PUCHONG - Setiap ahli dan pemimpin PAS perlu mengambil serius untuk menghadiri program - program tarbiah secara berterusan khususnya, usrah dengan mengikuti nizam tarbiah parti itu secara tersusun di semua peringkat.
Presiden PAS, Dato' Seri Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, program - program tarbiah bertujuan untuk mengukuhkan jiwa dan fikrah perjuangan agar terus komited bekerja, tidak tercicir atau menyimpang dari landasan perjuangan Islam yang suci ini, " tegasnya.
Beliau mengupas hal tersebut pada ucaptama pembentangan kertas kerja 'Pendekatan PAS Dalam Masyarakat Majmuk' sempena Liqa Fikri PAS Pusat di City Merdian Convention Center, Seri Kembangan, 14 Januari.
Menurut beliau, ahli dan pimpinan PAS juga hendaklah bersungguh - sungguh melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran kontemporari pelbagai yang diperlukan dalam menggerakkan organisasi PAS bagi mencapai kemenangan.
"Berusahalah menjauhi sebarang anasir dan tindakan yang boleh memecahbelahkan jemaah serta menjadikan kesatuan hati dan kekuatan ukhuwwah sebagai benteng pertahanan jemaah.
"Semua ahli dan pimpinan PAS wajib berusaha melengkapkan diri dari masa ke semasa dengan 'muwasofat jundullah' agar keperibadian Rasulullah SAW dengan generasi para sahabat dapat dicontohi semampu mungkin. Semoga menjadi teladan dan ikutan yang menarik hati masyarakat dan rakyat kepada PAS," ujarnya.
Ulasan