PN Jadi Fenomena

 


KUALA TERENGGANU - Perikatan Nasional (PN) kembali mencetuskan fenomena sehingga menjadi trend terkini negara, terutamanya dalam kalangan anak muda yang menghasilkan pelbagai kandungan kreatif di media sosial. 

Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Dr Alias Razak berkata hasil bahan kempen itu membantu merancakkan kempen menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Suka saya kongsikan trend menarik di media sosial ini, walaupun banyak bahan kempen berpengaruh yang telah dihasilkan oleh jentera penerangan parti, namun kandungan kempen yang dihasilkan oleh pihak bukan parti iaitu orang awam lebih banyak dan mendominasi (media sosial).

"Terutamanya oleh kalangan mereka yang berumur 20 hingga 39 tahun,"ujarnya ketika dihubungi hari ini. 

Mengulas lanjut katanya, sambutan yang mengalakkan daripada anggota masyarakat sangat dihargai kerana membantu gerak kerja PAS dalam berkempen sempena PRU DUN pada kali ini.

"Juga menjadi petanda yang baik bahawa PAS semakin mendapat tempat di hati pengundi dan saya optimis ia akan diterjemahkan menerusi kertas undi nanti,"katanya.

Mengenai penerimaan orang ramai terhadap calon PAS, Dr Alias berkata sambutan diterima amat menggalakkan dengan kehadiran ramai pelbagai segmen pengundi ke setiap lokasi program ceramah untuk memperkenalkan calon diadakan.

"Lebih menarik lagi, program ceramah yang diadakan di beberapa DUN juga turut menyaksikan penyerahan borang keahlian PAS oleh bekas ahli dan pemimpin UMNO.

"Ini menunjukkan bahawa gelombang meninggalkan UMNO semakin membesar. Saya juga percata bahawa ahli-ahli UMNO yang masih setia akan keluar beramai-ramai mengundi PAS-PN untuk menolak calon-calon UMNO-BN pada 12 Ogos nanti.

"Bagi mencetuskan perubahan besar-besaran dalam UMNO pasca pilihan raya nanti sekali gus mengembalikan UMNO ke landasan asal perjuangannya,"ujarnya.

Ulasan