Meninggikan Syariat Allah Amanah Besar


 Firman Allah SWT:


﴿إِنَّا عَرَضۡنَا ٱلۡأَمَانَةَ عَلَى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱلۡجِبَالِ فَأَبَيۡنَ أَن يَحۡمِلۡنَهَا وَأَشۡفَقۡنَ مِنۡهَا وَحَمَلَهَا ٱلۡإِنسَٰنُۖ إِنَّهُۥ كَانَ ظَلُومٗا جَهُولٗا٧٢ لِّيُعَذِّبَ ٱللَّهُ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ وَٱلۡمُنَٰفِقَٰتِ وَٱلۡمُشۡرِكِينَ وَٱلۡمُشۡرِكَٰتِ وَيَتُوبَ ٱللَّهُ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ وَٱلۡمُؤۡمِنَٰتِۗ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورٗا رَّحِيمَۢا٧٣﴾


“Sesungguhnya, Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung-ganang, tetapi semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan amanah itu hanya sanggup dipikul oleh manusia. Sesungguhnya, manusia itu amat zalim dan amat bodoh. (72) Sehingga Allah mengazab orang-orang munafiq lelaki dan perempuan dan orang-orang Musyrikin lelaki dan perempuan; dan sehingga Allah menerima taubat orang-orang Mukmin lelaki dan perempuan. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (73)” [Surah al-Ahzab: 72-73]


Amanah yang dimaksudkan ialah melaksanakan syariat Allah Yang Maha Adil kepada makhluk-Nya, termasuk kalangan manusia yang telah ditetapkan kewajipan agar beribadat dan berkhilafah (mentadbir urusan dunia dengan Islam) mengikut ketetapan Allah Pencipta alam Yang Maha Adil, Maha Bijaksana dan Maha Suci ilmu-Nya daripada segala kekurangan. 


Firman Allah SWT dalam mentafsirkan maksud amanah:


﴿۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا٥٨ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا٥٩﴾


“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya, Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya, Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. (58); Wahai, orang-orang yang beriman! Taatilah kamu kepada Allah, taatilah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulu al-Amri (orang-orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu. Kemudian, jika kamu saling berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya, jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Oleh yang demikian, perkara itu adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. (59)” [Surah al-Nisa’: 58-59]


Amanah terbesar ialah kewajipan terbesar melaksanakan syariat Allah yang diwahyukan kepada Rasul-Nya dan perkara yang dinyatakan oleh al-Hikmah (Sunnah) Rasul yang dilantik, serta Ulu al-Amri (mereka yang ditugaskan mengendalikan urusannya). Mereka terdiri daripada kalangan para ulama’ yang diamanahkan menjaga ilmu dan para pemimpin yang diberikan kuasa diamanahkan untuk melaksanakan syariat yang dinamakan sebagai khalifah, raja-raja atau para pemimpin dan mereka yang berada di bawahnya. 


Ketaatan kepada Allah dan Rasul adalah mutlak. Adapun ketaatan kepada Ulu al-Amri dengan syarat mereka mentaati Allah dan Rasul, sehingga aspek tersebut dikaitkan dengan konsep beriman kepada balasan pada Hari Akhirat. 


Khalifah Abu Bakar RA menegaskan dalam ucapan pertama selepas diberi baiah menjadi khalifah:


أَطِيْعُوْنِيْ ماَ أَطَعْتُ اللهَ وَرَسُوْلَهُ، فَإِذَا عَصَيْتُ اللهَ وَرَسُوْلَهُ فَلاَ طاَعَةَ لِيْ عَلَيْكُمْ.


“Taatilah aku selagi aku mentaati Allah dan Rasul, maka apabila aku menderhakai Allah dan rasul-Nya, maka kamu tidak wajib mentaatiku.” [Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, Jld. 5, Hlm. 305]


Rasulullah SAW bersabda secara langsung kepada para hakim yang mengendalikan badan kehakiman:


‌القُضَاةُ ‌ثَلَاثَةٌ: قَاضِيَانِ فِي النَّارِ، وَقَاضٍ فِي الجَنَّةِ، رَجُلٌ قَضَى بِغَيْرِ الحَقِّ فَعَلِمَ ذَاكَ فَذَاكَ فِي النَّارِ، وَقَاضٍ لَا يَعْلَمُ فَأَهْلَكَ حُقُوقَ النَّاسِ فَهُوَ فِي النَّارِ، وَقَاضٍ قَضَى بِالحَقِّ ‌فَذَلِكَ ‌فِي ‌الجَنَّةِ.


