PAS tidak Berbelah Pagi Bersama Palestine


Apabila Almarhum Mufti Palestin, Syeikh Amin al-Husaini dan beberapa orang pemimpin Islam mengadakan muktamar bagi mempertahankan Palestin pada tahun 30-an, pemimpin-pemimpin Islam dijemput menyertainya termasuk tokoh Islam yang mewakili Tanah Melayu. Mereka bersama-sama menentang penubuhan negara haram bernama Israel oleh kumpulan Zionis dan Freemason yang merancang menjadi kuasa besar tunggal kaum Yahudi bagi mengembalikan semula sejarah Nabi Sulaiman AS. Hakikatnya, Baginda AS menakluk dunia atas nama Islam, bukan kebangsaan Yahudi. Maka, perancangan Zionis tersebut nyata kesesatannya.


Kebanyakan raja-raja dunia, pemimpin negara, para saintis dan ahli falsafah yang tersohor menjadi sasaran sehingga dapat dipengaruhi oleh gerakan Freemason dan Zionis bagi melaksanakan agenda serta perancangannya dalam semua lapangan negara dan antarabangsa. 


Almarhum Jeneral Jawwad Rif‘at Atal Khan, mantan pegawai tinggi perisikan Turki ‘Uthmaniyyah berjaya mendapat maklumat hasil penyiasatan terhadap ejen-ejen Freemason dan Zionis yang berjaya ditahan sehinggakan ia dibukukan. Sebahagian daripadanya didedahkan dalam buku Protokol Zionis.


Almarhum Dr. Burhanuddin al-Helmy, mantan Yang Dipertua PAS yang ke-3 pernah mengembara ke Palestin dan Turki. Ketika berada di Palestin, beliau ditahan selama beberapa hari oleh pihak British kerana terlibat dalam bantahan terhadap Pengisytiharan Balfour, melalui demonstrasi yang dilakukan pada tahun 1936.


Pada tahun 1948, penubuhan negara Israel akhirnya diisytiharkan dengan sokongan semua kuasa besar melalui pelaksanaan Perjanjian Sykes–Picot pada tahun 1916 dan Pengisytiharan Balfour pada tahun 1917. Termasuk juga penglibatan para pemimpin negara Arab dan Islam yang berjaya diletakkan di bawah naungan gerakan Freemason dan Zionis secara langsung, sama ada menjadi ahli ataupun rakan dalam kumpulan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN), Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) atau media antarabangsa yang berada di bawah pengaruhnya. 


Para pemimpin Islam mengisytiharkan jihad bagi menentang penubuhan negara haram Israel pada tahun 1948, namun ia telah digagalkan secara bersama oleh negara-negara Islam dan Arab yang terdiri daripada kumpulan sekular yang menerima pengiktirafan negara haram Israel mengikut pengaruh Barat. Sehinggakan, ia sekali lagi dirancang selepas kejayaan Israel menawan Bait al-Maqdis dalam perang 1967 apabila berjaya mengalahkan negara Arab dalam masa enam hari. Diikuti termeterainya Persidangan Madrid, Perjanjian Oslo, dan Perjanjian Camp David dengan cadangan penyelesaian dua negara (two-state solution) bagi Arab Palestin dan Yahudi Israel. 


Perkembangan ini menjadikan sebahagian besar negara Islam dan pemimpinnya akur mengalah dengan menerima wujudnya konsep dua negara. Pada masa yang sama, Israel tetap berdolak-dalik tidak menerimanya dengan terus membawa masuk kaum Yahudi datang berhijrah dari seluruh pelosok dunia sehingga mengisytiharkan Bait al-Maqdis menjadi ibu negara haram Israel. 


Pendirian Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bersama kerajaan, parti dan badan bukan kerajaan (NGO) menyokong perjuangan Palestin menentang kezaliman Zionis dengan istiqamah. 


Namun, PAS berbeza dengan pihak yang lain kerana PAS menolak penyelesaian dua negara yang disokong oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) kini yang bersama Barat mendukung penyelesaian dua negara tersebut dan menyokong Palestin secara ‘dibelah-bahagi’.


PAS bersama gerakan Islam (Hamas), Tanzim Jihad, Ansarullah, dan semua kumpulan Islam, serta negara Iran, Syria dan Algeria, menolak wujudnya negara haram Israel. 


PAS hanya menerima satu negara Palestin yang tidak dibelah bahagi yang dikuasai oleh Islam bermasyarakat majmuk.


Dua negara Islam telah mengiktiraf Israel sejak awal, iaitu Turki sehingga kini dan Iran pada zaman Syah Iran, namun dibatalkan selepas Syah digulingkan oleh revolusi Islamnya yang mengharamkan negara Israel.  


