Pusat Tafaqquh Fiddin Dibuka Bulan Depan


 KUALA TERENGGANU - Pusat Tafaqquh Fiddin Tok Syeikh Duyong yang dibangunkan oleh kerajaan PAS Terengganu, bakal menjadi tarikan baharu pelancong terutamanya pencinta ilmu berkunjung ke negeri ini apabila ia mula dibuka pada bulan hadapan.


Timbalan Pesuruhjaya PAS, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, dengan gabung jalin antara pendidikan dan pelancongan akan menyerlahlah lagi identiti Terengganu sebagai negeri yang memuliakan ulama dan memartabatkan ilmu pengajian Islam.


"Jadi bulan November ini akan dibuat penyerahan (oleh pihak pemaju) dan kita mengharapkan ia akan menjadi pusat pendidikan yang boleh dimanfaatkan.


"Dalam masa yang sama ia akan menjadi suatu galakan dan juga menjadi daya tarikan pelancong untuk berkunjung ke Pulau Wan Man," ujarnya.


Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan, berkata demikian ketika berucap pada sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, pada Rabu, 4 Oktober.


Mengulas lebih lanjut katanya, selain ia akan menjadi perkampungan ilmu antara tarikannya lagi akan mempamerkan pondok-pondok tradisi Terengganu yang mempunyai keunikannya yang tersendiri.


"Pelbagai program daurah melibatkan ulama-ulama dan sebagainya kita akan jalankan nanti," katanya.

Ulasan