“Para hakim itu ada tiga jenis: Dua jenis yang pertama ke neraka dan satu lagi jenis ke syurga. (Dua jenis ke neraka itu) ialah seorang hakim yang membuat keputusan salah (padahal dia berilmu) dan membuat keputusan yang mengetahui akan kesalahannya, balasannya dia dimasukkan ke dalam neraka. Begitu juga, hakim yang menjatuhkan hukuman dengan menjadi hakim dalam kejahilannya, balasannya dia juga dimasukkan ke dalam neraka kerana membinasakan hak manusia (mengikut ketetapan Allah). Adapun hakim yang menjatuhkan hukuman yang benar (mengikut ketetapan Allah), maka balasannya dia dimasukkan ke dalam syurga.” [Al-Tirmizi, Sunan al-Tirmizi, Abwab al-Ahkam, No. 1322]


Rasulullah SAW mendahulukan sebutan dua jenis hakim ke neraka kerana jumlahnya yang ramai daripada kalangan para hakim yang mengejar pangkat dan kedudukan. Hanya segelintir sahaja yang berani menegakkan kebenaran.


Dalam pada itu, Rasulullah SAW juga telah menetapkan hukum syariat itu menjadi rujukan paling tinggi dalam Sahifah Madinah (Piagam Madinah) yang menjadi perjanjian berperlembagaan ketika Baginda memerintah sebuah negara masyarakat majmuk.


وَإِنَّهُ مَا كَانَ بَيْنَ أَهْلِ هَذِهِ الصَّحِيفَةِ مِنْ حَدَثٍ أَوْ اشْتِجَارٍ يُخَافُ فَسَادُهُ، فَإِنَّ مَرَدَّهُ إلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ، وَإِلَى مُحَمَّدٍ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَإِنَّ اللَّهَ عَلَى أَتْقَى مَا فِي هَذِهِ الصَّحِيفَةِ وَأَبَرِّهِ. 


“Maka, sesungguhnya apa-apa jua yang berlaku dalam kalangan mereka yang terlibat dalam perjanjian ini, adanya pertikaian atau perbalahan yang ditakuti merosakkan (hubungan), maka hendaklah dikembalikan (penyelesaiannya) kepada Allah SWT dan kepada Rasulullah SAW (Sunnah), dan Allah sentiasa menyaksikan kebaikan apa yang terkandung dalam sahifah ini dan perkara yang membawa kebajikan.” [Ibn Hisyam, al-Sirah al-Nabawiah, Jld. 1, Hlm. 503]


Ini bermaksud bahawa syariat Islam adalah keputusan paling tinggi sehingga membatalkan semua perkara yang bercanggah dengannya. 


Allah memberi peringatan yang banyak dan berulang kali dalam al-Quran supaya umat Islam tidak terpengaruh dengan penyelewengan kalangan Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) yang merendahkan Kitab Allah yang diwahyukan kepada para rasul terdahulu, antaranya firman Allah SWT:


