Penjajah British terkenal dengan kelicikannya yang terbuka tanpa berselindung, namun masih ramai yang diperbodohkan sehingga tidak sedar dipergunakan. Antaranya dengan menggunakan bangsa yang dijajahnya untuk menjadi tentera barisan hadapan bagi menentang musuh mereka.
Contoh yang paling tersohor ialah askar Gurkha yang berasal dari Nepal, negeri pergunungan Himalaya yang tahan lasak dan sangat berani, serta patuh mengikut arahan. Apabila keberanian mereka dipuji, maka lagilah melonjak dirinya.
Mereka sangat bersungguh-sungguh menjalankan tugas sehinggakan boleh melawan sesiapa sahaja dan dikerah ke mana-mana sahaja. Asalkan mereka diberikan makanan yang cukup, serta mendapat sedikit duit serta diberikan keistimewaan layanan dalam bentuk tempat tinggal dan kemudahan kesihatan.
Dalam politik Malaysia, kita menyaksikan cara British tersebut dijadikan suatu pendekatan dalam kegiatan politik. Hal ini dapat disaksikan melalui Parti Amanah Negara (PAN) yang ditubuhkan dengan kerjasama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) untuk melawan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), setelah gagalnya tugas mereka untuk menguasai atau merosakkan PAS secara dalamannya.
Lantas, mereka secara beramai-ramai keluar daripada PAS apabila menemui kegagalan dan disingkirkan oleh ahli-ahli PAS. Walaupun pada awalnya mereka berjaya mendapat tempat sehingga ke peringkat pusat dan negeri, serta menawan segelintir pengikut, akhirnya mereka terpaksa terjun keluar daripada PAS.
Mereka secara terbuka diberikan tempat dalam Pakatan Harapan (PH), sehingga diletakkan bertanding menjadi calon menentang PAS, khususnya di kawasan campuran yang mempunyai pendukung DAP. Selain itu, mereka juga diberikan tempat dalam kabinet dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) setelah PH berjaya menubuhkan kerajaan.
Kini, perkara itu dibuktikan sekali lagi apabila mereka mendapat undi hampir 100 peratus daripada kalangan penyokong DAP dan sedikit undi tambahan daripada orang Melayu yang pening akalnya atau yang dapat dibeli.
Bahkan, dapat disaksikan lagi apabila PAN menjadi jurucakap DAP bagi menyerang PAS dan bersama DAP bagi menentang pindaan terhadap Rang Undang-undang 355 (RUU 355) atau Akta 355 yang berkait dengan hukuman takzir Islam yang hendak diperkenalkan.
Kedua-dua perkara ini sangat menakutkan DAP dan kumpulan liberal yang menghalang pelaksanaan syariat dan berjuang bagi menghapuskan syariat yang mulia. Hal ini demikian kerana, mereka bimbang langkah itu akan mendapat sokongan golongan bukan Islam apabila menyaksikan pelaksanaannya, dan membuka pintu kepada pelaksanaan hukum Islam dalam aspek yang lain.
PAN cukup berjasa kepada DAP, sehingga sanggup menjadi benteng pertahanannya yang tidak perlu diarah kerana berjaya mendapat tarbiah yang mencapai tahap wala’ kepada DAP, laksana askar Gurkha dalam tentera British. Adapun mereka memakai unifom berceloreng Islam dan Melayu walaupun terkoyak lusuh bagi menjimatkan belanja. Malah, mereka menggunakan senjata tiruan yang berjenama Islam.
Antaranya dengan menunjukkan amar ma‘ruf dan nahi munkar yang sangat nyata koyaknya. Terkini, mereka bersuara menentang kemungkaran budaya takfir (kafir-mengkafir), senjata lama yang pernah digunakan bagi menyerang PAS, namun mereka meninggalkan kemungkaran murtad yang lebih berdosa dan besar jenayahnya dalam Islam.
Walau bagaimanapun, senjata lama takfir gagal memusnahkan PAS, bahkan tentera yang digunakan menyerah kalah atau melarikan diri, sama ada masuk ke dalam UMNO atau PH.
Adapun kemungkaran riddah (murtad) tidak dicegah kerana hal itu menjadi perjuangan DAP iaitu tuan besarnya yang menyambung usaha penjajah Barat terdahulu.
Kini, DAP berjaya mendapat anggota baharu daripada UMNO pula yang mahu menyelamatkan diri daripada masalah peribadi masing-masing atau yang sudah lama dipasang menjadi agen kepada PKR yang berkembar dengan DAP, bagi menguasai UMNO atau memporak-perandakan parti Melayu yang besar.
