Penempatan Peniaga Pasar Payang Belum Muktamad


 Oleh : Akid Hafriz 

KUALA TERENGGANU - Isu penempatan para peniaga di Pasar Besar Kedai Payang (Pasar Payang) 'yang digembar gemburkan' oleh beberapa pihak sebenarnya masih belum dimuktamad lagi. 

Mantan ADUN Bandar Ustaz Ahmad Shah Muhamed berkata, beliau telah menghubungi Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan mengesahkan, perkara tersebut masih dalam perbincangan. 

"Pihak MBKT sendiri telah memberitahu saya, perkara tersebut belum lagi muktamad.

"Mereka masih membuat kajian dan meneliti, apa kesan sekiranya peniaga dipindahkan atau tidak dipindahkan." jelas beliau yang juga mantan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Kerajaan Tempatan negeri. 

Calon PAS/ PN N14 DUN Bandar bagi Pilihan Raya Umum Negeri Ke-15 itu berkata, isu tersebut menjadi tumpuan beliau untuk diselesaikan, sekiranya diberikan mandat oleh pengundi pada 12 Ogos nanti. 


"Mereka akan ambil kira semua aspek yang dikira tidak akan menyusahkan para pengunjung dan juga memberi keselesaan kepada para peniaga," kata Ustaz Ahmad Shah selepas mengunjungi premis ikonik itu pada 3 Ogos. 

Tambah beliau lagi, perkara tersebut akan diberi perhatian agar ia memberikan penyelesaian 'situasi menang-menang' antara para peniaga dan pengunjung.

Desas-desus berlegar menyatakan, Pasar Payang akan dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Pasar Payang 1 untuk kraf tangan serta pakaian dan Pasar Payang 2 menempatkan perniagaan makanan. 

Khabar 'tidak tepat' itu telah menimbulkan kegusaran dalam kalangan peniaga yang mahukan Pasar Payang menjadi 'One Stop Center'. 





Ulasan