PAS Memperkenalkan Negara Berkebajikan Berkonsepkan Islam


Apabila seseorang itu bercakap, kebijaksanaan dan ilmunya dapat dinilai daripada kata-katanya. Kata Imam ‘Ali KW:  


‌لَا ‌تَنْظُرْ ‌إِلى ‌مَنْ ‌قَالَ ‌وَانْظُرْ ‌إِلَى ‌مَا ‌قَالَ.


“Jangan dilihat terhadap diri orang yang berucap, namun lihatlah kepada apa yang diucapkannya.” [Al-Suyuti, al-Jami‘ al-Kabir, Jld. 18, Hlm. 195]


Kemudian, ucapan itu diukur dengan kaedah ilmu yang sebenar supaya mendapat keputusan yang betul dan istiqamah. Janganlah menggunakan hujah laksana penjual ubat yang hanya ingin melariskan ubat jualannya sahaja, tanpa memberikan huraian yang benar dan lengkap tentang kandungan bahan yang digunakan dan tempoh penggunaannya. 


Berbalik kepada persoalan, mengapa DAP menolak PAS?


Jawapannya ialah kerana PAS tidak berganjak daripada prinsip Islam sebagai al-din, bukan agama yang difahami mengikut takrif sekularisme. Persefahaman PAS dengan DAP tidak boleh mengetepikan prinsip perjuangan PAS yang meletakkan bahawa Islam ialah al-din. 


Prinsip ini mewajibkan Islam mempunyai kedudukan yang berdaulat dalam negara yang dipimpin oleh Islam, bukan konsep sekularisme yang berpisah daripada agama atau ‘Malaysian Malaysia’ yang berperanan menghapuskan rupa bangsa.


Apabila DAP mahu mengheret PAS keluar daripada prinsipnya dan menginginkan PAS agar tunduk kepada prinsip sekularisme yang menjadi perlembagaannya, serta konsep ‘Malaysian Malaysia’ yang menjadi hala tujunya, maka berlakulah pertembungan. Pertembungan ini yang menyebabkan DAP keluar atau memaksa PAS untuk keluar daripada persefahaman politik (tahaluf siyasi) yang diharuskan kepada persefahaman tahaluf yang diharamkan, kerana melanggar prinsip perjuangannya.


DAP menerima konsep negara berkebajikan yang ditawarkan oleh PAS mengikut kefahamannya yang sempit, membolehkan tahaluf (persefahaman) dilakukan. Namun, apabila Majlis Syura Ulamak mengeluarkan Dokumen Negara Islam yang lengkap untuk dijadikan panduan, tiba-tiba DAP mendedahkan sikapnya yang menentang Islam. 


DAP menunjukkan sikapnya terhadap konsep Negara Berkebajikan mengikut skop sekularisme yang mereka anuti. Pada masa yang sama, mereka secara terbuka menentang Islam dengan membela golongan yang murtad, menentang pengharaman arak dan judi, serta pelaksanaan beberapa agenda Islam yang lain, walaupun semua perkara itu dihadkan kepada penganut Islam sahaja di peringkat negeri yang diperintah oleh PAS. 


Keadaan ini mempengaruhi kalangan bukan Islam yang menyokong PAS dan ditubuhkan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) daripada golongan bukan Islam untuk berdepan dengan situasi tersebut. 


Adapun PKR pula kononnya mahu mengambil pendekatan seperti Recep Tayyip Erdogan di Turkiye yang memperkenalkan konsep Sekularisme Islam. Hal ini demikian kerana, kepimpinan di Turki menghadapi masalah dengan Perlembagaan Turkiye warisan Mustafa Kemal Ataturk, yang mewajibkan sekularisme dan mengharamkan agama, khususnya Islam  dari aspek bernegara dan berpolitik, dalam keadaan rakyat semuanya berbangsa Turki dan beragama Islam.


Erdogan dipaksa mengadakan perjanjian yang memaksanya untuk meneruskan konsep sekularisme dalam Perlembagaan Turkiye. Namun begitu, beliau menegaskan bahawa kerajaan Turkiye akan melaksanakan konsep demokrasi liberal kepada semua, termasuk kepada amalan Islam  yang terpilih.   


Keadaan ini berbeza dengan negara kita, Malaysia, apabila para pejuang kemerdekaan berjaya meletakkan Islam sebagai agama rasmi dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini sekali gus memberi ruang kepada  kita untuk mentafsirkan Islam dengan jiwa bangsa yang merdeka. 


Walau bagaimanapun, kita menghadapi keadaan apabila terdapat beberapa jadual dalam Perlembagaan Persekutuan yang perlu dipinda dan adanya kaum bukan Islam yang dibawa oleh penjajah. Mereka dibawa ke Tanah Melayu untuk sama-sama menjadi sebahagian daripada penduduk di Tanah Melayu sehingga mengasak kedudukan penduduk asal Melayu yang beragama Islam. 