Sehinggakan, UMNO terkeluar daripada dasar dan landasan asal perjuangannya untuk membela agama, bangsa dan tanah air. Lalu menyebabkan ramai dalam kalangan akar umbi UMNO yang pening lalat, dan ada yang keluar menyelamatkan diri daripada kapal UMNO yang sedang bocor dengan parahnya.
Ada dalam kalangan UMNO yang bersama PH dan DAP kini menjadi tentera pelatih Gurkha, sehingga meletakkan kedua-dua belah kakinya bersama DAP dan PKR dengan penuh wala’. Bahkan, ada yang meletakkan sebelah kaki secara oportunis apabila melihat keputusan pilihan raya dan ada juga yang tergamam lalu tidak keluar mengundi.
Namun begitu, masih ada yang menyelamatkan diri bersama PAS dan Bersatu atau Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) berjenama baharu atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dan Melayu.
Ada daripada kalangan UMNO bersama generasi baharu anak muda menjadi gelombang yang menggelabahkan DAP dan PH serta mereka yang berada dalam saf bersamanya, sehingga mereka terpinga-pinga dalam menentukan sama ada warnanya hijau ataupun tidak.
Keadaan ini berlaku apabila mereka menyaksikan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di peringkat Parlimen dan beberapa negeri, serta Pilihan Raya Negeri (PRN) di 6 negeri baru-baru ini yang menyaksikan bertambah kuatnya PN di Kelantan, Terengganu dan Kedah setelah menawan Perlis, serta mula menembusi benteng PH di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
Kenyataan beberapa pemimpin tertinggi UMNO yang cuba mempertahankan DAP telah menunjukkan berlakunya proses latihan (eksesais) untuk menjadikan UMNO sebagai anggota baharu dalam pasukan Gurkha DAP. Sehinggakan, pemimpin itu terpaksa melakukan kempen betapa perlunya UMNO bersama DAP dengan alasan parti itu telah menerima Islam dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk hak istimewa bangsa Melayu dan bumiputera.
Akan tetapi, DAP masih lagi berpegang teguh dan tetap berjuang mengikut perlembagaan partinya, malah tetap menegaskan dan terus mempertahankan prinsip sekularisme. Maka, pentafsiran Islam dalam Perlembagaan Persekutuan adalah mengikut ilmu DAP iaitu dengan mengekalkan Islam pada kedudukan yang rendah mengikut kedudukan yang diletakkan oleh penjajah dahulu.
Bukan itu sahaja, DAP juga terus memperjuangkan konsep ‘Malaysian Malaysia’ yang memperkecilkan ketuanan asal Melayu Islam dan bumiputera yang memiliki tanah air ini. Tujuannya untuk memberikan ketuanan yang sama kepada warga asing mengikut agenda penjajah dahulu yang bertujuan melemahkan kedudukan Islam dan Melayu yang menganutnya.
Maka, DAP memilih untuk bersama pihak antarabangsa yang membawa agenda ICERD bagi melangsungkan campur tangan penjajah terhadap tanah air ini.
Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Kaum atau International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination (ICERD) ialah sebuah konvensyen (perjanjian) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Sebagai sebuah hak asasi manusia generasi ketiga, konvensyen tersebut meminta anggotanya untuk menghapuskan diskriminasi terhadap kaum dan menggalakkan kesefahaman antara semua kaum. Namun, konvensyen ini juga menghendaki ahli anggota untuk mengharamkan ucapan kebencian (hate speech) dan menjadikan penyertaan dalam organisasi perkauman sebagai bentuk jenayah.
Konvensyen ini juga mengandungi sebuah mekanisme aduan individu, yang menjadikannya dapat dikuatkuasakan terhadap anggotanya dengan berkesan. Ini telah menyebabkan pembangunan perundangan terhad terhadap tafsiran dan pelaksanaan konvensyen ini.
Satu penganjuran himpunan mengumpul jutaan rakyat pernah dikerahkan untuk menentang teori yang dibawa ICERD ini, kerana ia merupakan suatu perkara yang berlawanan dengan fitrah manusia ciptaan Allah serta melanggar kedudukan Islam dan kemuliaannya.
Kini, ada pula dalam kalangan yang mengkhadamkan badan kehakiman dan mahkamah bagi meminggirkan syariat Allah yang Maha Tinggi dan merendahkannya. Maka, haram bagi penganut Islam bersamanya dan wajib fardu ‘ain bagi umat Islam menentangnya. PAS tidak akan membiarkan tindakan melampau ini diteruskan bersama-sama NGO Islam dan raja-raja yang bertanggungjawab di hadapan Allah apabila dilantik menjadi ketua agama.
