Aktiviti Kempen - Insiden Sogok, Ugut Anggota Polis, Tentera

 


Alhamdulillah, hari ini sudah masuk hari yang ke-12 kempen dan berbaki 3 hari sahaja lagi untuk tiba hari mengundi. 

Sehingga ke hari ini, jentera parti di semua peringkat terus giat dan semakin bersemangat menggerakkan aktiviti kempen di tempat masing-masing. Berdasarkan laporan yang diterima juga, calon-calon PAS telah turun hampir ke semua kampung dalam DUN masing-masing untuk menyantuni para pengundi. 

Menariknya, selain menerima maklum balas yang positif daripada golongan muda, PAS juga mendapat sokongan yang sangat baik daripada orang-orang lama UMNO/BN sendiri yang selama ini berjuang dan berkorban untuk parti di peringkat akar umbi. 

Ini menjadi indikator yang sangat signifikan kepada perubahan trend pengundian melibatkan golongan ini. Jika sebelum ini UMNO/BN mampu bertahan kerana undi daripada golongan ini, insyaAllah dengan trend terbaharu ini nanti, golongan ini pula yang menjadi punca kejatuhan UMNO/BN setelah sebelum ini parti ini ditolak oleh golongan muda.

Sepanjang tempoh kempen setakat ini, alhamdulillah tiada insiden yang tidak patut seperti perbalahan dan ketegangan berlaku di mana-mana tempat. Nampaknya budaya politik matang dan sejahtera yang diperkenalkan dan diamalkan oleh PAS sudah diterima dan menjadi budaya semua pemimpin dan rakyat Terengganu. 

Pengundian Awal

PAS Terengganu juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada warga anggota tentera dan polis yang telah membuang undi semalam. Berdasarkan peratusan keluar mengundi yang tertinggi melebihi 95% berbanding 5 negeri lain menyerlahkan lagi kematangan rakyat dan penduduk negeri ini dalam menunaikan tanggungjawab yang ditetapkan oleh agama dan negara ini. 

Diharapkan peratusan ini akan menjadi penanda aras dan pemangkin kepada peratusan keluar mengundi yang juga tinggi pada 12 Ogos nanti.

Insiden Sogok, Ugut Anggota Polis, Tentera

Walau bagaimanapun, PAS menzahirkan rasa dukacita dan memandang serius dengan insiden sogokan dan ugutan yang dilaporkan berlaku kepada para anggota tentera dan polis yang semalam.v

Kejadian di Kemaman ini yang tular di media sosial dengan video, gambar dan tangkap layar jelas menunjukkan anggota keselamatan ini telah diumpan dengan duit bahkan dipaksa untuk mengundi parti tertentu yang tidak perlu disebutkan namanya di sini. 

Insiden ini sekiranya benar-benar berlaku bukan sahaja menunjukkan ada pihak-pihak tertentu yang sedang terdesak untuk memenangi pilihan raya bahkan sedang menjahanamkan agenda pemerkasaan demokrasi yang menjadi teras sistem pemerintahan dan pentadbiran negara ini.

Justeru, PAS Terengganu menggesa pihak PDRM dan SPRM segera menjalankan siasatan supaya pihak-pihak yang terlibat dikenakan tindakan dan hukuman yang sewajarnya.

Rakam Video dan Laporkan kepada Polis

PAS Terengganu juga menerima banyak laporan berkaitan pelangaran Akta Kesalahan Pilihan Raya oleh jentera dan calon parti lawan terutamanya melibatkan unsur-unsur rasuah dalam aktiviti kempen mereka.

Semalam juga difahamkan bahawa sudah ada laporan polis yang dibuat ke atas calon BN DUN Ladang apabila pengadu mendapati terdapat unsur rasuah dilakukan oleh calon tersebut dalam program Tukar Minyak Hitam di Pangsapuri Ladang Gemilang pada 4 Ogos lalu. 

Malah terdapat beberapa calon lagi yang telah dikenalpasti turut melakukan kesalahan pilihan raya terutamanya melibatkan aktiviti berunsurkan sogokan.  

Dijangkakan pada hari-hari akhir menjelang hari pengundian 12 Ogos ini, lebih banyak aktiviti kempen berunsurkan sogokan dan rasuah untuk mengumpan para pengundi.

Justeru adalah diingatkan kepada para pengundi untuk terus memantau insiden seumpama ini sekiranya berlaku di tempat masing-masing. Sila rakam video, gambar atau bukti-bukti yang lain dan segera laporkan perkara tersebut kepada pihak polis dan SPRM.

PAS Terengganu sendiri juga sedang meneliti beberapa insiden salah laku melibatkan calon-calon lawan untuk dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Serangan ke atas Ervan Rizuan, Anak Muda Bijak Menilai

Semalam juga tular dakwaan daripada laman sesawang yang tidak bertanggungjawab mengatakan kononnya PAS Terengganu telah memberikan upah kepada Ervan seorang pempengaruh media sosial, Tiktoker anak muda. 

Ini satu fitnah yang jahat dan tidak benar sama sekali, malah tuduhan jahat ini merupakan satu penghinaan kepada Ervan dan juga anak muda Terengganu kerana seolah-olah harga diri mereka amat murah untuk dijual beli. 

Saya yakin saudara Ervan membuat video-video  sokongan beliau kepada PAS bukan kerana apa-apa habuan yang diterima daripada mana-mana pihak, namun kerana beliau sebagai anak muda tahu menilai yang mana kaca dan yang mana permata. 

Pada kesempatan ini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada saudara Ervan dan anak-anak muda Terengganu yang teguh dan terus menyokong PAS.

Komited Laksana 20 Manifesto Sedia Ada, 10 Tawaran Baharu

Pada kesempatan ini juga PAS Terengganu sekali lagi ingin mengulangi semula komitmen untuk melaksanakan 10 tawaran baharu sebaik mengekalkan kemenangan pada 12 Ogos nanti.

Di samping itu, 20 manifesto yang telah berjaya dilaksanakan sebelum ini akan tetap diteruskan pada penggal berikutnya.

Ini menjadikan rakyat negeri Terengganu bakal menerima 30 manfaat utama di bawah pentadbiran PAS selepas ini, insya-Allah.


YB DATO' DR. HJ. ALIAS BIN RAZAK*

Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS Terengganu/ Ahli Parlimen Kuala Nerus_

Tarikh : 9 Ogos 2023 / 22 Muharam 1445H

Ulasan