Sewajarnya umat Islam bersatu padu dan berkerjasama memperjuangkan pembebasan bumi Palestin daripada kezaliman regim Zionis Israel yang telah bermaharajalela selama lebih 75 tahun dan bukannya “bersekongkol” secara berselindung dengan penjenayah yang telah membunuh puluhan ribu rakyat Palestin dan merampas tanah air mereka.
Benar, kita boleh “mencampakkan” segala kesalahan ke atas Barat dan regim Zionis Israel. Sememangnya, itulah yang dilakukan mereka selama ini dan umat Islam kelihatan amat lemah dalam menangani dan memperjuangkan nasib Palestin dan warganya.
Firman Allah SWT yang bermaksud,
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang terpesong itu). Surah Al-Baqarah, ayat 120.
Namun begitu dalam masa sama, umat Islam perlu menilai sikap dan diri mereka sendiri ke atas apa yang berlaku di Palestin ketika ini. Sampai bilakah kita mahu menuding jari kepada musuh-musuh Islam sahaja tanpa meletakkan juga kesalahan ke atas diri sendiri yang perlu diperbetulkan ?
Firman Allah SWT lagi,
“Sesungguhnya Allah tidak merubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri”
Surah Al-Rad, ayat 11.
Nyatanya ayat ini membawa maksud kita perlu kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Ketika ini, umat Islam berada dalam keadaan yang paling lemah berikutan terhakisnya akidah dan iman selain tidak berpegang kepada ajaran Islam itu sendiri. Islam sudah tidak dijadikan panduan dan “gaya hidup” berikutan hidup berpaksikan ajaran Barat, malah ada yang sanggup mengikut telunjuk Barat merosak dan menghancurkan Islam.
Sebagai umat Islam, kita tidak boleh mengambil jalan-jalan lain selain daripada Islam. Kita perlu membina diri dengan akidah dan iman selain berpegang teguh kepada syariat Islam dan akhlak yang perlu dipertingkatkan setiap masa.
Al-Quran adalah mukjizat dan petunjuk dari Allah SWT yang penuh dengan ilmu kepada umat manusia, dan ia tidak terdapat di dalam mana-mana kitab mahupun buku yang lain. Setiap kali kita membaca Al-Quran, kita akan sentiasa dapati dan pelajari ilmu baharu.
Apabila dibaca permulaan ayat surah Al-Isra’, Allah SWT telah menyatakan dua buah masjid iaitu Masjid Al-Haram dan Masjid Al-Aqsa. Telah disebut dalam hadis yang sahih bahawa jarak masa pembinaan antara kedua-dua masjid ini adalah selama 40 tahun. Nabi Ibrahim AS telah membina Masjid Al-Haram dahulu dan kemudiannya barulah membina Masjid Al-Aqsa ketika berhijrah ke kota suci Al-Quds.
“Kata kunci” yang utamanya di sini adalah 40 tahun di mana dekad ini ramai alim ulama yang mengkaji mukjizat Al-Quran dari sudut angka selain turut disebut dalam Al-Quran dan hadis berkaitan angka 40 tahun. Antaranya Firman Allah SWT yang menceritakan kisah Bani Israil dalam surah Al-Ma’idah ayat 24-26 yang bermaksud;
“Mereka (Bani Israil) berkata”Wahai Musa, kami sesekali tidak akan memasukinya (tidak mahu berjihad) selama-lamanya (ke negeri Palestin), selagi mereka ada didalamnya, kerana itu pergilah kamu bersama Tuhanmu dan berperanglah kamu berdua, sesungguhnya kami hanya duduk disini saja”. Berkata Musa “Ya Tuhanku, aku tidak menguasai kecuali diriku sendiri dan saudaraku (Harun). Sebab itu pisahkanlah antara kami dengan orang-orang yang fasik itu”. Allah berfirman “(Jika demikian), maka sesungguhnya negeri itu ( Palestin) diharamkan atas mereka selama empat puluh tahun, (selama itu) mereka berputar-putar kebingungan di bumi (padang pasir Sinai) itu. Maka janganlah kamu bersedih hati (memikirkan nasib) orang-orang yang fasik itu”.
