Kerajaan PH-BN Amal Rasuah Terbuka - Sanusi


KEMAMAN – Kerajaan PH-BN bergelumang secara terbuka menjadikan peruntukan setiap Ahli Parlimen sebanyak hampir RM4 juta setahun sebagai umpan menyokong Perdana Menteri.

Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata kerajaan PH-BN melakukan dosa besar apabila menyekat peruntukan tersebut.

"Gabungan pemerintah itu menjadikan peruntukan itu sebagai tawaran bagi membolehkan ahli parlimen PN berpaling tadah dengan menyokong kerajaan persekutuan," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Jentera PRK P040 Kemaman di Padang Astaka, Chukai di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Tan Sri Datuk Seri Panglima Annuar Musa, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS Terengganu, Dato’ Husain Awang dan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Terengganu, Datuk Razali Idris.

Untuk rekod, mereka yang berpaling tadah itu ialah Ahli Parlimen dari BERSATU, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (PN-Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (PN-Gua Musang) dan Zahari Kechik (PN-Jeli).

Muhammad Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri berkata, empat ahli parlimen Perikatan Nasional (PN) itu beralih arah menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berdasarkan faktor menarik dan menolak.

Katanya, tidak ada faktor menolak untuk membolehkan mereka berpaling tadah kerana PN termasuk PAS, BERSATU dan Gerakan tidak melanggar prinsip perjuangan membela orang Melayu dan Islam.

“Sepanjang pengetahuan kita memerintah dari November tahun lepas hingga November tahun ini tidak ada satu pun tindakan PN mengkhianati kehendak orang Melayu dan Islam sehingga membolehkan mereka berpaling tadah menyokong PH,” katanya.

Menurutnya, faktor menarik mereka berpaling tadah ialah mereka ditahan peruntukan setahun sebanyak RM4 juta sehingga mereka kesempitan wang untuk berkhidmat kepada rakyat di kawasan masing-masing.

“Mereka merasa kesempitan dan menjadi faktor menarik mereka menyokong Anwar Ibrahim bila ada tawaran untuk mendapatkan peruntukan tersebut,” ujarnya.

Ulasan