Sekampung Teruja Raya Haji Bersama KAMI


KENINGAU - Seluruh penduduk Kampung Singgamata Sodomon teruja menyambut Hari Raya Haji bersama Badan Bukan Kerajaan(NGO), Kelab Aktivis Media Inspirasi(KAMI)  yanng  melaksanakan penyembelihan  lembu korban.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Abdul Hisham Othman berkata sumbangan seekor lembu korban dari NGO KAMI pada hari keempat tasyrik ini sangat bermakna kerana tahun ini  tiada penduduk yang melaksanakan penyembelihan binatang korban. 

"Mungkin harganya yang mahal membuatkan penduduk tidak mampu, mudah-mudahan tahun depan kita dapat merasa daging korban kita sendiri berkat kekuatan dan kesungguhan golongan muslim kita walaupun tak ramai," ujarnya yang jelas tampak keterujaannya. 

Abdul Hasyim berkata demikian di majlis suai kenal dan penyerahan daging korban serta Al Quran kepada penduduk Islam di perkarangan rumah pengerusi surau kampung itu di sini pada 2 Julai lalu.


Rombongan KAMI, seramai tiga orang dan penduduk kampung  turut dijamu makan tengahari oleh kaum wanita yang menyiapkan masakan sejak awal pagi. 

Disamping itu daging korban juga diagihkan kepada penduduk-penduduk di kampung itu dan juga Kampung Merapok dan Kampung Tohan baru .

Beliau juga memuji program yang masuk tahun kedua yang dikendalikan KAMI sambil menyifatkannya sebagai sangat berjaya. 

"Ini kerana program ini telah berjaya mengumpulkan  komuniti Islam untuk majlis agama yang besar iaitu Hari Raya Haji dan juga berjaya mengeratkan silaturahim  sesama penduduk," katanya lagi.

Turut sama  seorang pesara polis berpangkat sarjan, Adnan Jaafar yang merupakan cucu kepada pengasas kampung itu, Indayung.

Dia sangat bersyukur diatas kesudian NGO itu datang ke kampungnya dan melaksanakan korban.

"Semua keluar menunggu dan mereka tidak ke kebun mahupun keluar bekerja kerana meraikan sembelihan korban tahun ini.

"Alhamdulillah rezeki orang kampung dapat merasa daging korban tahun ini, harap tahun depan dapat bertamu lagi tempat kami," ujarnya dengan wajah yang sangat gembira.



Ulasan