Tiada Sebab Nak Jatuhkan Kerajaan PAS


KUALA TERENGGANU – Tiada sebab untuk menjatuhkan Kerajaan Parti Islam Se-malaysia (PAS) Terengganu setelah berjaya menunaikan 20 manifesto keseluruhan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sepanjang tempoh pemerintahan.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu Dato’ Dr Alias Razak berkata pihaknya telah mengkaji terlebih dahulu dari sudut kemampuan kewangan semasa sebelum menyatakan tawaran manifesto.

Katanya, rakyat Terengganu bijak menilai tawaran yang disediakan oleh parti yang berbentuk realistik atau sekadar janji sahaja.

“Kami berharap agar rakyat terus memberi mandat terhadap kerajaan negeri bagi mentadbir negeri ini.

“Setelah pelbagai kejayaan yang diperolehi serta janji yang telah dilaksanakan oleh kerajaan sekarang,” jelasnya.


Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata demikian ketika Sidang Media Pengumuman calon Perikatan Nasional di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, Jalan Sultan Omar di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Pilihan Raya PAS negeri Terengganu, Ariffin Deraman.

Tambah Dr Alias, PAS akan bertanding 27 daripada 32 kerusi Dewan Undangan negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Manakala, lima kerusi lagi diberikan kepada BERSATU yang akan menggunakan logo PAS.

“Penetapan kerusi itu dilakukan atas persetujuan bersama antara kepimpinan kedua-dua parti.

“Kami sudah mengadakan perbincangan serta persetujuan mengenai pengagihan kerusi tersebut dalam keadaan baik.

“Kesemua calon yang akan bertanding itu akan diumumkan esok oleh Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bertempat di Dewan Tok Guru, Rusila, Marang," ujarnya.

Ulasan