﴿وَأَنزَلۡنَآ إِلَيۡكَ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ مُصَدِّقٗا لِّمَا بَيۡنَ يَدَيۡهِ مِنَ ٱلۡكِتَٰبِ وَمُهَيۡمِنًا عَلَيۡهِۖ فَٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُۖ وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَهُمۡ عَمَّا جَآءَكَ مِنَ ٱلۡحَقِّۚ لِكُلّٖ جَعَلۡنَا مِنكُمۡ شِرۡعَةٗ وَمِنۡهَاجٗاۚ وَلَوۡ شَآءَ ٱللَّهُ لَجَعَلَكُمۡ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗ وَلَٰكِن لِّيَبۡلُوَكُمۡ فِي مَآ ءَاتَىٰكُمۡۖ فَٱسۡتَبِقُواْ ٱلۡخَيۡرَٰتِۚ إِلَى ٱللَّهِ مَرۡجِعُكُمۡ جَمِيعٗا فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ فِيهِ تَخۡتَلِفُونَ٤٨ وَأَنِ ٱحۡكُم بَيۡنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ وَلَا تَتَّبِعۡ أَهۡوَآءَهُمۡ وَٱحۡذَرۡهُمۡ أَن يَفۡتِنُوكَ عَنۢ بَعۡضِ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ إِلَيۡكَۖ فَإِن تَوَلَّوۡاْ فَٱعۡلَمۡ أَنَّمَا يُرِيدُ ٱللَّهُ أَن يُصِيبَهُم بِبَعۡضِ ذُنُوبِهِمۡۗ وَإِنَّ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلنَّاسِ لَفَٰسِقُونَ٤٩ أَفَحُكۡمَ ٱلۡجَٰهِلِيَّةِ يَبۡغُونَۚ وَمَنۡ أَحۡسَنُ مِنَ ٱللَّهِ حُكۡمٗا لِّقَوۡمٖ يُوقِنُونَ٥٠﴾


“Dan Kami telah turunkan kepadamu al-Quran dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya, iaitu kitab-kitab (yang diturunkan sebelumnya) dan batu ujian terhadap kitab-kitab yang lain itu; maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu. Untuk tiap-tiap umat antara kamu, Kami berikan aturan syariat dan jalan yang terang. Sekiranya Allah menghendaki, nescaya kamu dijadikan-Nya satu umat (sahaja), tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepadamu, maka berlumba-lumbalah dalam berbuat kebajikan. Hanya kepada Allah jua kembali kamu semuanya, lalu diberitahukan-Nya kepadamu apa yang telah kamu perselisihkan itu. (48) Dan hendaklah kamu memutuskan perkara antara mereka menurut apa-apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu daripada sebahagian yang telah diturunkan Allah kepadamu. Jika mereka berpaling (daripada hukum yang telah diturunkan Allah), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya, Allah menghendaki akan menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa mereka. Dan sesungguhnya, kebanyakan manusia ialah orang-orang yang fasiq. (49) Apakah hukum jahiliah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin? (50)” [Surah al-Ma’idah: 48-50]


Terbukti benarnya amaran Allah dalam al-Quran, apabila ia berlaku ketika umat Islam dijajah oleh kaum Zionis Yahudi dan Kristian sehingga mereka berjaya mempengaruhi umat Islam dengan undang-undang ciptaan manusia yang terbukti kelemahannya. Akibatnya, penyakit yang menimpa masyarakat Barat yang sesat itu masuk ke dalam masyarakat Islam. 


Walaupun negara Islam telah mencapai kemerdekaan, hilangnya integriti dan syakhsiah kemanusiaan akibat mengekalkan undang-undang yang diamalkan oleh penjajah, sehingga ia merosakkan jasad, roh dan akal. Seterusnya, meruntuhkan institusi kekeluargaan dan kemasyarakatan sehinggalah alam sekitar. Firman Allah SWT:


﴿ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ٤١﴾


“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan-tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” [Surah al-Rum: 41]


Firman Allah SWT:


﴿وَلَوۡ أَنَّ أَهۡلَ ٱلۡقُرَىٰٓ ءَامَنُواْ وَٱتَّقَوۡاْ لَفَتَحۡنَا عَلَيۡهِم بَرَكَٰتٖ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَٰكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذۡنَٰهُم بِمَا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ٩٦ أَفَأَمِنَ أَهۡلُ ٱلۡقُرَىٰٓ أَن يَأۡتِيَهُم بَأۡسُنَا بَيَٰتٗا وَهُمۡ نَآئِمُونَ٩٧ أَوَ أَمِنَ أَهۡلُ ٱلۡقُرَىٰٓ أَن يَأۡتِيَهُم بَأۡسُنَا ضُحٗى وَهُمۡ يَلۡعَبُونَ٩٨ أَفَأَمِنُواْ مَكۡرَ ٱللَّهِۚ فَلَا يَأۡمَنُ مَكۡرَ ٱللَّهِ إِلَّا ٱلۡقَوۡمُ ٱلۡخَٰسِرُونَ٩٩﴾


“Sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahi mereka berkat daripada langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu. Maka, Kami seksa mereka disebabkan perbuatan mereka. (96) Patutkah penduduk negeri-negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur? (97) Atau patutkah penduduk negeri-negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka bermain-main? (98) Patutkah mereka (bersuka ria) sehingga mereka merasa aman akan rancangan buruk (balasan azab) yang diaturkan oleh Allah? Kerana sebenarnya tiada yang merasa aman daripada rancangan buruk (balasan azab) yang diaturkan oleh Allah itu melainkan orang-orang yang rugi. (99)” [Surah al-A‘raf: 96-99]


 Firman Allah SWT:


﴿أَفَأَمِنَ ٱلَّذِينَ مَكَرُواْ ٱلسَّيِّ‍َٔاتِ أَن يَخۡسِفَ ٱللَّهُ بِهِمُ ٱلۡأَرۡضَ أَوۡ يَأۡتِيَهُمُ ٱلۡعَذَابُ مِنۡ حَيۡثُ لَا يَشۡعُرُونَ٤٥ أَوۡ يَأۡخُذَهُمۡ فِي تَقَلُّبِهِمۡ فَمَا هُم بِمُعۡجِزِينَ٤٦ أَوۡ يَأۡخُذَهُمۡ عَلَىٰ تَخَوُّفٖ فَإِنَّ رَبَّكُمۡ لَرَءُوفٞ رَّحِيمٌ٤٧﴾


“Maka, apakah orang-orang yang membuat makar yang jahat itu, merasa aman (daripada bencana) ditenggelamkan bumi oleh Allah bersama mereka, atau datangnya azab kepada mereka daripada tempat yang tidak mereka sedari. (45) Atau Allah mengazab mereka sewaktu mereka dalam perjalanan, maka sekali-kali mereka tidak dapat menolak (azab itu). (46) Atau Allah mengazab mereka dengan beransur-ansur (sehingga binasa). Maka, sesungguhnya Tuhanmu adalah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. (47)” [Surah al-Nahl: 45-47]


Ada kalangan yang menggoda beralasan kononnya ingin melakukan islah (penambahbaikan) terhadap undang-undang dan sistem kehakiman. Maka, siapakah yang berani mencabar bahawa sesungguhnya dirinya itu lebih bijak daripada Allah Pencipta alam?


Firman Allah SWT:


﴿لَّيۡسَ بِأَمَانِيِّكُمۡ وَلَآ أَمَانِيِّ أَهۡلِ ٱلۡكِتَٰبِۗ مَن يَعۡمَلۡ سُوٓءٗا يُجۡزَ بِهِۦ وَلَا يَجِدۡ لَهُۥ مِن دُونِ ٱللَّهِ وَلِيّٗا وَلَا نَصِيرٗا١٢٣﴾


“(Pahala daripada Allah) itu bukanlah menurut angan-anganmu yang kosong dan tidak (pula) menurut angan-angan Ahli Kitab. Sesiapa yang mengerjakan kejahatan, nescaya akan diberi pembalasan dengan kejahatan itu dan ia tidak mendapat pelindung dan tidak (pula) penolong baginya selain daripada Allah.” [Surah al-Nisa: 123]


Firman Allah SWT:


﴿وَإِذَا قِيلَ لَهُمۡ لَا تُفۡسِدُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ قَالُوٓاْ إِنَّمَا نَحۡنُ مُصۡلِحُونَ١١ أَلَآ إِنَّهُمۡ هُمُ ٱلۡمُفۡسِدُونَ وَلَٰكِن لَّا يَشۡعُرُونَ١٢ وَإِذَا قِيلَ لَهُمۡ ءَامِنُواْ كَمَآ ءَامَنَ ٱلنَّاسُ قَالُوٓاْ أَنُؤۡمِنُ كَمَآ ءَامَنَ ٱلسُّفَهَآءُۗ أَلَآ إِنَّهُمۡ هُمُ ٱلسُّفَهَآءُ وَلَٰكِن لَّا يَعۡلَمُونَ١٣﴾


