Satu Rumah, Seorang Pengurus Jenazah


 KUALA TERENGGANU - Walaupun menguruskan jenazah adalah fardu kifayah tetapi sepatutnya sebuah rumah perlu ada seorang pengurus jenazah atau pun ahli keluarga yang mempunyai ilmu tersebut


Saranan itu diutarakan  Naib Ketua Muslimat PAS Terengganu, Zuraida Md Noor yang berhasrat untuk melahirkan seorang daripada sebuah keluarga yang boleh mengurus  jenazah kaum keluarga mereka ataupun sekurang-kurangnya ada ilmu menguruskannya. 


"Sebaiknya biar jenazah diuruskan sendiri oleh kaum keluarga, seperti anak menguruskan ibubapa, ibubapa menguruskan jenazah anak dan juga suami yang menguruskan jenazah isteri dan sebaliknya, maknanya semua kita mesti belajar menguruskan jenazah," ujarnya. 


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Ladang itu berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Pengurusan Jenazah Wanita di Masjid Al Hijrah, Projek Perumahan Rakyat(PPR) Padang Hiliran di sini pada Khamis, 11 Januari. 



Program anjuran Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan, Muslimat PAS Terengganu  dengan kerjasama beberapa Badan Bukan Kerajaan(NGO) dan agensi kerajaan  itu dihadiri lebih 80 orang peserta dari seluruh Negeri Terengganu. 


Zuraida turut memuji penganjuran tersebut sambil berharap ianya akan disebar luaskan ke lapan kawasan untuk meramaikan lagi mereka yang boleh mengurus jenazah


"Dengan adanya program seperti ini juga akan memberi pendedahan beberapa fahaman khurafat yang menjadi amalan ketika mengurus jenazah," katanya lagi.

Ulasan