PH Tidak Kuat, Ketakutan


KUALA NERUS  – Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata kedudukan Pakatan Harapan (PH) kini tidak kuat dan sentiasa berada dalam ketakutan berdepan dengan kebangkitan rakyat menolak mereka dalam Pilihanraya Negeri (PRN) di enam negeri di seluruh negara pada 12 Ogos ini.

Bagaimana pun katanya PN tidak perlu merasa selesa dengan perkembangan tersebut sekali gus perlu bekerja keras bagi memastikan tiga negeri PN dipertahankan menawan tiga negeri lain dalam PRN tersebut.

Negeri yang diterajui PN sebelum ini ialah Kelantan, Terengganu dan Kedah manakala Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan dikuasai oleh PH-BN.

“Yang penting kita (PN) mesti bersatu dan melaksanakan tugas sebaiknya bagi mencapai kemenangan dalam PRN kali ini. 

“Jangan duduk meratib, berzikir di masjid saja tanpa melibatkan diri dengan politik dan semua pengundi mesti mengundi untuk mendapatkan kembali kuasa Melayu, Bumiputera Islam memerintah negara,” tegasnya.

Beliau menegaskan demikian ketika berucap di Majlis Himpunan Teguh Pertahan di Dataran Jambatan Angkatan di sini semalam.


Turut hadir Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yasin, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Bendahari Agung PN. Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Pesuruhjaya PAS Terengganu Dato’ Husain Awang, beberapa pimpinan PN Pusat dan Negeri serta Pimpinan PAS Terengganu.

Kira-kira 30 ribu penyokong dan pemerhati PN hadir di majlis tersebut dan tidak kurang 10 ribu penonton menyaksikan siaran langsung di pelbagai saluran media sosial.

Tan Sri Abdul Hadi yang juga Presiden PAS berkata dalam gabungan PH-BN terdapat pelbagai jenis pemimpin yang terbabit dengan kes jenayah dan salah laku undang-undang.

“Rakyat perlu menolak parti dan kepimpinan sedemikian bagi memastikan pemerintahan negara stabil dan dihormati,” ujarnya lagi.


Ulasan