Iktibar Kisah Cacing Parasit Dalam Otak Manusia


Masa kecik dulu, mak selalu larang "jangan buas sangat". Saya ni sampai kegenap ceruk kampung dijajahi, termasuk tali air, sungai pun kitalah sebagai raja. Mak selalu marah sebab tak pakai selipar Jepun. Katanya bimbang kalau kena cacing, boleh naik ke mata.

Masa kecik memang degil dan buas. Tak dengar sangat nasihat mak. Tak pakai kasut ataupun selipar kerana renyah nak berjalan laju. Makan pun tak berjadual, kekenyangan begitu sahaja dengan makan buah-buahan. Pendek kata setiap lembah, lurah serta kolam adalah lokaliti rutin untuk cari ikan puyu dan keli. Memang all rounder.

Pernah satu hari menolong minta mak selamatkan, sebab berak kesat. Rupanya cacing gelang terkumpul kat bawah menyebabkan susah untuk berak. Lepas tu lah mak bawa ke klinik untuk makan ubat cacing. Pendek kata zaman dulu-kala rata-rata budak kampung mempunyai masalah yang sama iaitu dijangkiti oleh cacing kerawit ataupun cacing gelang yang menyebabkan mereka tak cukup zat makan termasuk juga diri aku. Orang tua-tua zaman dahulu mungkin banyak kali lihat peristiwa cacing naik ke mata menyebabkan mereka boleh membuat perumpamaan "Jangan sampai cacing naik ke mata". Ibu bapa pun tahu, menjaga kebersihan diri dan memakai alas kaki adalah asas agar tidak dimasuki oleh cacing sehingga merayap ke dalam mata.

Zaman sekarang sudah pun berubah dengan kebersihan diri serta sanitasi yang baik di setiap lokaliti kampung menyebabkan jarang dilaporkan berlakunya gejala kecacingan di kalangan anak-anak kecik kita. Jadi kalau ada berita yang pakar menemui jangkitan cacing ke dalam otak seperti yang berlaku di Australia ini, memang boleh menggemparkan dunia. Kerana isu seperti itu sudah jarang-jarang berlaku dalam dunia serba moden ini.

Saya yakin species cacing ini masih wujud dalam tanah dan persekitaran kita. Cuma anak-anak zaman sekarang sudah kurang bermain di luar. Apabila bermain pun mereka memakai alas kaki dan tidak makan makanan yang mentah di merata tempat seperti zaman kami dahulu. Zaman sememangnya sudah berubah. 

Jangkitan cacing itu boleh menjangkiti manusia samada kita makan secara terus telur mereka ataupun ianya masuk secara terus melalui tapak kaki kita yang kita berjalan tanpa alas kaki atau melalui kulit semasa mandi. Biasanya cacing ini akan membiak di dalam usus kita dan boleh mengganggu sistem penyerapan zat makanan. Ada di kalangan cacing tersebut yang jarang-jarang sekali yang menembusi usus dan masuk kesaluran darah sehingga boleh merebak ke merata tempat termasuklah ke dalam otak dan mata.

Rawatan kecacingan ini senang sahaja iaitu melalui ubat cacing yang boleh dapati percuma di klinik kesihatan. Adalah disarankan bagi anak-anak yang baru umur lima tahun ke bawah makan ubat cacing ini setiap 6 bulan hingga 12 bulan sekali.

Suhazeli Abdullah

30/8/2023

Ulasan