Keadaan ini tidak boleh dikiaskan dengan PAS yang pernah bekerjasama dengan DAP. Hal ini demikian kerana, kerjasama itu hanya melibatkan perkara kemanusiaan sejagat sahaja dan langsung tidak menyentuh dasar Islam dan aqidah yang menjadi perjuangannya.
Oleh sebab itu, PAS tidak boleh dibeli dengan pencapaian yang dicapai dalam PRU 1999 walaupun berjaya mendapat 27 kerusi dengan sokongan DAP bagi menafikan adanya dua pertiga Ahli Parlimen Melayu dalam kerajaan. Selain itu, PAS juga menolak tawaran yang lebih mahal apabila mendapat kerusi terbesar dalam PRU-15 yang terkini.
Sesungguhnya, umat Islam diajar oleh Rasulullah SAW, sepertimana sabda Baginda:
يَا عَمُّ، وَاَللَّهِ لَوْ وَضَعُوا الشَّمْسَ فِي يَمِينِي، وَالْقَمَرَ فِي يَسَارِي عَلَى أَنْ أَتْرُكَ هَذَا الْأَمْرَ حَتَّى يُظْهِرَهُ اللَّهُ، أَوْ أَهْلِكَ فِيهِ، مَا تَرَكْتُهُ.
“Wahai bapa saudaraku! Demi Allah! Sekiranya mereka meletakkan matahari pada kananku, dan bulan pada kiriku agar aku meninggalkan urusan ini (Islam yang sempurna), sehingga Allah memberikan kemenangan atau aku dimatikan kerana (perjuangan) menegakkannya, nescaya aku tidak akan sekali-kali meninggalkannya.” (Ibn Hisyam, al-Sirah al-Nabawiyyah, Jld. 1, Hlm. 266)
Maka, kerjasama yang pernah dilakukan oleh PAS bersama DAP tidak boleh disamakan dengan pihak lain kerana PAS beristiqamah atas prinsipnya yang nyata mengikut petunjuk Allah SWT, sepertimana firman-Nya:
﴿لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ٨ إِنَّمَا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ وَظَٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمۡ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ٩﴾
“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya, Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. (8) Sesungguhnya, Allah hanya melarang kamu menjadikan orang-orang yang memerangimu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu, dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu sebagai kawanmu. Dan sesiapa yang menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (9)” [Surah al-Mumtahanah: 8-9]
Maka, PAS tidak boleh disamakan dengan kalangan UMNO yang sanggup bersekongkol dengan DAP kerana mahukan jawatan dalam kabinet kerajaan, GLC, Menteri Besar atau Exco Kerajaan Negeri.
Adapun hubungan PKR dengan DAP pula laksana isi dan kuku atau anggota dalam satu jasad. Maka, DAP boleh meletakkan PKR yang lebih kecil itu laksana kepala yang berhubung dengan jasad yang lebih besar.
DAP tetap menjunjung PKR menjadi kepalanya, sehingga ketuanya menjadi Perdana Menteri. Walaupun perjuangannya untuk menentang rasuah, segala salah laku dan tata kelola yang tempang boleh diumpamakan laksana jasad yang sihat, namun tetap menjunjung kepala yang sakit. Jika dipotong kepala yang sakit itu, maka matilah jasadnya.
PAS terus bersama gerakan perpaduan umat Melayu Islam dan perpaduan bersama golongan bukan Islam yang tidak ekstrem. Hal ini demikian kerana, PAS tidak bersedia menjadi askar Gurkha yang dipergunakan, sepertimana panduan yang terdapat dalam ayat al-Quran yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW:
﴿وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعٗا وَلَا تَفَرَّقُواْۚ وَٱذۡكُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَآءٗ فَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦٓ إِخۡوَٰنٗا وَكُنتُمۡ عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةٖ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡهَاۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَايَٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَهۡتَدُونَ١٠٣﴾
“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah akan ni‘mat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana ni‘mat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk.” [Surah Ali ‘Imran: 103]
Rasulullah SAW memulakan perpaduan bangsa Arab bersama Islam, walaupun risalahnya itu adalah untuk disebarkan kepada seluruh manusia. Hal ini untuk mewajibkan kepimpinan bangsa Islam bagi menegakkan Islam itu secara adil kepada seluruh manusia.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 7 Safar 1445 / 24 Ogos 2023
[Bil: 68 / 2023]
Ulasan