Jangan Jadikan Retorik Politik Makanan Ruji Rakyat


KUALA TERENGGANU - PAS memberi ingatan kepada kerajaan Madani agar tidak jadikan retorik politik isu beras yang menjadi makanan ruji semua rakyat negara ini.

Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu, YB Ariffin Deraman berkata, orang ramai sedang bergelut dengan kenaikan harga barang keperluan, sebaliknya kerajaan Pusat hanya menjadi ‘pemerhati’, tidak aktif dalam menyelesaikan masalah.

“Mereka menggunakan makanan ruji sebagai topik panas dalam retorik politik mereka, namun tindakan nyata untuk menstabilkan harga dan memastikan ketersediaan makanan ruji masih belum kelihatan," tegas beliau.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi Dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu berkata demikian ketika dihubungi, mengulas isu kerajaan pusat yang berhasrat mengeluarkan hanya satu produk ‘Beras Putih Madani’.

Afiffin menambah, rakyat sudah muak mendengar ‘janji-janji kosong’ pemimpin kerajaan Madani dan mahukan penyelesaian tuntas terhadap sesuatu masalah.

"Kita memerlukan lebih dari sekadar janji. Rakyat memerlukan hasil. Kerajaan harus memperkenalkan langkah-langkah seperti subsidi untuk petani, pengurangan cukai untuk produk makanan ruji, dan inisiatif untuk meningkatkan produksi domestik agar kita tidak terlalu bergantung kepada import." jelas beliau.

Justeru beliau menggesa agar Kerajaan Pusat bekerjasama lebih rapat dengan kerajaan negeri dan pihak berkepentingan dalam industri makanan untuk mencipta strategi jangka panjang yang akan menguntungkan semua pihak.

"Kita perlu memastikan bahawa setiap isu yang timbul tidak hanya menjadi topik hangat hanya untuk perhatian rakyat, tetapi merupakan komitmen pemimpin pusat bersama kerajaan negeri demi memastikan semua rakyat Malaysia mebdapat manfaat bagi mengharungi masa sukar," tambah beliau.

 

 

 

Ulasan