Mansuh Tol Gombak, Karak Elak LPT Terus Sesak - Tuan Ibrahim

 


Kerajaan digesa memansuhkan sekurang-kurangnya dua tol masing-masing di Gombak dan Karak sebagai usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas bagi pengguna Lebuh Raya Pantai Timur (LPT).

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) berkata langkah itu penting mengambil kira kewujudan empat tol yang terpaksa dilalui pengguna LPT menuju Pantai Timur iaitu Gombak, Bentong dan Karak serta di laluan keluar menyebabkan kesesakan yang melampau.

"LPT ada 4 plaza tol terpaksa pengguna berhenti, sedangkan untuk ringankan beban pengguna sepatutnya guna dua (sahaja plaza tol untuk) kaedah masuk dan keluar.

"(Jadi) dua plaza tol di LPT patut dihapuskan iaitu Gombak dan Karak tak perlu diadakan (kerana ia) melambatkan dan menyebabkan kesesakan kepada lebuh raya terbabit," katanya ketika sesi perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, beliau menyatakan persetujuan dengan pencelahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai keperluan menghapuskan semua tol di negara ini memandangkan ia antara janji pihak yang menerajui kerajaan hari ini.

"Saya nak cakap tadi tapi tak sampai hati, tetapi kalau Hulu Terengganu (Rosol) cadang, saya sangat menyokong.

"Terutama Tol Gombak antara tol yang paling awal di Malaysia dan sepatutnya (ia) dihapus dulu sebelum tol-tol lain di Malaysia," katanya menyifatkan isu kesesakan lalu lintas di LPT sebagai kegagalan di pihak kementerian dan agensi, selain operasi lebuh raya terbabit.

Menyentuh isu kelestarian penggunaan kenderaan elektrik, Tuan Ibrahim berkata beliau mengalu-alukan langkah baik itu, namun memaklumkan bilangan pengecas yang disediakan ketika ini belum mencukupi

Kalau dilihat unjuran kerajaan mengenai stesen pengecas dan penggunaan EV dimaklumkan bahawa sehingga Ogos 2023, terdapat hanya 1,246 stesen pengecas di lebuh raya.

"Saya dapat aduan di LPT khususnya sangat kurang (stesen pengecas) di lebuh raya tersebut," katanya.

Mengenai isu pelepasan karbon pula, Tuan Ibrahim yang juga bekas Menteri Alam Sekitar memaklumkan kadar penggunaan pengangkutan awam masih sangat rendah dan kerajaan perlu mencari jalan untuk mempertingkatkannya supaya pelepasan karbon dan GHG (gas rumah hijau) dapat dikurangkan.  Sumber Media 

Ulasan