Oleh ; RR
SETIU - Ziarah dan bertanya khabar antara satu sama lain bukan sahaja membantu dari segi material, tetapi juga mengeratkan ukhuwah dan silaturahim masyarakat setempat.
Ketua Muslimat Dewan Muslimat PAS Kawasan Setiu, Wan Ramlah Wan Abd Rahman berkata, program sebegini adalah usaha murni untuk menyantuni mereka yang diuji dengan kesulitan dan kehilangan.
"Program ini merupakan satu peringatan kepada semua tentang pentingnya bersyukur atas nikmat dimiliki dan sentiasa membantu mereka yang memerlukan.
"Semoga pertemuan kita ini dapat mengeratkan lagi ukhuwah sesama kita dan menjadi iktibar akan kehilangan nikmat kesihatan dan orang tersayang," ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media ketika diminta mengulas mengenai program ziarah selepas acara Bengkel Pengucapan Awam, yang diadakan di Pandan Laut Beach Resort, Setiu, hari ini.
Menurutnya, setiap minggu Dewan Muslimat PAS kawasan ini akan menziarahi golongan sasaran sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk memastikan kebajikan masyarakat setempat terjaga.
"Kami bawa sedikit sumbangan bagi meringankan beban keluarga yang diziarahi.
"Wajah-wajah kegembiraan jelas terpancar ketika rombongan tiba di setiap rumah, membuktikan betapa besar makna bantuan dan perhatian yang diberikan," jelas Ramlah.
Justeru itu, beliau berharap program seumpama ini diharapkan dapat diteruskan dan menjadi contoh dalam usaha memperkukuhkan semangat kekitaan dan saling membantu dalam komuniti.
Ulasan