Inspirasi Dua Suri Hati Mantan MB Terengganu

 


Oleh : Azizah Mahmood 

KUALA TERENGGANU - Menelusuri   pengalaman kehidupan  dua suri hati mantan Menteri Besar Terengganu cukup menginspirasikan terutama kepada muslimat untuk istiqomah dalam perjuangan Islam.

Ketua As Sabiqat Muslimat Terengganu, Zaiton Abas berkata  rombongan seramai lapan orang itu telah berkunjung ke rumah mantan Menteri Besar(MB) Terengganu Ke-Sebelas, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk bertemu isteri, To' Puan Seri  Zainab Awang  Ngah atau lebih mesra disapa sebagai ' Che Ngoh'. 

"Kunjungan kami untuk mendengar sendiri kehidupan seorang isteri kepada pemimpin Parti Islam Semalaysia( PAS) yang sentiasa sibuk menguruskan jemaah yang besar, 

"Perkongsian hidup dengan Tuan Guru Presiden yang dikurniakan 11 orang cahaya mata," katanya. 

Menurutnya, dalam kesempatan pertemuan tersebut, Che Ngoh sempat menitipkan kata-kata semangat untuk meneruskan perjuangan sehingga ke akhir hayat. 


"Usia bukan ukuran dalam melaksanakan kerja-kerja jemaah, masing-masing mempunyai posisi yang tersendiri, 

" Berilah sumbangan  untuk jemaah  sementara sihat dan umur masih panjang, walau pun kita hanya sekadar duduk di rumah" ujarnya. 

Tidak ketinggalan dan kunjungan pada Rabu, 20 September di Kampung Rusila itu, rombongan turut singgah ke rumah Ustazah Fatimah Ismail, isteri mantan MB Keenam, Ustaz Daud Abdul Samad yang menerajui Terengganu dari 29 Jun 1959 hingga 8 November 1961. 

"Ustazah Fatimah yang lebih suka membahasakan dirinya sebagai Mok Su adalah mantan Ketua Muslimat PAS Terengganu  yang kini  telah menjangkau usia 96 tahun tetap  bersemangat walaupun tidak mampu berjalan. 

"beliau kelihatan dapat mengenali beberapa orang di antara kami namun lupa nama tetapi ingatannya  masih kuat untuk menceritakan sedikit sebanyak pengalaman berharga  ketika bergerak aktif suatu ketika dulu," ceritanya. 

Antara pesanan Mok Su, sambung beliau lagi, teruskan menyambung  kerja dakwah dengan sabar dan berilmu kerana sifat sabar akan  membantu untuk berdepan mehnah dalam perjuangan. 

"Pertemuan ini  sangat bermakna untuk generasi hari ini terus bergerak menyambung perjuangan yang telah di rintis oleh mereka yang terdahulu , meneroka jalan sehingga kita  nikmati kejayaan hari ini," jelasnya.

Ulasan