BN Guna Jentera Kerajaan, PAS Guna Jentera Parti


Sebelum daripada ini, saya telah sebut beberapa  kesalahan pilihanraya yang telah dilakukan oleh pihak UMNO di Kemaman ini.

Terutamanya dalam menggunakan jentera kerajaan seperti Felda sebagai platform untuk berkempen. Antara yang kami terima aduan adalah ; 

Penyalahgunaan FELDA oleh Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, Pengerusi FELDA dalam Majlis Makan Malam Bersama Pengerusi Felda di Dewan Serbaguna Felda Neram 01, majlis ini secara terang-terangan berkempen politik PRK Kemaman dan memburukkan lawan politik. 

Penyalahgunaan FELDA oleh Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, Pengerusi FELDA bersama pengurusan FELDA serta barisan JKPP, MBFM dan KAF di Port Segalanya FELDA di FELDA Kerteh 6. Pengerusi Felda dengan terang-terang berkempen dan memburukan calon PAS.

Dalam fasa PRK ini, kami mendapati Pengerusi Felda amat aktif dalam Parlimen Kemaman melakukan pelbagai program.

 Ini boleh dilihat di facebook Felda-Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan. Sebagai contoh semalam ;

Program Lestari Fun Walk di FELDA Neram. 

Lawatan Pengerusi FELDA ke Kilang Sawit FGV Felda Neram 1

Pengerusi FELDA sarapan bersama Penduduk Kampung Baru FELDA Neram 1

Pengerusi FELDA menyampaikan ucapan dalam Majlis Makan Malam Jasamu Dikenang di FELDA Neram1

Pengerusi FELDA di Program Kepimpinan di Felda Kerteh 5

Jualan Rahmah di Kemaman bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dalam tempoh Pilihan Raya Kecil Kemaman, ini juga mengulangi Jualan Rahmah di DUN Pelangai yang berhadapan pilihanraya pada bulan September lepas. Dibuat di 4 DUN dalam Parlimen Kemaman, seperti berikut :

Jualan Rahmah DUN Air Putih ; 23 November 2023

Jualan Rahmah DUN Kemasik : 26, 28 dan 29 November 2023

Jualan Rahmah DUN Chukai : 26, 27, 29 dan 30 November 2023

Jualan Rahmah DUN Kijal : 30 November 2023

Penggunaan agensi dan program Kerajaan Persekutuan dalam fasa berkempen Pilihan Raya Kecil adalah sesuatu tindakan politik yang terdesak oleh PH-BN.

Menggambarkan bahawa PH-BN tidak professional dan mengamalkan politik kuno dan lapuk. 

PAS Terengganu boleh melakukan perkara yang sama di Kemaman dengan menggunakan jentera kerajaan negeri dalam PRK, malah ianya lebih mudah kerana calon PAS adalah Menteri Besar sendiri.

Namun, PAS tidak mengambil kesempatan dan pendekatan tersebut kerana proses demokrasi piliharaya mesti pertandingan antara jentera parti lawan jentera parti bukannya menyusahkan jentera kerajaan untuk menentang jentera parti. 

Kita harap BN Terengganu mesti lebih professional dan bertanding di padang yang sama rata. 

Sekali lagi, adalah diingatkan kepada para pengundi untuk terus memantau insiden seumpama ini sekiranya berlaku di tempat masing-masing. 

Sila rakam video, gambar atau bukti-bukti yang lain dan segera laporkan perkara tersebut kepada pihak polis dan SPRM serta viralkan. 

PAS Terengganu juga sedang meneliti beberapa insiden salah laku melibatkan calon-calon lawan untuk dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Kempen BN Yang Jahat dan Jijik

Dua hari lepas, pihak kami dapati pihak BN terutamanya Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said telah menjalankan Kempen Jahat dan Jijijk.

Menuduh Presiden PAS dengan tuduhan yang sangat jahat dan luar daripada kewarasan. 

Kempen sebegini sudah ketinggalan zaman malah menjatuhkan maruah Ahmad Said sendiri sebagai pemimpin utama UMNO Terengganu.

Kempen jijik ini bukan sahaja provokatif dan membuatkan orang PAS benci, malah orang BN sendiri jadi tidak selesa dan orang atas pagar juga akan turut menjauhi. 

PAS Terengganu menyarankan Ahmad Said untuk hentikan kempen-kempen yang jijik dan jahat sedemikian rupa. Bawalah politik matang dan sejahtera, bukannya politik fitnah, politik tuduh dan politik rekaan cerita semata-mata. 

Undi BN, Kuatkan DAP

Kelmarin, pemimpin DAP telah datang berkempen di Kemaman, PAS Terengganu melihat pemimpin dan calon UMNO/BN begitu gembira dan teruja sekali menyambut kedatangan pemimpin utama DAP ini.