PAS berpegang kepada hukum Islam bahawa Palestin adalah milik Islam dengan nas al-Quran. Firman Allah SWT:


﴿سُبۡحَٰنَ ٱلَّذِيٓ أَسۡرَىٰ بِعَبۡدِهِۦ لَيۡلٗا مِّنَ ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِ إِلَى ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡأَقۡصَا ٱلَّذِي بَٰرَكۡنَا حَوۡلَهُۥ لِنُرِيَهُۥ مِنۡ ءَايَٰتِنَآۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡبَصِيرُ١﴾


“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haram (di Makkah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya, Allah jua (Tuhan) Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” [Surah al-Isra’: 1]


Terletaknya Masjid al-Aqsa tempat berlakunya Isra’ Mi‘raj dan perhimpunan para anbiya’, manakala kawasan sekelilingnya di bumi Palestin pula merupakan salah satu daripada tanah suci umat Islam. 


Islam menerima wujudnya masyarakat majmuk, khususnya Yahudi dan Kristian, tetapi hanya Islam yang layak mentadbirnya berkonsepkan hak beragama yang terkandung dalam ajaran Islam. Keadilan pelaksanaan Islam terbukti sehingga Paderi Besar Nasrani menyerahkan kunci gereja kepada Kerajaan Islam selepas dimerdekakan daripada penjajahan Rom pada zaman Khalifah ‘Umar bin al-Khattab RA berpandukan firman Allah SWT:


﴿ٱلَّذِينَ أُخۡرِجُواْ مِن دِيَٰرِهِم بِغَيۡرِ حَقٍّ إِلَّآ أَن يَقُولُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُۗ وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٞ وَصَلَوَٰتٞ وَمَسَٰجِدُ يُذۡكَرُ فِيهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِيرٗاۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ٤٠ ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّـٰهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ٤١﴾


“(Iaitu) orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar, kecuali kerana mereka berkata, ‘Tuhan kami hanyalah Allah.’ Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi, dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya, Allah pasti menolong orang yang menolong-Nya (agama-Nya). Sesungguhnya, Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa. (40) (Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang ma‘ruf, dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar; dan kepada Allah jua kembali segala urusan. (41)” [Surah al-Hajj: 40-41]


Maka, tindakan beberapa negara Arab dan Islam mengiktiraf serta melakukan normalisasi terhadap negara Israel adalah suatu perbuatan yang haram. Bahkan, umat Islam diwajibkan berjihad membebaskan Palestin daripada penaklukan Yahudi Zionis pada hari ini.


Lebih nyata apabila semua negara Barat Amerika dan Eropah menubuhkan Pakatan Ahzab bersama Zionis semata-mata untuk mempertahankan negara haram Israel itu, sehingga menghalalkan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin dengan cara paling yang kejam. 


Umat Islam wajib menolak penubuhan negara haram Israel kerana tidak sah dari segi agama, sejarah dan politik. 


Dari segi agama Islam, semua mazhabnya (Sunni, Syiah dan Ibadi) terdiri daripada kalangan Ahli Kiblat, menunjukkan bahawa Palestin telah ditetapkan Islamnya oleh Allah dan Rasulullah SAW. Maka, ia wajib dipertahankan oleh umat Islam di seluruh dunia. Adapun dari segi sejarahnya, sudah ada penduduk asal di Palestin sebelum kedatangan kaum Yahudi yang berhijrah, malah penubuhan negara haram Israel berlaku secara rompakan dan penjajahan yang paling zalim dalam sejarah manusia.


Seluruh dunia menyaksikan kezaliman dan keganasan paling melampau yang dilakukan oleh puak Yahudi Zionis terhadap rakyat Palestin. Sehingga diputuskan oleh pihak Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berlakunya jenayah perang dan pencabulan hak-hak kemanusiaan.


Maka, umat Islam daripada kalangan semua bangsa dan mazhab merupakan kalangan paling wajib menyelamatkan saudara seagama yang menjadi mangsa kekejaman dan keganasan yang paling dahsyat berlaku dalam sejarah manusia.


Keganasan negara haram Israel telah disaksikan oleh seluruh dunia dan diputuskan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa dan Majlis Keselamatan PBB (UNSC). Hanya negara Islam dengan para pemimpinnya yang buta hati sahaja tidak bergerak berjihad menentang negara pengganas yang bernama Israel itu.


