“Kebajikan Kami Terjaga,” Kata Cikgu PASTI


 Oleh : Noraini Jusoh

KUALA TERENGGANU – Para pendidik yang berkhidmat pada Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) bersyukur kerana walaupun hanya dibayar elaun dan bukan gaji, namun kebajikan mereka sentiasa terjaga.


Cikgu Nur Farah Shuhadah Johari, 27, yang ditemui menegaskan, beliau ikhlas dalam mendidik anak-anak PASTI dan imbuhan yang diterimanya, cukup untuk menampung perbelanjaan seharian.

“Sebelum ini saya kerja di pelbagai bidang. Saya buat keputusan untuk mengajar di sini sebab selain suka melayan keletah kanak-kanak, tanpa sedar sebenarnya kita dapat belajar sesuatu dari anak-anak ini terutamanya mengenai ilmu agama.


“Saya ikhlas mengajar mereka, seronok tengok anak-anak Pasti seawal umur empat, lima tahun sudah menguasai pelbagai surah, hadis dan doa harian,” ujarnya yang telah enam tahun menabur bakti.

Rakan sejawat Nur Farah, Bibi Izzati Nadia Kama, 32, menafkan tohmahan pihak tertentu yang melempar pelbagai tuduhan terhadap PASTI, program pendidikan yang dipayungi Parti Islam SeMalaysia (PAS).

Katanya sebagai seorang sukarelawan, beliau dan para guru institusi pendidikan pra-sekolah itu, rela hati memilih profesion tersebut walaupun terdapat kekurangan, tetapi sentiasa menerima bantuan-bantuan dari pelbagai pihak.

“Dari sudut kebajikan tu memang terjaga, jadi tidak betul jika ada pihak yang mengatakan guru PASTI terabai,


“masyarakat setempat, pemimpin parti termasuk  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selalu turun padang mengambil tahu dan cakna mengenai hal ehwal guru-guru,” katanya.

Mereka adalah golongan muda yang memahami dan mengetahui, PASTI adalah program tarbiyah yang yang diuruskan secara tersusun dan berorganisai di bawah  Dewan Pemuda PAS.

Oleh itu, para guru PASTI sedar akan tanggungjawab besar mereka, untuk melahirkan melahirkan insan yang soleh, berilmu dan beramal serta mendidik jiwa, akal anak-anak dengan Islam bersumberkan AI-Quran dan Hadis.


Justeru itu, seorang yang memiliki Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Nur Amirah Syahidah Baharudin, 26, reda memilih untuk berkhidmat di PASTI, untuk mendapat anugerah di ‘hari kemudian’.

“Sepanjang enam tahun saya bergelar guru, kebajikan saya dan rakan-rakan yang lain tidak pernah diabaikan.

"Kami mendidik anak-anak ini bukan untuk mendapatkan bayaran yang lumayan, tetapi mengharapkan mereka dapat menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Itulah ‘hadiah’ yang paling bermakna buat kami sebagai guru,” ujarnya.

Ulasan