Apa Itu SG4?

 


Suka saya jelaskan bahawa gabungan State Government 4 atau SG4 ini, adalah sebuah kerjasama rasmi secara strategik dan berfokus, yang tidak mengikat, antara Kerajaan-kerajaan Negeri Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis. 

Sedikit pun tidak pernah terdetik, untuk kami bersaing dengan peranan kerjasama sedia ada, dalam sistem pentadbiran Negara dan Negeri kita yang telah wujud sejak kita merdeka, apatah lagi kami juga sedar risiko pertindanan (redundancy) bidang kuasa sedia ada bebagai kementerian, agensi di peringkat Persekutuan. 

Ikhlas di hati kami, bahawa peranan Kementerian – kementerian yang turut bersama dengan Kerajaan Negeri selama ini, sekadar menyebut beberapa, seperti (1) Kementerian Ekonomi,  (2) Kementerian Pelaburan Perdagangan dan Industri; agensi seperti Malaysian Investment Development Authority (MIDA) dan East Coast Economic Region (ECERDC) telah melaksanakan peranan terbaik, dan berjaya membina sektor ekonomi dan industri yang menyumbang kepada KDNK negeri Terengganu. Setinggi terima kasih dari kami semua.

Apa yang drangkakan menerusi SG4 adalah untuk memberi nilai tambah, elemen baharu yang boleh diusahakan, melihat sisi pandangan yang berbagai, dengan matlamat untuk membantu sesama negeri yang ada dalam senarai SG4. Perlu diingat, kesenjangan (disparity) yang ada di negeri – negeri ini perlu di rapatkan, dan saling bantu membantu dalam aspek yang menjadi kekuatan sebuah negeri, mungkin kelemahan di negeri yang lain. 

Umumnya, kerjasama strategik ini adalah bermatlamatkan, untuk meningkatkan DAYA SAING (Competitiveness) dan DAYA TAHAN (Resilient) negeri-negeri anggota; Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis dengan (i) pentadbiran yang berkesan (effective governance), (ii) kewangan yang kukuh (robust finances), (iii) sosio ekonomi yang mampan (sustainable socio-economic growth) dan (iv) pembangunan yang lestari (viable development); menerusi pengkongsian intelektual dan pelbagai sumber secara optimum antara negeri-negeri, termasuklah di Syarikat Berkait Kerajaan dan badan Berkanun di negeri – negeri terbabit.

Penglibatan beberapa tokoh, yang mempunyai kedudukan dan pengaruh dalam bidang-bidang tertentu juga akan digunakan sebaiknya, bagi meraih manfaat yang sebanyaknya kepada SG4. 

Ketika ditanya tentang kenapa melibatkan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir dalam urusan pro-bono ini, saya menjelaskan SG4 adalah pendekatan “non-partisan”, bahawa kita sangat terbuka untuk menerima siapa juga yang ingin membantu, termasuklah jika individu yang baru mendapat pingat Tan Sri baru – baru ini pun nak membantu, kami dengan hati terbuka akan mendengar pandangan dan saranannya, walau dari parti politik berbeza.

Saya sendiri pernah membuat cadangan, dalam ucapan saya di hadapan YAB Perdana Menteri, dalam Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani 2023 pada 13 Mei yang lalu di Terengganu, dengan kehadiran Menteri – Menteri Kabinet. Saya menyebut : merujuk pada problem statement dalam  ucapan saya pada malam itu, “maka saya, dengan rasa rendah diri, ingin mencadangkan agar lebih banyak inisiatif non-partisan dan bi-partisan (non-partisan and bi-partisan initiatives) dipekenalkan, sebagaimana dalam keadaan tertentu diamalkan di negara maju, ketika mereka berdepan dengan suasana yang getir”.

SG4 akan memfokuskan kepada lima kluster iaitu :

1. Infrastruktur & Logistik

2. Perdagangan, Pelaburan & Perniagaan (termasuk industri pelancongan)

3. Pertanian & Sekuriti Makanan

4. Perundangan & Modal Insan

5. Sumber & Pendapatan Baharu


SG4 ini adalah kerjasama strategik antaranya adalah kerana :

1) Negeri SG4 mempunyai populasi berjumlah 5.47 juta orang, atau 16.7 peratus daripada keseluruhan jumlah populasi Malaysia. Justeru, kerjasama antara negeri-negeri ini, akan meningkatkan lagi agregat permintaan di negeri-negeri ini.

2) Negeri SG4 mempunyai tanah yang luas untuk diusahakan bagi meningkatkan pengeluaran hasil pertanian. Sehingga 2020, jumlah keluasan gunatanah semasa tanaman makanan di negeri SG4 ini ialah baru mencecah 40.68% daripada keseluruhan 998,560.71 hektar. Selain itu, terdapat kira-kira 15,344 hektar lagi tanah terbiar, yang sesuai dibangunkan untuk pertanian.

3) Negeri SG4 mempunyai sejumlah 161,285 buah PMKS atau 15 peratus daripada keseluruhan jumlah PMKS di Semenanjung Malaysia. Dengan meluaskan rangkaian dan perkongsian pintar dalam kalangan PMKS di semua negeri SG4, ianya akan dapat merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi domestik di setiap negeri.

4) Negeri SG4 mencatatkan jumlah perdagangan bernilai RM161.1 bilion pada 2022, hasil hubungan dagang dengan pelbagai negara. Hubungan setiap negeri dengan negara rakan dagang yang berbeza, akan turut dapat membawa manfaat kepada negeri SG4 yang lain.

5) Negeri SG4 dapat membentuk kuasa rundingan yang lebih progresif dengan Kerajaan Persekutuan, bagi menjamin hak dan tanggungjawab setiap  negeri ini dan Persekutuan sama-sama dilindungi dan ditunaikan, selari dengan kehendak dalam Perlembagaan Persekutuan.

Atas semangat untuk meneguhkan amalan federalisme yang semakin mencair maka SG4 ini dibentuk. Justeru, tidak ada pihak yang sepatutnya merasa terancam dengan penubuhan SG4 ini, sebaliknya adalah wajar semua pihak memberikan sokongan dan dukungan. 


Ucapan Penggulungan Menteri Besar Terengganu

Dato’ Seri Ahmad Samsuri Mokhtar

Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu

Mesyuarat Pertama Penggal Pertam 

Dewan Undangan Negeri Ke-15

3 Oktober 2023

Ulasan