“Dan apabila dikatakan kepada mereka, ‘Janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi.’ Mereka menjawab, ‘Sesungguhnya, kami orang-orang yang mengadakan perbaikan.’ (11) Ingatlah, sesungguhnya, mereka itulah orang-orang yang membuat kerosakan, tetapi mereka tidak sedar. (12) Apabila dikatakan kepada mereka, ‘Berimanlah kamu sebagaimana orang-orang lain telah beriman.’ Mereka menjawab, ‘Akan berimankah kami sebagaimana orang-orang yang bodoh itu telah beriman?’ Ingatlah, sesungguhnya merekalah orang-orang yang bodoh; tetapi mereka tidak tahu. (13)” [Surah al-Baqarah: 11-13]


Penjajah dahulu bertindak secara berhati-hati tanpa agresif dengan membiarkan hukum syariat yang masih difahami oleh kebanyakan penganut Islam seperti undang-undang keluarga dan moral peribadi yang diketahui umum dalam masyarakat Islam. Mereka menggunakan pendekatan menyerahkan urusan yang dinamakan hal ehwal agama dan adat kepada kuasa raja-raja. 


Namun begitu, raja-raja ini dikongkong kuasa agamanya atas jenama menjadi ketua agama dengan membuang urusan kehidupan masyarakat yang terkandung dalam syariat Islam yang sempurna dan lengkap dikuasai oleh mereka. Sehingga kedudukan syariat Islam direndahkan dalam kuasanya dan dipinda hukumannya. Kuasa raja-raja yang tidak berdaulat memerintah negara secara Islam yang kuat dan lengkap. Akhirnya, umat Islam dilemahkan sedikit demi sedikit dan hilang kuasanya dalam negara sendiri apabila mereka meninggalkan perintah Allah:


﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱدۡخُلُواْ فِي ٱلسِّلۡمِ كَآفَّةٗ وَلَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيۡطَٰنِۚ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٞ٢٠٨﴾


“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan! Sesungguhnya, syaitan itu musuh yang nyata bagimu.” [Surah al-Baqarah: 208]


Para pejuang kemerdekaan telah mengembalikan asas yang kukuh apabila berjaya meletakkan batu asas dalam Perlembagaan Persekutuan:


“Perkara 3(1)  dalam perlembagaan  menyatakan bahawa  Islam  ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.” 


Sepatutnya, Islam itu ditafsirkan dengan bahasa al-Quran (al-din) dan diikuti dengan pindaan-pindaan yang membebaskan diri daripada penjajah, bukan mentakrifkan agama mengikut bahasanya yang berkonsep sekularisme yang melemahkan agama. 


Banyak pindaan yang tidak penting dilakukan, malangnya pindaan yang kembali kepada asas dasar dan rukun Islam ditinggalkan. Namun dahulunya, ada daripada kalangan para hakim yang bijaksana seperti Almarhum Tun Salleh Abas, Almarhum Tan Sri Harun Hashim dan lain-lain. Ada yang masih hidup seperti Tun Abdul Hamid, Tun Ahmad Fairuz dan lain-lain yang menggunakan kebijaksanaan mereka untuk menjaga dan mempertahankan syariat buat sementara waktu mengikut mafhum yang ada dalam keimanan di hati mereka kepada Islam. Mereka tidak melayan tindakan-tindakan yang mahu menyingkirkan syariat Islam.


Namun demikian, kini muncul kalangan hakim yang ‘bijaksini’ (bukan bijaksana) yang kepala dan akalnya dipengaruhi oleh tulisan warisan penjajah.


Umat yang mempertahankan kedaulatan Islam, wajib bangkit menentang usaha yang zalim dan menyesatkan mereka daripada Islam yang sebenar. Hal ini demikian kerana, dosa menghina Islam lebih besar daripada dosa menghina mahkamah yang sebenarnya hina di hadapan Allah.