Namun begitu, Perlembagaan Persekutuan telah memberi hak kebebasan beragama kepada golongan bukan Islam sebagaimana yang diamalkan dalam sebuah negara Islam. Kebebasan ini diterima oleh golongan bukan Islam yang tidak ekstrem daripada kalangan MCA dan MIC pada awal kemerdekaan. Malangnya, hak kebebasan ini diganggu-gugat dengan kedatangan DAP yang ekstrem.


Maka, peranan kita hendaklah ditambah supaya mengekalkan kepimpinan Melayu Islam dan membawa konsep yang adil kepada semua kaum. Pada masa yang sama, kita hendaklah menghadapi agenda DAP yang membawa konsep ‘Malaysian Malaysia’ bersama prinsip sekularisme pegangan mereka yang meminggirkan kuasa Islam dan ketuanan Melayu Islam. 


Keadaan kita berbeza dengan Turkiye yang tidak mempunyai peluang melaksanakan hukum syariat bagi mencegah segala maksiat. Hal ini disebabkan demokrasi yang diamalkan di Turkiye adalah satu bentuk liberalisme yang memberi kebebasan sepatutnya, termasuk kepada Islam. Inilah kadar kemampuan yang ada pada Turkiye kini, yang memerlukan perjuangan yang lebih mencabar.


Alhamdulillah, peluang kita melaksanakan Islam lebih bebas daripada Turkiye yang terbelenggu dengan perlembagaannya. Selain itu, Turkiye juga harus menyelesaikan beberapa isu seperti hubungannya dengan negara haram Israel yang sudah dimeterai dan ikatan sebagai anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan lain-lain. 


Hakikatnya, kami lebih mengenali Erdogan sebelum mereka mengenali beliau. Adapun mereka sekadar menumpang jenama beliau tanpa mengetahui masalah yang sedang dihadapi oleh Turkiye.


Apa yang kita dapat saksikan hari ini, Presiden Erdogan mula menunjukkan kejayaan sedikit demi sedikit melalui konsep demokrasi yang ditentang oleh kuasa Barat apabila memberi ruang kepada Islam untuk berkuasa sepenuhnya. Walaupun beliau terpaksa berhempas pulas menghadapi rampasan kuasa tentera yang gagal dan kepungan politik, ekonomi dan media, berbeza daripada cabaran yang kita hadapi di Malaysia.


Tegasnya, keadaan di Malaysia tidak boleh disamakan dengan Turkiye dan Iran kerana situasi dan banyak keadaan yang berbeza. Sebenarnya, masih banyak peluang di Malaysia bagi melakukan perubahan ke arah Islam yang berdaulat dengan syarat umat Melayu Islam sendiri yang bersatu melakukan islah dan tajdid yang sangat berbeza dengan konsep reformasi.

 

Banyak perkara salah laku DAP yang bersahabat dengan PKR dan menggunakan PAN, menjadi ancaman kepada politik negara yang makin hari makin terserlah, khususnya terhadap kedudukan Islam dan kepimpinan Melayu Islam yang wajib dipertahankan. 


Apa yang menjadi masalah ialah PKR dan PAN termasuk dalam buah catur yang digerakkan oleh DAP yang mendominasi dan masih bersikap ekstrem. Adapun PKR dan PAN hanya menjadi penumpang sahaja.


Majlis Syura Ulamak sejak zaman Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Almarhum Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din telah bersetuju untuk membawa suatu pendekatan baharu dalam PAS yang dinamakan ta‘awun siyasi dengan UMNO tanpa menyertai Barisan Nasional (BN). Pendekatan ini berpandukan firman Allah SWT:


﴿وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ٢﴾


“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat seksa-Nya.” [Surah al-Ma’idah: 2]


Antara hasilnya ialah pembentangan Usul Persendirian Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU 355 yang mengandungi pindaan terhadap pelaksanaan beberapa hukum Islam, khususnya dalam aspek hukuman takzir seperti sebatan yang bersifat menyeksa dalam undang-undang sivil kepada hukuman mendidik yang tidak menyeksa kepada penganut Islam sahaja. Malangnya, perkara ini mendapat bantahan daripada DAP bersama PAN yang berucap bagi pihak DAP (sila lihat hansard Parlimen).


Kini, terserlah tanda-tanda positif ta‘awun dalam PRU-15 apabila gelombang anak muda Melayu menunjukkan kebangkitannya. Kita mengharapkan generasi tua juga menginsafi perlunya melakukan pembetulan melalui demokrasi, malah masyarakat bukan Islam juga perlu menolak pendekatan ekstrem yang ditaja oleh DAP dan sekutunya yang diperalatkan.


ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

 

Bertarikh: 14 Safar 1445 / 31 Ogos 2023


[Bil: 71 / 2023]

Ulasan