Oleh : Nor Amira Amijudin
BESUT - Aplikasi TikTok bukan lagi asing di kalangan masyarakat hari ini, malah ianya berjaya menjadi salah satu kaedah untuk berdakwah.
Oleh itu satu bengkel untuk memberi pengenalan asas kepada para muslimat tentang penggunaan aplikasi TikTok telah diadakan.
Pengarah Program Bengkel “Bila Bonda Bertiktok”, Siti Ainum Amijudin, berkata TikTok merupakan aplikasi terpenting pada hari ini untuk mendapat dan menyebarkan maklumat.
"Semua komited hendak belajar, kesungguhan 'bonda-bonda' menjadikan mudah dan cepat faham, tahniah semua peserta yang memberikan kerjasama dan respon yang baik. Alhamdulillah," ujarnya.
Beliau berkata demikian di Bengkel Media 2.0 itu telah diadakan di Pejabat PAS Kawasan Besut di sini pada Isnin, 15 Januari.
Di dalam bengkel yang dianjurkan oleh Lajnah IT Muslimat PAS Kawasan Besut dengan kerjasama Unit IT Ameerah Besut itu, tiga orang muslimat telah dinobatkan sebagai peserta terbaik dan menerima hadiah.
Sehubungan itu, Ketua Muslimat Besut, Ustazah Fadilah Syed Hamid berharap agar muslimat dapat mempraktikkan aplikasi tersebut dengan sebaiknya.
"Semoga kesemua yang belajar hari ini dapat menyalurkan video-video yang boleh memberi manfaat kepada orang ramai melalui TikTok . Insya-Allah," katanya.
Ulasan