Ingatlah kepada peringatan Allah SWT:


﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن تُطِيعُواْ فَرِيقٗا مِّنَ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡكِتَٰبَ يَرُدُّوكُم بَعۡدَ إِيمَٰنِكُمۡ كَٰفِرِينَ١٠٠﴾


“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu taat akan sebahagian daripada orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu, nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang-orang kafir sesudah kamu beriman.” [Surah Ali ‘Imran: 100]


Perkara ini khusus untuk para ulama, lebih khusus kepada kalangan yang berjawatan mufti atau ahli fatwa yang menjadi penasihat agama kepada raja-raja, mereka wajib bersuara sekarang. Ingatlah firman Allah SWT:


﴿إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكۡتُمُونَ مَآ أَنزَلۡنَا مِنَ ٱلۡبَيِّنَٰتِ وَٱلۡهُدَىٰ مِنۢ بَعۡدِ مَا بَيَّنَّٰهُ لِلنَّاسِ فِي ٱلۡكِتَٰبِ أُوْلَـٰٓئِكَ يَلۡعَنُهُمُ ٱللَّهُ وَيَلۡعَنُهُمُ ٱللَّٰعِنُونَ١٥٩ إِلَّا ٱلَّذِينَ تَابُواْ وَأَصۡلَحُواْ وَبَيَّنُواْ فَأُوْلَـٰٓئِكَ أَتُوبُ عَلَيۡهِمۡ وَأَنَا ٱلتَّوَّابُ ٱلرَّحِيمُ١٦٠﴾


“Sesungguhnya, orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan berupa keterangan-keterangan (yang jelas) dan petunjuk, setelah Kami menerangkannya kepada manusia dalam al-Kitab, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh semua (makhluk) yang dapat melaknati. (159) Kecuali mereka yang telah bertaubat dan mengadakan perbaikan (amal) dan menerangkan (kebenaran), maka terhadap mereka itulah Aku menerima taubatnya dan Aku Maha Penerima Taubat, lagi Maha Penyayang. (160)” [Surah al-Baqarah: 159-160]


Firman Allah SWT lagi:


﴿إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكۡتُمُونَ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ مِنَ ٱلۡكِتَٰبِ وَيَشۡتَرُونَ بِهِۦ ثَمَنٗا قَلِيلًا أُوْلَـٰٓئِكَ مَا يَأۡكُلُونَ فِي بُطُونِهِمۡ إِلَّا ٱلنَّارَ وَلَا يُكَلِّمُهُمُ ٱللَّهُ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِ وَلَا يُزَكِّيهِمۡ وَلَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٌ١٧٤ أُوْلَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ ٱشۡتَرَوُاْ ٱلضَّلَٰلَةَ بِٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡعَذَابَ بِٱلۡمَغۡفِرَةِۚ فَمَآ أَصۡبَرَهُمۡ عَلَى ٱلنَّارِ١٧٥ ذَٰلِكَ بِأَنَّ ٱللَّهَ نَزَّلَ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّۗ وَإِنَّ ٱلَّذِينَ ٱخۡتَلَفُواْ فِي ٱلۡكِتَٰبِ لَفِي شِقَاقِۢ بَعِيدٖ١٧٦﴾


“Sesungguhnya, orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah diturunkan Allah, iaitu al-Kitab dan menjualnya dengan harga yang sedikit (murah), mereka itu sebenarnya tidak memakan (tidak menelan) ke dalam perutnya melainkan api neraka, dan Allah tidak akan berbicara kepada mereka pada Hari Kiamat dan tidak menyucikan mereka daripada dosa dan bagi mereka seksa yang amat pedih. (174) Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk dan menukar seksa dengan keampunan. Maka, alangkah beraninya mereka untuk menghadapi seksaan api neraka! (175) Yang demikian itu adalah kerana Allah telah menurunkan al-Kitab dengan membawa kebenaran; dan sesungguhnya orang-orang yang berselisih tentang (kebenaran) al-Kitab itu, benar-benar dalam penyimpangan yang jauh (daripada kebenaran). (176)” [Surah al-Baqarah: 174-176]


ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

 

Bertarikh: 4 Sya‘ban 1445 / 14 Februari 2024


[Bil: 8 / 2024]

Ulasan