AID4PALESTINE Dengan Kerjasama Beberapa Institusi Kerajaan Negeri Dan Ngo-Ngo Islam Menganjurkan Sambutan Minggu Al-Quds Sedunia Demi Mendokong Perjuangan Membebaskan Bumi Palestin Daripada Belenggu Penjajahan
1. Tahun
ini merupakan tahun keempat penganjuran Minggu al-Quds Sedunia yang dianjurkan
secara serentak di pelbagai buah negara sebagai meneruskan aspirasi untuk
bersolidariti bersama perjuangan rakyat Palestin menuntut kebebasan dan
mempertahankan tanah air mereka terutamanya pasca serangan pada bulan Oktober
2023 lalu yang telah meninggalkan impak yang sangat besar kepada dunia Islam khasnya
dan antarabangsa secara amnya.
2. Di
Malaysia, penganjuran Minggu al-Quds Sedunia pada tahun ini akan berlangsung pada
2 – 9 Februari 2024 bersamaan 21-28 Rejab 1445H. Aid4Palestine bersama-sama
agensi dan pertubuhan yang bekerjasama dengannya dengan berbesar hati merangka
beberapa program dan aktiviti yang bertemakan “Al-Quds Membebaskan Kita” dan
berharap penganjuran kali ini dapat berjalan dengan lancar dan mencapai segala
objektif yang telah digariskan.
3. Di
antara objektifnya ialah menggerakkan massa untuk mengambil peduli tentang isu
Palestin, menggabungkan peranan pelbagai institusi secara strategik dan
bersinergi untuk melaksanakan projek yang praktikal demi mempertahankan
kehormatan kota al-Quds, mendorong para ulama untuk memimpin masyarakat dalam
menyokong, mempertahan dan menghidupkan semula isu ini di pelbagai negara serta
mendidik rakyat berkaitan peranan mereka terhadap isu Palestrin dan Baitulmaqdis.
4. Penganjuran
Minggu al-Quds Sedunia ini yang diadakan secara tahunan pada setiap minggu
terakhir bulan Rejab adalah mengambil kesempatan daripada semangat umat Islam
di seluruh dunia yang mengadakan sambutan memperingati peristiwa al-Isra’
wal-Mi’raj. Kita mengambil peluang ini untuk menyedarkan umat Islam tentang
kepentingan Masjid al-Aqsa sebagai tempat berlakunya peristiwa besar Isra’ dan
Mi’raj dan kedudukan bumi Palestin yang berada dalam penjajahan selama lebih 75
tahun sejak tahun 1948. Ia juga bertujuan untuk mengambil semangat peristiwa
pembebasan Baitulmaqdis oleh Sultan Solahuddin al-Ayyubi yang berlaku pada
minggu terakhir bulan Rejab iaitu tepatnya pada 27 Rejab tahun 583 Hijriah.
5. Bagi
mencapai objektif yang tersebut, Aid4Palestine telah menyusun pelbagai aktiviti
yang mampu memberikan kesedaran kepada massa termasuk para pemimpin masyarakat
betapa isu al-Quds dan Palestin ini sangat berkait rapat dengan diri mereka dan
umat Islam seluruhnya. Kali ini kami membawakan delegasi para alim ulamak dari
luar negara yang telah sekian lama menabur bakti mendidik umat Islam untuk
memperjuangkan isu Palestin. Di antaranya ialah Syeikh Dr. Nawaf Takruri, Dr.
Abdullah Abdul Majeed al-Zindani, Datuk Ahmad Amir Ali, Syeikh Nuruddin
La’muri, Syeikh Suat Yassin dan Syeikh Dr. Ridwan Jamal al-Atrash. Kehadiran
mereka ini diyakini mampu menyuntik semangat pembebasan Masjid al-Aqsa dan
Baitulmaqdis ke dalam diri umat Islam di negara ini.
6. Mengambil
semangat “Taufan al-Aqsa” yang telah membangkitkan semangat dan menyedarkan
umat Islam di seluruh dunia tentang peri pentang perjuangan membebaskan Masjid
al-Aqsa dan mempertahankan kesucian kota al-Quds ini, Aid4Palestine menyahut
seruan di peringkat antarabangsa menganjurkan Minggu al-Quds Sedunia dengan
tema “Al-Quds Membebaskan Kita”. Penentangan rakyat Palestin di Tebing Barat
dan diikuti serangan terhadap tentera penceroboh di sempadan Gaza pada awal
Oktober tahun lalu telah menggegarkan dunia, walaupun kesan peperangan kali ini
menyaksikan kemusnahan besar terhadap penduduk di utara Gaza, namun dunia telah
membuka mata untuk mengenali pengganas sebenar di sebalik konflik berdarah yang
paling panjang dalam sejarah manusia moden ini.
7. Dalam Minggu al-Quds Sedunia ini juga, kami
akan melancarkan sebuah NGO iaitu Pertubuhan Pencinta Baitul Maqdis yang akan
fokus memperjuangkan isu al-Quds dan Palestin dari segi memberi kesedaran
(awareness) terhadap apa yang berlaku di lapangan supaya masyarakat di negara
ini terus mendapat maklumat dan tidak hanya menyokong perjuangan rakyat
Palestin secara bermusim. Justeru, kami mengajak semua pihak di negara ini,
tanpa mengira fahaman politik dan aliran agama untuk turut sama dalam usaha
membebaskan al-Quds dan mengembalikan kesucian Masjid al-Aqsa ke pangkuan umat
Islam.
“Al-Quds
Membebaskan Kita!”
YB DR
USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
PENGERUSI AID4PALESTINE
Ulasan