Bacalah amaran Allah SWT melalui firman-Nya:


﴿فَكَأَيِّن مِّن قَرۡيَةٍ أَهۡلَكۡنَٰهَا وَهِيَ ظَالِمَةٞ فَهِيَ خَاوِيَةٌ عَلَىٰ عُرُوشِهَا وَبِئۡرٖ مُّعَطَّلَةٖ وَقَصۡرٖ مَّشِيدٍ٤٥ أَفَلَمۡ يَسِيرُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَتَكُونَ لَهُمۡ قُلُوبٞ يَعۡقِلُونَ بِهَآ أَوۡ ءَاذَانٞ يَسۡمَعُونَ بِهَاۖ فَإِنَّهَا لَا تَعۡمَى ٱلۡأَبۡصَٰرُ وَلَٰكِن تَعۡمَى ٱلۡقُلُوبُ ٱلَّتِي فِي ٱلصُّدُورِ٤٦﴾


“Maka, berapa banyak kota-kota yang telah Kami binasakan dengan sebab kezaliman penduduknya, lalu runtuh ranaplah (tembok-tembok) kotanya; dan berapa banyak pula telaga yang telah ditinggalkan terbiar, dan istana yang tersergam (telah kosong dan ditinggalkan). (45) Oleh itu, apakah mereka tidak mengembara di muka bumi (supaya dengan melihat kesan-kesan tersebut) mereka mempunyai hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau mempunyai telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya, bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang berada dalam dada. (46)” [Surah al-Hajj: 45-46]


Rakyat Palestin yang menyokong kumpulan Islam Hamas terus bertahan di Gaza, walaupun mereka dibelasah habis-habisan sehingga ramai yang telah gugur syahid. Mereka tetap bertahan tidak mahu keluar dari Palestin dan Gaza yang dikepung, walaupun telah disediakan kemudahan keluar untuk menyelamatkan diri oleh beberapa pihak. Hanya kalangan yang tidak berprinsip sahaja akan keluar meninggalkan Palestin dan Gaza. 


Beberapa negara yang mengikut agenda Israel dan Barat memberi kemudahan kepada mereka yang mahu melarikan diri, bukannya membantu jihad yang mewajibkan mereka bertahan di tanah suci tersebut. 


Firman Allah SWT:


﴿وَمَا لَكُمۡ لَا تُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱلۡمُسۡتَضۡعَفِينَ مِنَ ٱلرِّجَالِ وَٱلنِّسَآءِ وَٱلۡوِلۡدَٰنِ ٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَآ أَخۡرِجۡنَا مِنۡ هَٰذِهِ ٱلۡقَرۡيَةِ ٱلظَّالِمِ أَهۡلُهَا وَٱجۡعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ وَلِيّٗا وَٱجۡعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ نَصِيرًا٧٥ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ يُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِۖ وَٱلَّذِينَ كَفَرُواْ يُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱلطَّٰغُوتِ فَقَٰتِلُوٓاْ أَوۡلِيَآءَ ٱلشَّيۡطَٰنِۖ إِنَّ كَيۡدَ ٱلشَّيۡطَٰنِ كَانَ ضَعِيفًا٧٦﴾


“Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam) dan (untuk membela) orang-orang yang tertindas baik daripada kalangan kaum lelaki, wanita mahupun kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata, ‘Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri (Makkah) ini, penduduknya (kaum kafir Musyrik) yang zalim, dan berikanlah bagi kami pelindung di sisi-Mu, dan berikanlah kepada kami penolong di sisi-Mu.’ (75) Orang-orang yang beriman berperang di jalan Allah, dan orang-orang yang kafir berperang di jalan taghut, oleh sebab itu perangilah kawan-kawan syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah. (76)” [Surah al-Nisa’: 75-76]


Benarlah janji Rasulullah SAW akan adanya kumpulan yang tetap bertahan tidak melarikan diri daripada Palestin pada akhir zaman, sebagaimana sabdanya:


لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي عَلَى الدِّينِ ظَاهِرِينَ لِعَدُوِّهِمْ قَاهِرِينَ، لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ، إِلَّا مَا أَصَابَهُمْ مِنْ لَأْوَاءَ حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ كَذَلِكَ.


“Akan tetap ada sekelompok dalam kalangan umatku yang sentiasa menzahirkan perjuangan menegakkan Islam dan menghadapi musuh dengan gagah perkasa, mereka tidak boleh dihalang oleh golongan yang menentangnya walaupun terpaksa menghadapi kesulitan sehingga datangnya keputusan Allah (mati syahid atau kemenangan) mereka kekal seperti itu.” 


قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَأَيْنَ هُمْ؟ 


Mereka (para sahabat) bertanya, “Wahai Rasulullah, di manakah mereka?” 


قَالَ: بِبَيْتِ الْمَقْدِسِ وَأَكْنَافِ بَيْتِ الْمَقْدِسِ.


Rasulullah SAW menjawab, “Di Bait al-Maqdis dan di sekitar Bait al-Maqdis.” [Ahmad, Musnad Ahmad, Tatimmah Musnad al-Ansar, No. 22320, daripada Abu Umamah al-Bahili]


Kita menyaksikan kumpulan ini tidak keluar daripada Palestin melainkan mereka merancang kembali bagi meneruskan perjuangan. Mereka menolak tawaran negara lain untuk melarikan diri, walaupun diberikan tawaran harta dan kesenangan. 


ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

 

Bertarikh: 13 Syawwal 1445 / 22 April 2024

Ulasan