Kenyataan Bercanggah Madani Tak Boleh Diterima

 


KUALA TERENGGANU - Kenyataan yang saling bercanggah pemimpin kerajaan Madani dalam isu utama negara, terutama melibatkan sumber makanan ruji negara tidak boleh diterima sama sekali.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, YB Dr. Azman Ibrahim menegaskan, pertentangan keputusan dalam kementerian lebih-lebih melibatkan soal sumber kehidupan utama, menambah kekeliruan dan memberi impak kepada seluruh rakyat.

"Dalam kalangan teraju yang menjaga sektor makanan negara tidak sepakat, kelmarin ada seorang keluar kenyataan (Ahli Parlimen Bukit Gantang), hari ini pula menteri (Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan - KPKM), keluar kenyataan menafikan kenyataan itu.

"Saya tengok ada sesuatu isu yang perlu diselesaikan di peringkat kementerian, bagaimana seorang boleh mengeluarkan kenyataan dan apakah dia berautoriti dalam bidang kuasanya?

“Tanpa kelulusan kabinet dan menteri pula hari ini memberi kenyataan tidak merestui kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini.” jelas beliau semalam.


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri Terengganu itu menggesa agar isu terbabit diselesaikan segera.

“Bagaimana boleh tidak sepakat dalam perkara ini, selesaikanlah. Jangan jadikan rakyat keliru serta buat satu solusi yang terbaik," tambahnya ketika ditemui pada Pesta Main Selut Bukit Tanah 2024 yang diadakan di Baruh Padi Gong Telikung.

Tegas beliau, keputusan tersebut seharusnya dikaji semula oleh kementerian terbabit sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan selepas ini kerana sebarang keputusan akan memberi impak besar kepada rakyat.

"Kita tidak dapat elak situasi pembelian panik berlaku kerana ada kemungkinan harga akan naik pada suatu tarikh yang ditetapkan apabila ia berkuatkuasa.

"Semoga ia dikaji semula kerana dilihat tiada kesepakatan. Dari kenyataan dikeluarkan sebelum ini (oleh Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL)) seolah-olah mendapat restu Perdana Menteri, tetapi hari ini dinafikan pula.


"Kita harap mereka tengok semula kepentingan rakyat, jangan kita jaga kepentingan taiko-taiko yang akhirnya menekan rakyat dengan sektor makanan ruji seperti ini," nasihatnya.

Pada 14 Februari lalu, ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang mengetuai NACCOL mengumumkan bahawa kerajaan bakal memperkenalkan kategori tunggal bagi beras putih yang dinamakan Beras Putih Malaysia Madani bagi menggantikan kategori beras putih tempatan dan import di pasaran negara.

Namun, sehari selepas itu Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu mengeluarkan kenyataan media menafikan perkara itu. Jelasnya dalam kenyataan itu, kerajaan belum ada ketetapan yang dibuat atas cadangan Datuk Syed Abu Hussin, sebaliknya menyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan akan membincangkan secara kolektif isu Beras Putih Malaysia Madani dalam Mesyuarat NACCOL akan datang.

 

Ulasan