Apakah yang dilakukan Nabi Musa AS dalam tempoh 40 tahun tersebut? Dalam tempoh itu, Nabi Musa AS mentarbiah, mendidik dan membina pengikutnya yang setia dengan iman dan akidah. Oleh itu “kata kunci” 40 tahun tersebut tidak hanya tertakluk kepada pembinaan fizikal Masjid Al-Haram dan Masjid Al-Aqsa semata-mata.
Ia juga turut bermaksud pembinaan peribadi yang diisi dengan akidah, syariat dan akhlak oleh Nabi Musa AS ke atas pengikut-pengikut setianya untuk membina satu generasi sehingga Nabi Musa AS wafat. Selepas itu generasi tersebut dipimpin oleh Nabi Yusya’ AS yang akhirnya selepas 40 tahun berjaya memasuki bumi Palestin dengan jihad pada jalan Allah.
Pengasas HAMAS, Syeikh Ahmad Yassin pernah menyebut dalam satu wawancara dengan Al-Jazeera sekitar tahun 1999 bahawa Baitulmaqdis akan dibebaskan, serta negara haram Israel akan musnah pada tahun 2027 atau 2028 bersandarkan kepada ayat 24-26 Surah Al-Ma’idah di atas.
Beliau mengatakan bahawa selama 40 tahun semenjak tertubuhnya negara haram Israel pada tahun 1948 sehingga tahun 1988, umat Islam berada dalam keadaan kucar-kacir. Di negara Arab, perjuangan menentang Zionis Israel di atas dasar kebangsaan Arab, akhirnya mereka kalah dalam peperangan pada tahun 1948, 1967 dan peperangan-peperangan yang lain. Walaupun menang dalam perang pada tahun 1973, kemenangan tersebut tidak sampai ke kemuncak.
Maknanya zaman 40 tahun itu zaman kegelapan kepada umat Islam. Maka selepas itu berlakulah proses pembinaan bermula dari penubuhan HAMAS pada tahun 1987. Syeikh Ahmad Yassin menyatakan bahawa generasi inilah generasi yang akan membebaskan Masjid Al-Aqsa.
Bagi kita umat Islam, tidak boleh bersandar kepada angka semata-mata serta yakin 100 peratus. Jika ianya berlaku alhamdulillah dan jika ia tidak berlaku, itu aturan Allah SWT. Yang pentingnya ialah kata kunci “pembinaan” yang perlu ada dalam diri umat Islam iaitu pembinaan akidah dan iman.
Kita menyokong dan mendokong perjuangan saudara kita di Palestin, bukan di atas dasar bangsa, kaum dan negara tetapi atas dasar akidah kerana bumi Palestin adalah milik umat Islam. Terdapat berita-berita gembira yang banyak sekali yang disebut dalam nas-nas syarak bahawa suatu hari nanti bumi Palestin ini akan kembali ke tangan umat Islam.
Kemenangan akan berpihak kepada umat Islam, namun kemenangan itu Allah SWT tidak akan beri dengan percuma kerana ia adalah satu kurniaan yang sangat mahal seperti permata dan berlian yang tidak diperolehi dengan mudah. Untuk mendapatkannya, ia memerlukan pengorbanan.
Disebabkan itu, kemenangan untuk membebaskan Baitul Maqdis serta mengembalikan Masjidil Aqsa ke tangan umat Islam jauh lebih mahal lagi. Maka Allah SWT tidak mengurniakannya dengan mudah, tetapi memerlukan pengorbanan dan jihad daripada umat Islam.
Oleh kerana itulah tidak ada jalan lain untuk membebaskan Masjidi Al-Aqsa melainkan dengan jalan jihad yakni dengan segala bentuk kemampuan dan keupayaan sama ada dengan menginfakkan harta benda, doa yang berterusan, memberikan sokongan seperti di media sosial dan sebagainya dalam usaha untuk menguat dan memperkukuhkan sokongan perjuangan pembebasan Palestin.
Justeru marilah kita bersama-sama mendokong perjuangan ini seiring dengan saudara kita di bumi Palestin yang sedang berjihad walaupun dengan niat yang ikhlas di dalam hati.
Semoga impian dan cita-cita suci ini iaitu kemerdekaan dan pembebasan Al-Quds dan Masjid Al-Aqsa akan menjadi kenyataan tidak lama lagi Insya-Allah.
“Selamatkan Masjid Al-Aqsa, Bebaskan Palestin”.
Adil, Prihatin dan Berkebajikan
YB Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk.
Ulasan