KEMAMAN - PAS meletakkan sasaran untuk memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman pada 2 Disember depan dengan majoriti lebih besar iaitu sekurang-kurangnya 30,000 undi.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, jentera parti itu sudah bersedia sepenuhnya dan hanya menunggu gendang 'perang' dipalu.
"Semua dah sedia, hanya tunggu paluan gendang, kemudian kita jalan, sekarang pun jentera sudah bergerak.
"Kita meletakkan sasaran untuk menang dengan majoriti 30,000, dengan syarat para pengundi keluar dan anak perantau balik mengundi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Ceramah Perdana sempena Majlis Pelancaran Jentera Pilhan Raya PAS Kemaman di Padang Astaka Cukai, di sini malam tadi.
Terdahulu Sanusi dalam ceramahnya berkata, beliau menjangkakan PAS akan menang dengan majoriti lebih besar selepas melihat sentimen rakyat yang menolak PH-BN dan keputusan PRK Kuala Terengganu.
"PRK Kuala Terengganu kita menang dengan majoriti 47,266 undi berbanding hanya 40,907 undi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)," jelasnya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai calon PRK Kemaman, Sanusi memaklumkan PAS Pusat belum lagi memuktamadkan perkara itu.
"PAS Pusat akan bermesyuarat pada 12 November ini bagi menentukan siapa calon.
"Selepas itu pada 16 November baru kita akan umumkan calon di sini (Cukai, Kemaman)," tambah beliau.
Untuk rekod, Pada PRU15 calon PN-PAS, Che Alias Hamid menang di Kemaman dengan majoriti 27,179 apabila memperoleh 65,714 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Ahmad Said (38,535 undi), calon Pakatan Harapan, Hasuni Sudin (8,340) dan calon Pejuang Rosli Ab Ghani (506).
PRK Kemaman ditetapkan pada 2 Disember ini, dengan pengundian awal pada 28 November dan penamaan calon pada 18 November.
Ulasan