SHAH ALAM - Presiden Parti Islam Se-malaysia (PAS), Tan Sri Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan supaya ahli PAS tidak tergelincir daripada dasar perjuangan dan sampai ke hala tuju yang diredhai oleh Allah S.W.T.
Abdul Hadi berkata terus berjuang selaju-laju, walak dan taat tanpa membantah serta teguh beristiqamah ke hala tuju membujur lalu melintang patah.
Katanya, ucapan dasar dan muktamar serta perbahasan telah diadakan adalah muhasabah supaya kepimpinan dan parti beristiqamah.
“Tema ucapan dasar kita ‘Adil, Prihatin dan Berkebajikan. Tujuannya untuk mengisi kemenangan setelah kita mencapai kemenangan di empat negeri menjadi parti yang paling banyak di peringkat Parlimen.
“Tema ini bukan sekadar slogan untuk diucap, tetapi untuk dilaksanakan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ucapan penangguhan ketika Muktamar Tahunan Pas kali ke 69 bertempat di IDCC Shah Alam, di sini hari ini.
Tambah Abdul Hadi, tujuannya untuk menegakkan syiar Islam, secara amali dan praktikal, bukan retorik kosmetik. Hiasan-hiasan sahaja.
Beliau turut mengupas mengenai kuasa pemerintahan yang mendirikan perintah solat, zakat, kebajikan dan mencegah mungkar di mana tindakan di atas dunia itu juga adalah berwawasankan akhirat.
Ulasan