Pemimpin UMNO/BN juga kelihatan sangat berharap dan bergantung penuh kepada DAP, kami percaya ini berlaku kerana dalam Kerajaan Perpaduan hari ini DAP adalah parti terbesar berdasarkan bilangan kerusi Parlimen.

DAP umpama 'big brother' yang mempunyai 'kuasa veto' sehingga boleh mengawal segala tindakan parti gabungan. Sebab itu kita melihat UMNO/BN tidak lantang seperti dahulu dalam bab Islam dan Melayu.

Tindak tanduk UMNO/BN ini dapat dilihat dalam pelbagai isu, antaranya dalam agenda Negara Sekular dan Malaysian Malaysian yang dibawa DAP.

Sebelum ini ada pemimpin UMNO/BN yang mencadangkan DAP supaya menggugurkan agenda terbabit, namun DAP lantas menyanggah suara itu sehingga mendiamkan UMNO/BN sampai ke saat ini.

UMNO/BN seperti redha apabila DAP mahu mencorakkan negara ini dengan agenda sekular padahal suatu ketika dahulu UMNO/BN adalah parti paling lantang menentang perkara itu.

Begitu juga dalam isu Minggu Solidariti bersama Palestin di sekolah, UMNO/BN membisu di saat DAP dan PKR menentang program itu dianjurkan.

Lebih parah apabila laungan takbir dan bacaan Qunut Nazilah tidak dibenarkan, UMNO/BN seakan bersetuju, tiada satu pun kenyataan rasmi daripada pemimpin utama UMNO/BN yang menentang larangan tersebut.

Disebabkan itu PAS Terengganu berpandangan satu undi untuk UMNO/BN hanya akan mengukuhkan lagi kuasa DAP di Putrajaya sehingga membolehkan mereka berbuat apa sahaja.

Undi BN menjadi alasan kukuh kepada DAP untuk terus mencampuri urusan pihak lain kerana mereka menganggap rakyat setuju dengan tindakan mereka atas undi yang mereka perolehi.

Jadi PAS Terengganu berharap agar para pengundi Kemaman mampu membuat keputusan terbaik, kami yakin rakyat Terengganu cukup matang dalam isu ini.

Kajian TSIS

Dua hari lepas, Terengganu Strategic & Integrity Institute telah mengeluarkan kajian mereka berkenaan Kecenderungan Pengundi dalam PRK Kemaman”. Kajian mereka menunjukkan sejumlah besar iaitu 63 peratus rakyat Kemaman berpendapat bahawa calon UMNO akan mengalami kekalahan lebih teruk dalam PRK ini berbanding kekalahan calon UMNO bagi kerusi ini pada PRU15 yang lalu. 

Kemungkinan kekalahan UMNO ini juga amat berasas jika dibandingkan dengan beberapa dapatan lain dalam kaji selidik ini. Antaranya ialah, hanya 21 peratus responden yang berpuas hati berbanding 62 peratus yang tidak berpuas hati dengan prestasi Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Dapatan ini selari dengan dapatan kaji selidik Merdeka Center ke atas 1,220 responden seluruh negara dari 4 Oktober ke 24 Oktober yang menunjukkan tahap ketidakpuasan hati rakyat dengan prestasi Anwar sudah naik menjadi 43%.

Sebaliknya 70 peratus responden di Kemaman berpuas hati dengan prestasi Dr. Ahmad Samsuri sebagai Menteri Besar Terengganu berbanding hanya sebilangan kecil, iaitu 7 peratus, yang tidak berpuas hati.

Majoriti iaitu 63 peratus responden juga tidak bersetuju dengan kerjasama antara PH dan BN berbanding 19 peratus yang bersetuju. 61 peratus responden pula berpendapat kehidupan mereka tidaklah bertambah baik selepas PH-BN memerintah Malaysia berbanding hanya 15 peratus yang berpendapat di sebaliknya. 

Tambahan pula, 44 peratus responden juga tidak yakin bahawa Kemaman akan membangun dengan lebih drastik jika calon BN memenangi PRK ini berbanding berbanding 23 peratus yang yakin menyebabkan janji pembangunan tidak mampu digunakan dengan berkesan di Kemaman.

Walaupun kajian ini dilihat memihak kepada calon PAS, pihak kami menyarankan agar semua jentera dan pengundi PAS untuk tidak mudah selesa dengan keadaan ini, kerana kita tahu kita berhadapan dengan parti BN dan PH yang sedang berkuasa di peringkat kerajaan Persekutuan. 

Oleh kerana itu, semua jentera, pengundi dan perantau disarankan terus bekerja dengan kuat dan keluar serta pulang mengundi bagi memberikan kemenangan yang besar kepada Dr Sam dalam PRK kali ini. Sekaligus menghantar isyarat yang besar kepada kerajaan PH-BN di Putrajaya. 

Sekian, terima kasih

YB Ustaz Dato' Satiful Bahari Mamat

Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Terengganu/ADUN Paka

Tarikh : 25 November 2023


Ulasan