muslimat Muda Aktif Ziarah Siasah

 


Oleh : RR

KUALA TERENGGANU – Jentera pilihan raya muslimat muda aktif ziarah siasah mengunjungi para pemudi di kesemua 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.

Ketua Ameerah Terengganu, Asma Abdullah berkata, gerak kerja secara berpasukan telah dilakukan sebelum DUN dibubarkan lagi.

“sasaran kita 32 – 0, Insya Allah wanita muda Terengganu akan mengekalkan kerajaan PAS hari ini melalui Pilihan Raya Negeri  (PRN) nanti.

“Doakan kami semoga dipermudahkan segala urusan dan mendapat kemenangan yang lebih besar kali ini,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, semua anak muda di Terengganu dan yang berada di perantauan diseru agar pulang serta menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat.

Oleh itu beliau menyeru semua pengundi muda memanfaatkan peluang yang hanya muncul empat hingga lima tahun sekali sahaja, sebaiknya. 

"untuk menentukan pemimpin baik dan mampu menunaikan amanah rakyat demi masa depan negeri yang lebih baik. 

“Tanggungjawab mengundi adalah wajib dan ianya bakal dipersoalkan di akhirat nanti siapa pemimpin yang kita pilih. 


“Jika kita tidak mengundi hakikatnya kita tetap memilih untuk tidak mengundi, merugikan kita orang Melayu  Islam terutamanya dalam keadaan hak kita semakin hilang dan dirampas oleh orang lain,” tegasnya.

Justeru beliau mengajak semua rakyat Malaysia agar sama-sama kita melihat apa yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan persekutuan pada masa ini.

“Nilailah dengan mata hati yang sebenar dan lihatlah dengan mata kasar apa yang sedang berlaku dalam negara kita hari ini.

“Segalanya di hujung jari apa-apa maklumat boleh dicari, bukti telah jelas dan kebenarannya pasti akan menang meskipun pihak lawan terus menabur fitnah terhadap PAS dan Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Tambahnya,  anak muda perlu bijak membuat pilihan dengan melihat keberjayaan PAS Terengganu meneraju kerajaan selama lima tahun pemerintahan.

“Kita berjaya menunaikan 20 manifesto yang telah dijanjikan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu dan sekarang kita ada 10 tawaran lagi buat rakyat Terengganu khususnya untuk anak muda kita.

“Tawaran ini hanya ada pada negeri kita sahaja dan ianya sudah cukup membuktikan bahawa PAS Terengganu mampu mentadbir serta akan terus berusaha melakukan yang terbaik untuk rakyatnya,” katanya lagi.

Oleh kerana itu, beliau menyeru kepada semua anak -anak muda agar buat pilihan yang terbaik dan mengekalkan parti PAS bagi merealisasikan harapan rakyat Terengganu.

Ulasan